Kuching City & Negeri Sembilan: Siapa Lebih Layak Raih 3 Mata?
Saingan Liga Super 25/26 hari ini terus bersambung dengan membabitkan pertemuan antara Kuching City menentang Negeri Sembilan.
Atas kertas, kedua pasukan tampak seimbang untuk mengutip tiga mata penting jika kita lihat daripada segi momentum semasa serta kualiti para pemain di segenap posisi.
Kuching City masih lagi segar dengan kejayaan mereka mara ke pentas suku akhir Piala Malaysia 25/26, selepas kecemerlangan mereka di laman sendiri untuk mengatasi cabaran Penang menerusi keputusan agregat 2-1.
Manakala Negeri Sembilan pula, mereka turut unggul di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi menerusi kemenangan 1-0 ke atas Imigresen untuk turut ke suku akhir kejohanan tersebut.
Pertemuan kedua pasukan berkenaan hari ini di saingan Liga Super sudah tentu akan menjadi tumpuan utama, kerana masing-masing ingin mengekalkan momentum kemenangan.
Buat Kuching City, pasukan tersebut mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana mereka bakal beraksi di halaman sendiri dengan sorakan padu para penyokong bakal menjadi keutamaan.
Manakala Negeri Sembilan pula, tekanan mungkin terarah kepada Nidzam Jamil sedikit dalam usaha beliau untuk memastikan Hoben Jang Hoben tidak akan keciciran mata untuk kali ketiga berturut-turut.
Terarah kepada kualiti para pemain kedua pasukan, masing-masing dilihat membuat beberapa rombakan dengan muka-muka baharu ditandatangani di segenap posisi.
Untuk Kuching City, mereka kini telah mempunyai tiga muka baharu telah ditandatangani, Ariff Farhan, Ahmad Israiwah (Jordan), dan Jerome Mpacko (Cameroon).
Manakala Negeri Sembilan turut menandatangani khidmat Amirul Adli (Singapura), Kei Oshiro (Jepun), Anuar Ceesay (Malaysia-England-Gambia), serta Oday Kharoub (Palestin).
Ini jelas menunjukkan rekod pertemuan mereka terdahulu ketika masing-masing terikat seri 2-2 tidak boleh dijadikan kayu pengukur lagi kerana perubahan dalam pasukan sudah pun berlaku.
Untuk pemain tumpuan Kuching City hari ini, sudah tentu nama Ramadhan Saifullah akan terus menjadi tunjang utama buat siri serangan pasukan berkenaan menjadi lebih lancar.
Sehingga kini, Ramadhan konsisten menyumbang 15 gol buat pasukan tersebut dan mempunyai kelincahan cukup baik untuk mengatasi pertahanan lawan.
Negeri Sembilan dijangka bakal mengekalkan Luqman Hakim Shamsudin dalam kesebelasan utama, setelah sumbangan besar diberikan beliau ketika aksi menentang Imigresen lalu.
Sehingga kini, Luqman berjaya menaikkan graf kualiti permainan beliau untuk menjadikan dirinya selaku antara pilihan utama Hoben Jang Hoben di posisi serangan.
Pandangan anda mengenai aksi hari ini, siapa bakal meraih tiga mata penuh?









