Tamatlah sudah saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2026 dengan gergasi Borneo, Sabah menepati ramalan dan status sebagai pasukan pilihan untuk meraih kejuaraan apabila menewaskan pesaing terdekat iaitu Selangor.
Kemenangan 1-0 hasil jaringan Enzi Broussard membolehkan Sabah untuk terus mempertahankan kejuaraan LWN mereka sekali gus menjadi wakil Malaysia untuk beraksi dalam kejohanan Asia kelak.
Sementara Selangor pulang dengan gelaran naib juara sementara penyerang mereka iaitu Julissa Cisneros dari Mexico dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan 20 gol.
Satu lagi musim LWN sudah berakhir. Persoalannya, bagaimana perjalanan bola sepak wanita di Malaysia selepas ini?
Semua mengetahui yang saingan bola sepak wanita di Malaysia masih lagi belum besar skalanya. Tetapi, mereka bergerak sedikit demi sedikit di dalam landasan yang tepat untuk membangunkannya.
Misi tarik lebih ramai penyokong
Di era media sosial ini, capaian ke arah golongan sasar menerusi penciptaan kandungan dapat membantu menaikkan publisiti bola sepak wanita Malaysia dengan lebih laju. Skuad wanita negara meraih spike apabila mereka beraksi baik dalam aksi kelayakan Piala Asia B-17 walaupun terpaksa akur tidak berjaya ke pusingan akhir.
Hasil daripada spike itu, ia boleh digunakan oleh penganjur liga untuk memastikan saingannya mampu menarik lebih ramai penyokong ke stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan wanita di negara ini.
Dengan liga yang masih lagi hijau, masih banyak perkara yang boleh diterokai oleh penganjur untuk meluaskan lagi saingan bola sepak wanita kebangsaan sekali gus menambah jumlah perlawanan serta kualiti pertandingan.
Salah satunya adalah cuba untuk meneroka untuk menambah jumlah pasukan dengan menjemput pasukan luar dari Malaysia. Mungkin, penganjur boleh meneroka peluang untuk menjemput pasukan wanita daripada Singapura atau Brunei untuk menambah jumlah pasukan sekali gus meningkatkan perlawanan dan memberi minit permainan yang lebih kepada para pemain.
Dengan menjemput pasukan luar, ia boleh meningkatkan publisiti liga apabila saingan LWN mendapat perhatian lebih banyak mata yang memerhati bukan saja dari dalam Malaysia malah turut merentasi sempadan negara.
Selain daripada itu, sokongan daripada orang kita sendiri amat diperlukan untuk memajukan LWN. Maksud penulis di sini bukannya golongan lelaki yang sinonim dengan bola sepak, sebaliknya adalah para wanita di negara kita.
Di seluruh dunia, usaha untuk membangunkan bola sepak wanita sememangnya mencabar kerana berdepan dengan stigma kerana sukan itu sering dikaitkan dengan kaum lelaki. Kata-kata seperti, “orang perempuan mana ada main bola” dan “tempat perempuan hanya di dapur” itu sering dilontarkan oleh segelintir yang berasakan wanita tidak sepatutnya menendang bola dan menjaringkan gol.
Situasi tersebut turut ditambah apabila pada satu masa, unsur kewanitaan agak hilang dalam dalam permainan kerana fesyen ala lelaki sering diterapkan. Kini, unsur kewanitaan mula kelihatan dengan unsur femini dalam kalangan para pemain negara semakin kelihatan.
Potensi LWN terus berkembang
Dalam memajukan bola sepak wanita, tiada sokongan lain boleh diharapkan berbanding mengharapkan ia datang sendiri daripada kaum Hawa. Kita mungkin boleh mengharapkan kaum Adam untuk datang memberikan sokongan, tetapi sokongan padu daripada kaum wanita sendiri amat diharapkan untuk mengangkat bola sepak wanita. Kalau bukan mereka, siapa lagi?
LWN musim ini berakhir dengan jayanya, diharapkan pada musim hadapan ia akan lebih menarik dan mendapat lebih banyak perhatian daripada penggemar sukan negara. Sebagai salah seorang yang terlibat dalam kejohanan ini sebagai pengulas, penulis melihat potensi itu ada, tetapi ia memerlukan sokongan teguh daripada semua pihak.
Saingan bola sepak wanita ibarat kanvas yang sudah ada corak, tetapi masih ada ruang lagi untuk memasukan corak yang lain. Masa ada masa untuk menambah baik bola sepak negara dan kemudiannya menjadikan saingan wanita antara yang terbaik di Asia. Di penghujungnya, yang akan menerima manfaat adalah skuad Malayan Tigress kita juga.





