Lionel Messi Tak Layak Dibuat Perbandingan
Messi tak kejar rekod, tapi rekod sentiasa mengejar beliau.
Dah masuk 2026, tapi masih ramai memperkatakan tentang kelibat Lionel Messi di atas padang, walaupun sudah ramai bakat-bakat baharu dilahirkan.
Bercakap tentang Messi, terlalu banyak perkara menarik untuk diperkatakan mengenai kejayaan beliau daripada segi pencapaian trofi dan statistik individu yang menyerlah.
Malah, pemain ini juga menjadi simbol buat bakat-bakat baharu yang ingin menyerlah dalam dunia bola sepak profesional dengan Messi menjadi ikon dan batu loncatan buat mereka ingin memintasnya.
Pada usia 38 tahun, Messi sebenarnya sudah mengecapi pelbagai kejayaan yang diidamkan termasuk saingan Piala Dunia pada edisi 2022 lalu di Qatar.
Sesetengah pemain mungkin merasakan ini waktu yang baik buat mereka untuk perlahan-lagan mengundur dan faktor keupayaan individu sendiri kian terbatas di atas padang.
Tetapi untuk Messi, beliau kekal tenang dan kurang bercakap dengan segalanya diterjemahkan di atas padang. Termasuk aksi hari ini di mana pemain berkenaan membantu Argentina meraih kemenangan 3-0 ke atas Algeria bagi saingan Piala Dunia 2026.
Messi terlalu menyerlah
Ramai mengetahui Messi merupakan pemain tumpuan Argentina dan salah satu tonggak senior yang bakal memainkan peranan penting pada musim terakhir beliau di kejohanan Piala Dunia 2026.
Tetapi, tak ramai meletakkan jangkaan bintang Argentina itu sekali lagi akan terus menyerlah daripada segi impak di posisi serangan negara berkenaan.
Pada aksi bertemu Algeria hari ini, Messi tampil begitu menyakinkan untuk memimpin siri serangan Argentina dengan beliau muncul selaku pemain pertama Piala Dunia edisi 2026 meledak hatrik.
Betul. Pemain berusia 38 tahun ini masih lagi berbisa dan sukar dijangka apa bakal dilakukannya di atas padang menerusi kualiti hantaran dan visi permainan.
Beliau mungkin tidak lagi selincah dahulu, namun gerakannya jelas masih digeruni lawan kerana Messi sentiasa mempunyai idea dan bijak melepaskan diri untuk membuka ruang.
Pujian peminat dan rekod baharu
Menerusi jaringan hatrik itu juga menyaksikan kini pemain berkenaan muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dan menyamai rekod Miroslav Klose dengan 16 gol secara keseluruhan di pentas Piala Dunia.
Lebih menarik, Messi berpeluang memintas Klose kini kerana beliau masih mempunyai beberapa lagi perlawanan Piala Dunia untuk diharungi bersama Argentina.
Di media sosial, pelbagai pujian diberikan oleh penyokong kepada Messi terutama mengenai kualiti permainannya masih tidak luntur walau dibatasi usia.
Untuk kita pula, ini merupakan suatu nikmat untuk melihat detik-detik akhir Messi di pentas Piala Dunia sebelum beliau bersara daripada skuad kebangsaan Argentina.






