Liam Rosenior ‘Scam’!
Dua kekalahan berturut-turut dialami Chelsea nyata menaikkan rasa amarah penyokong kelab tersebut yang mahu perubahan segera dibuat.
Pagi tadi, Chelsea sekali lagi mencatat kekalahan buat kali kedua berturut-turut mereka, dengan kali ini, mereka menjadi mangsa kepada Newcastle United.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Liam Rosenior mencipta kekalahan 0-1 di tangan lawan, walaupun berkelebihan sebenarnya beraksi di halaman sendiri.
Ini menjadi kekalahan buat kali kedua mereka, selepas beberapa hari lalu The Blues turut tewas 2-5 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) bagi aksi UEFA Champions League (UCL).
Jika imbas kembali aksi pagi tadi, pasukan tersebut tidak begitu teruk daripada segi statistik dengan 21 percubaan berjaya dilepaskan ke arah lawan, namun tiada sebarang gol berjaya dihasilkan.
Malah, lawan seolah memahami apa bakal dilakukan oleh Chelsea dengan mereka cepat menutup ruang serta memintas segala kemungkinan bakal dibuat untuk mengurangkan peluang gol.
Liam Rosenior dikritik
Disebabkan gaya permainan Chelsea sendiri yang beberapa kali sebelum ini mudah dibaca lawan, kebolehan pengendali mereka, Liam Rosenior kini mula dipertikaikan oleh peminat.
Di media sosial, nama Rosenior antara yang dipetik oleh penyokong, selepas mereka sendiri tampil tidak yakin kebolehannya untuk terus memacu Chelsea ke arah lebih tinggi.
Selepas ketiadaan Enzo Maresca, pengurusan kelab tersebut mengambil langkah begitu drastik untuk mengumumkan Rosenior selaku pengurus terbaharu The Blues.
Pada usia 41 tahun, Rosenior sebenarnya tidak mempunyai sebarang kejayaan lagi selaku seorang pengurus dan beliau terdahulu bertindak menguruskan kelab biasa sahaja sekitar Eropah.
Atas sebab itu, penyokong kini mula menganggap beliau sebagai ‘scammer’ yang perlahan-lahan bakal merosakkan lagi reputasi kelab berpengaruh seperti Chelsea.
Bukan salah Rosenior semata-mata
Pada masa sama, ada sekelompok peminat tampil mempertahankan Rosenior dengan menganggap apa yang terjadi di kem Chelsea kini turut melibatkan pengurusan tertinggi kelab.
Syarikat BlueCo yang diterajui oleh Todd Boehly antara yang dikecam kerana peminat menganggap mereka hanya memikirkan keuntungan pasukan tanpa ada perancangan lebih jelas.
Selain itu, Chelsea juga kini menghadapi isu konsistensi pemain utama yang kurang menyakinkan seperti Cole Palmer, Moises Caicedo, dan beberapa lagi.
Percaya kepada proses
Rosenior hadir menggantikan Enzo Maresca pada saat saingan sedang berlangsung, dan beliau masih memerlukan masa untuk awal musim hadapan bagi memperkemaskan lagi persiapannya.
Dengan pengalaman beliau buat pertama kali menguruskan kelab elit seperti Chelsea, sudah tentu beliau memerlukan masa untuk betul-betul menyesuaikan diri dengan lebih baik.
Apapun, keadaan semasa Chelsea tidak begitu teruk, tetapi Rosenior perlu mencari solusi pantas untuk memperbaiki keadaan semasa sebelum ianya menjadi lebih parah.






