Musim ini, sebuah kelab yang dibangunkan atas semangat penyokong berentap di Liga Super iaitu Kelantan Red Warrior (KRW) bagi melengkapkan senarai 12 pasukan bertanding.
Kehadiran mereka dilihat strategi badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) untuk memastikan ada wakil Kelantan di Liga Super selepas ketiadaan Kelantan The Real Warriors (KTRW).
Dengan KRW dibangunkan oleh penyokong disalut dengan nostalgia keampuhan skuad treble pada 2012, kehadiran mereka dijangka boleh menaikkan reputasi Liga Super bagi musim 2026/2027.
Di atas kertas, itu dilihat strategi yang baik dengan KRW diiringi dengan feel good factor menjelang musim bermula. Akan tetapi, bola sepak dimainkan di padang bukannya kertas.
Awal jadi mangsa belasahan
Nasib KRW sebagai pendatang baharu Liga Super diuji dengan dugaan besar apabila mereka ditemukan dengan tiga kelab terbaik Liga Super musim lalu secara berturut-turut bermula dengan Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City.
Bermain di laman sendiri bertemu Gergasi Merah, KRW tumpas 1-4 sebelum aksi berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri berakhir dengan kekalahan besar 0-9.
Luka dalam yang dialami KRW berterusan apabila mereka dibelasah 0-5 berdepan Kuching City dengan aksi dimainkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan bukannya Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bahru seperti aksi berdepan Selangor.
Bolos 18 gol dan cuma menjaringkan satu jaringan, ia menimbulkan pertanyaan buat KRW — adakah Liga Super terlalu sukar buat mereka?
Liga Super asalnya bukan milik KRW
Kita boleh melihat perkara ini dari dua sudut iaitu merit KRW sebagai kelab serta aturan jadual perlawanan yang tidak ‘memihak’ kelab Kelantan itu. Dari sudut merit, KRW bukannya pasukan terbaik untuk dinaikkan dari Liga A1 Semi-Pro ke Liga Super hasil pencapaian mereka musim lalu yang menduduki tempat keempat.
Posisi mereka itu seharusnya diisi oleh Kedah selepas JDT II dan Selangor II selaku dua kelab teratas tidak boleh bermain di liga yang turut disertai oleh pasukan senior mereka.
Tempat itu seharusnya diisi oleh Lang Merah namun mereka mahu kekal di Liga A1, oleh itu tempat itu diberikan kepada KRW yang menduduki tempat keempat untuk beraksi bersama abang-abang besar Liga Super. Dengan kelab baru setahun jagung, lonjakan dari Liga A1 ke Liga Super sememangnya satu lompatan besar buat KRW.
Dengan kedua-dua liga ini secara umum mempunyai jurang yang luas, ia memang sukar untuk KRW naik dan terus bersaing. Mujur buat KRW kerana mereka diketuai oleh Irfan Bakti, seorang jurulatih berpengalaman yang tahu sepak terajang Liga Super. Bayangkan jika pengendali yang kurang pengalaman menguruskan KRW, mungkin mereka akan terus hanyut dan kepercayaan penyokong akan lebih cepat menurun.
Sudut pandang kedua yang boleh dilihat adalah dari segi jadual perlawanan yang jelas tidak memihak KRW apabila ditakdirkan bertemu tiga kelab teratas Liga Super musim lalu pada permulaan musim.
Berkemungkinan di mata MFL, rumus menggabungkan kelab-kelab atasan Liga Super dengan KRW bersama penyokong fanatik mereka di awal musim dapat menghasilkan kehadiran yang tinggi ke stadium. Boleh kata, ride the hype selagi ia masih panas.
Akan tetapi, ketiga-tiga Selangor, JDT dan Kuching jelas terlalu kuat buat mereka. Di saat kita mengharapkan pertembungan ala David vs Goliath, kita disajikan dengan situasi kemenangan rutin buat ketiga-tiga kelab.
Realiti yang lebih realistik
Disebabkan tiga kekalahan teruk itu, para penyokong KRW mula tersentak dengan realiti sebenar Liga Super. Ada juga yang menjauhkan diri daripada pasukan dan turun ke stadium. Akan tetapi, ia bukan penghujung buat KRW. Tiga aksi sukar itu akan disusuli dengan perlawanan bertemu Kuala Lumpur City, Penang dan Star City.
Dari situ, ia mungkin menjadi aksi yang lebih sesuai untuk KRW mula mengutip mata dan meraih semula sokongan penyokong. Kehidupan baharu di Liga Super jelas mencabar buat KRW dari segi kewangan serta tahap kompetitif yang mereka hadapi menentang 11 kelab lain.
Tiga kekalahan awal dialami meninggalkan luka yang amat dalam, namun ia bukannya penamat. Perjalanan liga masih panjang, Irfan masih ada masa untuk membaiki apa yang kurang dan mengemaskan skuad sedia ada supaya mereka tidak lagi mudah dibolosi pihak lawan.
Penulis yakin, rata-rata penyokong KRW masih meletakkan harapan yang rendah terhadap kelab kerana faktor usia mereka masih lagi hijau. Namun begitu, mereka pastinya tidak lari daripada lumrah mahu menyaksikan pasukan kesayangan meraih kemenangan.
Jarak KRW dengan kemenangan pertama di Liga Super mungkin masih jauh tetapi mereka akan tiba jua di destinasi tersebut, apa yang penting adalah tetap teguh dan terus berusaha untuk cepat menyesuaikan diri dengan Liga Super.
Liga Super mungkin terlalu sukar untuk KRW sekarang, namun jika mereka dapat membaiki keadaan kita berpeluang menyaksikan jelmaan The Red Warriors yang pernah digeruni satu masa dulu.






