Lebih 100 Pemain Akar Umbi Futsal Sertai Ramadhan Cup
Daya tarikan sukan futsal terus menjadi tumpuan ramai peminat kini, untuk membuktikan ianya mampu digiatkan pada pentas akar umbi.
Sebuah kejohanan futsal diberi nama, Ramadhan Cup buat julung kalinya telah diperkenalkan pada 13 Mac tahun ini menerusi inisiatif daripada PadangBolaSepak (PBS) dan Social Soul (SS).
Bertempat di kompleks WOS PJ/ ROF PJ, 12 pasukan yang merangkumi lebih 100 pemain telah dihimpunkan untuk bersama-sama menyertai kejohanan futsal berteraskan komuniti berkenaan.
Menariknya, kejohanan ini turut menampilkan dua format berbeza dan disesuaikan oleh dua gaya permainan berlainan diberi nama:
Prime Cup
•8 pasukan berbeza
•Format 5 sebelah
Rise Cup
•4 pasukan berbeza
•Format 8 sebelah
Uniknya kejohanan ini, setiap pasukan bertanding membawa nama juadah kegemaran bulan Ramadan seperti Onde-onde, Tepung Pelita, serta Ayam Sos Plum yang dianggap mengukuhkan lagi semangat berpuasa.
Futsal pupuk semangat perpaduan sejati
“Dalam era yang didefinisikan oleh keresahan global dan beban tekanan ekonomi harian, sukan komuniti telah berkembang menjadi sebuah ‘syurga’ (sanctuary) yang penting untuk jiwa,” jelas wakil daripada PadangBolaSepak.
“Ramadhan Cup lahir daripada misi untuk menggunakan padang sebagai jambatan—bukan sekadar untuk futsal, tetapi untuk merapatkan jurang sosioekonomi dan memupuk perpaduan sejati.
“Dengan menawarkan kategori Prime yang berintensiti tinggi serta sesi Rise yang berintensiti sederhana, kami memastikan setiap peserta, daripada atlet berpengalaman sehinggalah kanak-kanak berusia 12 tahun, menemui ruang di mana mereka benar-benar dihargai.
“Ini bukan sekadar permainan; ini adalah usaha untuk menuntut semula ruang yang selamat dan mesra bagi komuniti kita untuk berhubung dan pulih sepanjang bulan suci ini.”
“Terdapat keperluan penting dalam komuniti akar umbi kita untuk kejohanan berkualiti tinggi yang meletakkan keadilan dan keselamatan pemain sebagai keutamaan mutlak.
“Melalui Ramadhan Cup, Social Soul komited untuk meningkatkan standard tersebut, menyalurkan semangat kebersamaan Ramadhan yang mendalam bagi mewujudkan ruang kompetitif di mana setiap pemain merasa dihormati, dan di mana sukan benar-benar merapatkan komuniti,” jelas wakil daripada Social Soul pula.
Dedikasi demi sebuah minat
Demi sebuah minat, para peserta dan mereka yang terlibat masing-masing mempamerkan dedikasi mereka walaupun pada hari kejohanan tersebut dihiasi dengan hujan lebat. Malah ada daripada mereka menunggang motorsikal dan kehilangan telefon bimbit.
Tetapi atas rasa minat, mereka tetap hadir dengan semangat kesukaran cukup tinggi dan masing-masing bersedia untuk beraksi bersama pasukan diwakili.
Salah satu detik paling diingati juga, sudah tentu terarah kepada seorang ibu yang membawa anak perempuannya berusia 12 tahun ke gelanggang untuk merasai kehangatan aksi berkenaan.
Penganjur sediakan pasukan perubatan profesional
Apa yang menjadikan kejohanan ini turut bermakna, apabila pihak penganjur memandang serius semua aspek dengan mereka turut menyediakan pasukan perubatan profesional untuk mengelak atau mencegah sebarang kemungkinan tidak diingini kepada peserta.
Selain itu, beberapa jenama terkemuka turut memberi kerjasama bagi kejohanan tersebut seperti Garnier, Gardenia, Zombie Juice, Decathlon, serta Forfit.
Siapa PadangBolaSepak?
Merupakan pertubuhan bukan kerajaan hasil inisiatif penganjuran sukan rekreasi bawah kendalian Persatuan Sukan Rekreasi Malaysia.
PBS mula menganjurkan futsal dan dan beberapa sukan rekreasi lain sejak 2016 lalu buat mereka yang mencari cara sihat dan sosial untuk kekal aktif.
Social Soul lebih kepada bimbingan
Komuniti ini pula membuat promosi dan menguruskan futsal campuran gender menerusi bimbingan pakar demi memastikan perkembangan pemain berlaku dengan tersusun.
Penghargaan buat mereka di Ramadhan Cup
Pihak penganjur turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kejohanan Ramadhan Cup kali ini dengan penyertaan 12 pasukan bersama lebih 100 peserta jelas mengejutkan mereka.
Menerusi wadah futsal, mereka berbangga kerana mampu mewujudkan komuniti yang cukup positif dan memberi harapan agar berjumpa lagi pada kejohanan lain pada masa akan datang.






