Semalam, Kuching City telah pun mengharungi aksi kedua mereka dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL 2) dengan mereka sekadar terikat seri 1-1 bertemu Kitchee FC dari Hong Kong.
Ini menjadikan mereka masih lagi buntu untuk mendapatkan kemenangan pertama, selepas mereka tewas pada aksi sulung lalu di tangan Phnom Penh Crown dari Kemboja.
Di peringkat Kumpulan H kini, wakil Malaysia itu berada di tangga ketiga dengan mengumpul satu mata selepas mengharungi dua perlawanan dan mereka perlu menang pada aksi seterusnya jika ingin membuka peluang ke pusingan lebih jauh.
Entah mengapa, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dilihat masih lagi bergelut daripada segi permainan mereka di pentas Asia terutama mengenai intensiti dan pemahaman sesama pemain di atas padang.
Malah, Kuching City juga bergelut dalam perlawanan pertama mereka dalam saingan ACC Shopee cup lalu, apabila pasukan berkenaan terikat seri 2-2 berdepan Tampines Rovers dari Singapura.
Rindu kepada Moses Atede
Ya, Atede yang sebelum itu menjadi tulang belakang Kuching City sejak 2024 tidak lagi bersama kelab berkenaan pada saingan musim ini, apabila beliau menyarung jersi Star City.
Sepanjang bersama Kuching City, keupayaan Atede selaku pemain tengah bertahan boleh dikatakan sangat penting dalam menawarkan keseimbangan kelab itu ketika situasi bertahan atau menyerang.
Bagi saingan domestik, ianya mungkin tidak begitu dirasai kerana intensiti permainan ditampilkan sedikit rendah ketika mereka berdepan kelab-kelab bertaraf biasa seperti Kelantan Red Warrior, atau Melaka.
Tetapi di saingan Asia, segalanya berubah dan Atede yang pakar dalam mengawal tempo permainan sudah tidak bersama mereka lagi pada musim ini untuk menyelamatkan keadaan.
Malah, kita boleh lihat pada perlawanan semalam apabila posisi tengah Kuching City tampil huru hara ketika mereka diserang lawan secara pantas dan Kaishu Yamazaki kurang memberi impak untuk mencipta gandingan lebih baik bersama Petrus Shitembi.
Penyokong pun rindukan Atede
Di media sosial, segelintir penyokong sendiri meluahkan rasa rindu mereka kepada kualiti permainan bertaraf tinggi dipamerkan oleh Atede bersama Kuching City.
Shitembi mungkin lebih popular kerana gaya permainan ‘fancy’ beliau dan sumbangannya kepada posisi serangan juga cukup menyerlah menerusi kreativiti beliau merangka gerakan.
Tetapi, tiada siapa dapat menafikan sumbangan Atede sendiri cukup tinggi dalam mempermudahkan urusan Shitembi untuk memberi fokus kepada posisi serangan dan mencipta kestabilan tinggi buat pasukan sejak 2024 lalu.
Buktinya musim ini juga kita boleh lihat bagaimana Star City pada awal musim sedikit terumbang ambing di bahagian tengah sehingga kehadiran Atede menyelesaikannya.
Apapun, Kuching City masih mempunyai masa untuk bangkit pada aksi di pentas Asia akan datang dengan fokus penuh diberikan kepada Aidil untuk memperbaiki segala kelemahan mereka ketika ini.





