Legenda Arsenal Cabar Saka Elak Ulangi Kegagalan Lalu
Suatu ketika, mereka pernah gagal melakukannya. Kini cabaran diberikan kepada generasi baharu.
Legenda bola sepak Arsenal, Thierry Henry mencabar Bukayo Saka untuk pastikan The Gunners meraih kejayaan yang beliau tidak dapat lakukan suatu ketika bersama kelab tersebut.
Arsenal pada awal pagi semalam melakar sejarah kembali selepas kali terakhir ianya dilakukan pada tahun 2006 untuk mara ke pentas akhir UEFA Champions League.
Di pentas separuh akhir kedua awal pagi lalu, jaringan tunggal daripada Bukayo Saka sudah cukup untuk mengesahkan The Gunners ke final selepas mengatasi Atletico Madrid melalui kemenangan agregat 2-1.
Beraksi di laman sendiri, Stadium Emirates, skuad kendalia Mikel Arteta hadir dengan penguasaan penuh termasuk statistik yang memihak kepada mereka berbanding lawan.
Atletico Madrid pula hadir dengan serba serbi tidak menjadi dan lebih banyak mengharapkan kepada siri serangan balas pantas selepas ditekan lawan secara bertali arus.
Harapan Thierry Henry kepada Arsenal
Selepas perlawanan pagi tadi, Henry meluahkan pujian penuh kepada Arsenal dan sempat berpesan kepada penjaring gol, Saka untuk mengatasi rekod yang gagal dilakukan beliau bersama The Gunners lalu.
Pada tahun 2006, Arsenal sebenarnya berjaya mara ke final UCL dengan cukup menyakinkan, sebelum Henry dan rakan sepasukan lain terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 mereka di tangan Barcelona.
“Saya harapkan yang terbaik kepada kamu semua. Kami semua tak dapat lakukannya sebelum ini, jadi saya harap kamu mampu lakukannya.
“Jika kamu lakukannya dan memenangi kejuaraan tersebut, kamu akan jadi ‘yang tak akan dilupakan’. Kami sebelum ini digelar ‘kebal’. Pergi dan dapatkannya,” ujar Henry kepada Saka.
Walaupun Henry akhirnya menjulang trofi UCL bersama Barcelona, namun pastinya selaku bekas tonggak utama Arsenal beliau mengharapkan Saka dan rakan-rakan mampu mengatasi kekecewaan pernah dihadapinya pada tahun 2006.
Pujian peminat
Prestasi cemerlang Arsenal sejak hari perlawanan pertama mereka di pentas UCL sehingga mampu melayakkan diri ke final berjaya mendapat pujian para peminat.
Tidak ramai menyangka, Arsenal bukan sahaja mampu melayakkan diri ke final, tetapi mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang mengharungi kejohanan UCL musim ini.
Lebih membanggakan, Arsenal juga hanya dibolosi sebanyak enam kali sahaja musim ini di pentas UCL untuk menggambarkan pengaruh besar mereka pada kejohanan tersebut.
Para penyokong di media sosial mengharapkan kejayaan mereka ke final mampu diterjemahkan juga kepada bentuk juara pada saingan musim ini untuk menutup mulut pengkritik tentang sendunya Arsenal sejak beberapa tahun lalu tanpa kejuaraan.
Dengan prestasi semasa skuad kendalian Arteya kini, segalanya tidak mustahil untuk dilakar jika para pemain sendiri berada dalam momentum positif.





