Kuching City Miliki Harapan Bangkit Atasi Penang
Saingan Piala Malaysia pusingan kedua 16 terbaik 2025/2026 hari ini diteruskan dengan pertemuan antara Kuching City dan Penang.
Pada aksi pertama lalu, Kuching City terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka di tangan Penang, apabila aksi berkesudahan dengan keputusan 0-1.
Beraksi di gelanggang lawan, jelas skuad kendalian Aidil Sharin Sahak seolah kehilangan punca untuk cuba mengatasi Penang yang serba serbi cemerlang di segenap posisi.
Satu jaringan menerusi penyerang baharu mereka, Douglas Coutinho sudah cukup untuk pasukan tersebut membawa bekalan tipis ke Sarawak hari ini.
Jika dilihat pada aksi lalu, jelas Kuching City perlu mencipta kebangkitan dengan aksi lebih baik hari ini di gelanggang sendiri jika mereka ingin mara ke pentas suku akhir.
Melihat kepada prestasi positif Penang yang masih belum tewas pada tahun 2026, sudah tentu Aidil mempunyai perancangan untuk menjadi kelab pertama mengetepikan pasukan tersebut hari ini.
Sebelum menghadapi cabaran Penang, pasukan tuan rumah sempat menandatangani khidmat pemain import baharu di posisi tengah dari Jordan, Ahmad Israiwah.
Bekas perancang utama PDRM itu dilihat sebagai aset terbaik buat Kuching City hari ini untuk memperbaiki kelemahan utama mereka pada aksi lalu daripada segi kreativiti mendapatkan gol.
Kalau kita imbas semula gaya permainan pemain berusia 31 tahun itu ketika bersama PDRM musim ini, beliau mempunyai keupayaan sangat baik daripada segi kualiti hantaran jauh yang tepat serta mampu mengawal tempo permainan.
Dalam tempoh masa singkat, pastinya persefahaman beliau dan seorang lagi maestro Kuching City, Petrus Shitembi ditagih untuk memperkukuhkan jentera tengah kelab berkenaan bagi menghadapi Penang.
Selain itu, pasukan tuan rumah juga kini dilaporkan bakal menggunakan semula khidmat penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Jordan Mintah selepas beliau dikatakan sudah sembuh daripada kecederaan.
Dengan kehadiran Mintah, Aidil kini mempunyai lebih banyak pilihan pemain serangan yang dapat digunakan untuk berdepan cabaran getir Penang yang sangat ampuh di posisi pertahanan kini.
Apatah lagi pasukan tersebut turut menandatangani khidmat penyerang baharu semalam dari Cameroon, Jerome Mpacko untuk menambah lagi kedalaman skuad di posisi serangan.
Apapun, Penang juga sudah tentu membuat persediaan rapi demi memastikan momentum mereka kekal dipertahankan walau bermain di gelanggang pasukan lawan.
Kelibat Ramdhan Hamid sudah tentu akan menjadi tumpuan sekali lagi selepas beliau begitu kebal pada awal tahun 2026 selaku penjaga gol utama Penang.
Selain itu, Dylan Wenzel-Halls dijangka bakal memainkan peranan penting pada aksi ini demi memastikan siri serangan Penang menjadi lebih aktif serta serba kreatif.
Pandangan anda, siapa bakal memenangi perlawanan tersebut pada aksi hari ini?







