Kuching City Jangan Ulang ‘Kesalahan’ Selangor Di Asia
Buat pertama kali ke pentas Asia, dah tentu banyak persiapan rapi perlu dibuat dengan lebih awal.
Sejak penubuhan Kuching City pada 2015 lalu, pasukan ini sentiasa berkembang dan kini berjaya menjadi salah satu pasukan paling kuat dalam negara.
Bermula dengan Liga Bolasepak Rakyat, tiada siapa sangka pasukan berstatus kelab ini berjaya mendaki satu persatu kejohanan tempatan dan melayakkan diri ke saingan Liga Super pada tahun 2023.
Malah, penyertaan mereka pada tahun itu juga cukup menarik, kerana dengan beberapa perubahan sahaja diperlukan untuk kini Kuching City menjadi antara pencabar cukup berbahaya.
Usaha mereka pada musim ini cukup berbaloi, selepas kejayaan mereka menjadi pasukan kedua Malaysia bagi saingan hadapan ke pentas AFC Champions League.
Jika JDT berjaya mendapatkan slot untuk saingan ACLE, maka Kuching City pula bakal mencabar kejohanan ACL 2 bagi saingan musim hadapan.
Bonus, Kuching City juga berjaya memberi persaingan sengit kepada pasukan berstatus elit di pentas Asia seperti JDT dalam aksi Piala Malaysia baru-baru ini.
Persediaan lebih rapi
Di media sosial, kebanyakan peminat berpuas hati dengan kejayaan Kuching City, selain beberapa saranan turut diberikan kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Antara saranan, sudah tentu mengenai persediaan yang lebih rapi perlu dilakukan kelab berkenaan untuk menghadapi saingan musim akan datang.
Persediaan mestilah merangkumi:
•Penilaian semula pemain
•Import lebih berpengalaman
•Latihan lebih berintensiti tinggi
Perkara berkenaan perlu, kerana Selangor menghadapi isu tersebut ketika berdepan cabaran ACL 2 musim ini walaupun mempunyai barisan pemain bintang di beberapa posisi.
Import yang memberi impak
Jika melihat kepada barisan pemain import Kuching City musim ini, segalanya sudah pun menyakinkan di segenap posisi untuk diperkatakan lebih mendalam.
Cuma, mereka mungkin memerlukan nilai tambah pemain baharu terutama di posisi tengah menyerang sebagai ‘backup’ kepada Petrus Shitembi, selain seorang lagi tonggak serangan.
Dengan Ronald Ngah Wanja semakin dibatasi dek usia dan Jerome Mpacko Etame yang mula mendapat rentak, kelibat Joao Pedro mungkin antara perlu dinilai semula.
Pada usia lebih muda dan mempunyai pengalaman lebih baik di beberapa kelab dalam Asia Tenggara, impak beliau kurang dirasai selain statistik pemain itu juga kurang menyerlah jika kita lihat sepanjang saingan 2025/2026 berlangsung.
Untuk beraksi di Asia, mereka perlu memastikan setiap pemain diwakili mampu memberi nilai tambah terbaik dalam permainan sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan atas padang.
Lihat sahaja Selangor musim ini di saingan ACL 2, kelibat Willian Lira antara contoh utama kegagalan mereka apabila pemain tersebut gagal menyumbang sesuatu penting tatkala kelab memerlukannya.
Aksi persahabatan berintensiti tinggi
Dengan aksi persahabatan berkualiti tinggi, Kuching City dapat menilai sejauh mana keupayaan mereka bersedia untuk mengharungi kejohanan Asia akan datang.
Menerusi aksi persahabatan yang jelas, Aidil dapat melihat sendiri bagaimana pemain-pemain beliau bertindak balas dan mempelajari sesuatu terbaik untuk diterjemahkan pada perlawanan sebenar.
Selebihnya, Kuching City perlu menyedari betapa pentingnya mereka membawa maruah negara pada musim hadapan selain JDT untuk menjadi sebuah kebanggaan.
Elak kesilapan Selangor
Musim lalu, Selangor gagal memberikan aksi yang lebih menyakinkan di pentas ACL 2 walaupun dibarisi ramai bintang menyakinkan di segenap sudut.
Faktor taktikal permainan menjadi salah satu asbab mereka gagal untuk mengatasi lawan dan kurang memberi ancaman daripada segi kreativiti serangan.
Pengalaman Aidil Sharin dituntut musim depan menerusi percaturan taktikal beliau yang terdahulu sudah terbukti bersama Kedah di pentas Asia beberapa musim lalu untuk kini diulangi pula buat Kuching City.
Jika permulaan baik mampu ditampilkan Kuching City musim seterusnya di pentas Asia pada penampilan pertama mereka, sudah tentu ia mampu memberi galakan kepada kelab lain untuk cuba merebut slot tersebut pula daripada wakil pasukan Sarawak tersebut atau JDT.






