Kualiti Sumareh Setaraf Mbappe
Kacau bilau pertahanan Myanmar semalam nak hambat ‘keliboy’!
Sebut sahaja nama Mohamadou Sumareh, pastinya pelbagai perkara dan pandangan terlintas di kepala para peminat bola sepak Malaysia. Terutama sekali kelibat beliau di atas padang.
Nama Sumareh bukan lagi suatu yang asing dalam arena bola sepak tempatan, ekoran beliau telah pun lama beraksi di pentas domestik, serta telah menabur bakti buat Malaysia menerusi status naturalisasi.
Terbaharu, pemain serangan lincah ini mencipta sensasi tersendiri ketika mewakili Malaysia untuk kali ke-34 dalam karier antarabangsa sejak 2018 lalu.
Pada aksi pertama Malaysia dalam saingan Piala ASEAN semalam, Sumareh berjaya memainkan peranan penting untuk membantu Harimau Malaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Myanmar di gelanggang lawan.
Walaupun tidak menyumbang gol atau ‘assist’, hasil gerakannya yang berjaya mencetuskan dua gol berharga buat Malaysia untuk meraih kemenangan sulung tahun ini bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Peranan Sumareh cukup besar
Pada aksi tersebut, Sumareh telah pun dipertaruhkan dalam kesebelasan utama Malaysia bersama Paulo Josue dan bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), G.Pavithran untuk membentuk trio serangan.
Pada awal separuh masa pertama sahaja, Sumareh berjaya mencipta satu percubaan tepat, namun dinafikan penjaga gol lawan untuk ditukarkan kepada bentuk jaringan.
Ketinggalan 0-1 di tangan lawan pada separuh masa pertama, jelas siri serangan yang turut ditunjangi Sumareh memerlukan usaha lebih keras untuk kembali mendapatkan gol penyamaan pada babak seterusnya.
Hasilnya? Malaysia berjaya memperoleh dua gol berharga, menerusi ledakan penyerang berbisa Harima Malaya, Paulo Josue untuk membuatkan penyokong tuan rumah terdiam.
Gol pertama Harimau Malaya berlaku menerusi situasi kelam kabut dalam petak penalti lawan, sebelum sentuhan Sumareh yang membuka ruang buat Josue mendapatkan gol, di sebalik celahan beberapa pertahanan Myanmar pada minit ke-52.
Lima minit kemudian, gerakan lincah Sumareh dalam petak penalti, menyaksikan pertahanan Myanmar terpaksa membuat kekasaran yang sekali gus memberi sepakan penalti kepada Malaysia, sebelum ianya sekali lagi disudahkan oleh Josue.
Statistik Sumareh unggul
Menerusi perkongsian Sofascore, Sumareh antara yang mendapat rating tertinggi pada aksi tersebut (7.4), walaupun dirinya tidak beraksi penuh pada perlawanan tersebut.
Berikut merupakan ringkasan statistik Sumareh pada perlawanan berkenaan:
2x percubaan tepat
21 sentuhan
2x gelecekan berjaya
1x menang penalti
9x hantaran tepat
Secara keseluruhan, Sumareh berjaya bangkit di separuh masa kedua dengan aksi yang lebih baik, dan membantu ketika Malaysia memperoleh peluang serangan balas menerusi kepantasan dan kelincahannya untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Sumareh raih pujian ramai
Daripada menjadi bahan jenaka para peminat di media sosial, ramai mula memberi pujian kini kepada pemain serangan naturalisasi tersebut, menerusi kualiti ditampilkan beliau.
Apa tidaknya, sebelum ini tak ramai peminat meletakkan jangkaan tinggi kepada Sumareh dek kerana prestasi semasa serta minit permainannya kurang menyakinkan untuk dipanggil mewakili skuad kebangsaan.
Tetapi siapa jangka, pada aksi pertama ini Sumareh berjaya memberikan impak cukup positif di atas padang dan membantu Malaysia meraih dua gol cukup berharga selain kualiti permainan lincahnya yang mengkucar kacirkan pertahanan lawan persis bintang dunia, Kylian Mbappe.
Dengan keupayaan beliau yang bijak menarik serta memperdayakan pertahanan lawan secara individu sebelum melakukan percubaan berbahaya seperti bintang Perancis itu, dijangka Sumareh akan terus menjadi pilihan utama bagi perlawanan akan datang.
Selain Sumareh, pujian juga perlu diberikan kepada Harimau Malaya yang berjaya mempertahankan keputusan tersebut sehingga ke wisel penamat dengan berdisiplin, walaupun ditekan pasukan tuan rumah secara bertali arus.
Bagi aksi akan datang di laman sendiri, sudah tentu motivasi para pemain berada dalam keadaan cukup menyakinkan walaupun cabaran Laos juga sudah tentu tidak begitu mudah dihadapi.
Foto: Malaysia NT






