Kalau cakap tentang Johor Darul Ta’zim, susah kita nak mengelak daripada bercakap tentang siri kejayaan mereka daripada segi pengurusan, fasiliti, serta trofi diraih sejak awal kelab berkenaan ditubuhkan.
“Ada duit semua boleh buat”
“Anak raja jaga memang la hebat”
Itu antara alasan yang kerap digunakan penyokong-penyokong lain setiap kali kita berbicara tentang kejayaan pasukan tersebut, untuk terus melakar dominasi di pentas domestik sejak bermusim-musim lalu.
Malah, JDT meneruskan konsistensi mereka untuk kekal menjadi kelab yang bersaing di pentas tertinggi Asia berdepan pasukan-pasukan handalan lain serta cuba melangkah lebih jauh.
Bagaimana dengan kelab lain? Apa permasalahan mereka yang begitu sukar, waima untuk cuba konsisten membina falsafah tersendiri dalam permainan atau pengurusan lebih cekap?
Konsep kesinambungan diamalkan JDT
Ini satu perkara paling asas, tetapi menjadi kunci utama mengapa JDT mampu untuk kekal konsisten, serta bertambah baik setiap musim dengan mengamalkan konsep kesinambungan yang mempengaruhi pelbagai perkara.
Seperti kelab lain setiap musim, JDT antara pasukan yang aktif dalam jendela perpindahan dan antara kelab yang turut membuat rombakan dalam kejurulatihan utama pasukan.
Mereka lakukan perkara sama seperti kelab lain, tetapi mendapat hasil yang berbeza. Sebab apa? Kerana konsep kesinambungan itu membezakan segalanya hasil kecekapan pengurusan sendiri.
JDT tak amal konsep ‘membabi buta’
Setiap pemain ditandatangani baik import atau tempatan, semuanya dipilih bersesuaian untuk meneruskan kesinambungan falsafah permainan sejak musim-musim lalu, dan ia tidak menjejaskan rentak pasukan.
Misalnya, mereka memastikan penyerang baharu ditandatangani seperti Marcos Guilherme dan Shahab Zahedi mampu menjadi suatu kesinambungan terbaik untuk era Bergson da Silva yang kini semakin berusia dan sudah mendapat status warganegara Malaysia.
Kedua penyerang tersebut setakat ini berjaya memberi gambaran cukup menyakinkan, terutama Zahedi yang kini sudah menyumbang 10 jaringan dalam hanya 6 perlawanan diharungi.
Momentum kejurulatihan cemerlang
Kejurulatihan yang dilantik juga, bukan sekadar gah pada reputasi atau mempunyai nama besar. Tetapi mereka melantik pengendali yang bersesuaian untuk meneruskan kesinambungan falsafah dalam permainan.
Semua jurulatih JDT tak pernah gagal hadiahkan kejayaan buat Harimau Selatan dan penerus yang baharu mampu untuk mengekalkan legasi berkenaan setiap musim demi memastikan bunga api sentiasa dapat dimainkan di SSI.
Bermula dengan era Bojan Hodak yang memberi trofi kejuaraan Liga Super 2014 buat JDT, pasukan tersebut tidak lagi dapat dihentikan dengan kejayaan domestik serta Piala AFC sehingga kini bersama Xisco Munoz.
Menariknya, Munoz menoktahkan usaha jurulatih terdahulu sejak 2021, Benjamin Mora, Hector Bidoglio, dan Esteban Solari bagi memastikan JDT mencipta rekod dunia 109 perlawanan liga tanpa kekalahan
Pendek kata, JDT tidak mengambil mana-mana pemain atau jurulatih sebarangan tanpa menilai kesesuaian dan impak pantas mampu diberikan mereka buat kelab berkenaan. Persaingan adalah perlumbaan, bukannya laman bereksperimentasi.
Kesinambungan dalam pembangunan
JDT juga kekal antara kelab yang konsisten melahirkan bakat-bakat muda berkualiti untuk menjadi pembekal pemain buat skuad kebangsaan, atau mana-mana kelab lain memerlukan sehingga kini.
Akademi JDT sendiri dilihat mengamalkan konsep kesinambungan tersebut baik daripada segi pencari bakat, kejurulatihan pembangunan, sehingga pemain cilik berkualiti yang sesuai untuk terus digilap.
Hari ini orang melihat Arif Aiman sebagai figura utama kekuatan Harimau Selatan, tetapi mereka tidak memandang bagaimana JDT memberi kepercayaan buat bakat muda itu suatu ketika untuk meneruskan kesinambungan pasukan tanpa perlu disekat-sekat.
Kelab lain pun sebenarnya ada melahirkan bakat muda berkualiti, tetapi adakah mereka mampu memberi kepercayaan penuh untuk mereka berkembang seperti Arif tanpa bergantung harap pada ‘kuda tua’ atau import tidak berkualiti?
Sedangkan JDT yang dikatakan lebih mengharapkan kepada tenaga luar juga berupaya melahirkan bakat muda secara konsisten setiap musim dan memberi manfaat kepada kelab lain seperti Chia Ruo Han (Penang), Gabriel Nistelrooy (Kuching City), dan Alif Mutalib (Negeri Sembilan).
Pada masa sama, bakat baharu daripada skuad Piala Presiden, JDT III, Daniesh Amiruddin juga sudah diberi peluang serta membuktikan kualitinya dalam dua aksi diharungi bersama pasukan senior dengan tiga sumbangan gol direkodkan.
Malah, hasil pembangunan Akademi JDT juga memastikan JDT II meraih kejuaraan Liga A1 pada saingan musim lalu selain kejohanan-kejohanan akar umbi lain di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Bukan projek sekerat jalan
Sejak bertahun-tahun lalu, kita hanya boleh dengar janji-janji politik penaung kelab untuk memperkasakan projek fasiliti kelab dalam ucapan manifesto, pada akhirnya rumput padang masih lagi menyedihkan, stadium tidak diurus baik, serta fasiliti latihan juga seakan bertaraf semi-pro.
Manakala JDT meneruskan kesinambungan mereka dalam membangunkan pelbagai projek-projek penting yang khas buat pemain pembangunan serta pasukan utama merasainya.
Jika diikutkan, Stadium Larkin itu sudah pun lengkap, tetapi sebagai pasukan yang percaya kepada konsep kesinambungan pada masa hadapan untuk sebuah kemajuan, kita semua dapat melihat Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang bertaraf antarabangsa.
Selain itu, JDT juga menjadi pelopor kepada kelab lain menerusi konsep kesinambungan mereka setiap tahun dalam membina fasiliti latihan lengkap dan penjagaan padang berkualiti.
Kesinambungan terbaharu menyaksikan JDT bakal membina pusat latihan bertaraf dunia untuk menjadi paling moden di Asia menerusi perkongsian Johor Southern Tigers.
PSJ dan kesinambungan JDT
Tanpa sentuhan dan kepercayaan penuh pemilik kelab, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor (PSJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, mungkin konsep kesinambungan JDT ini akan tersekat atau menjadi seperti kelab lain.
Baginda sentiasa berfikir beberapa langkah di hadapan setiap musim, demi memastikan kesinambungan dalam pembangunan untuk mengekalkan kejayaan setiap musim sentiasa dapat dilakukan.
Ada kelab bermula dengan baik serta hadir dengan sumber kewangan tinggi, tetapi masih gagal sehingga kini untuk membuktikan konsep kesinambungan mereka berjalan baik seperti diamalkan JDT.
Seperti dikata, wang hanya sebuah alasan. Pada akhirnya konsep kesinambungan itu sendiri memainkan peranan sangat penting untuk kita melihat apa yang sedang dikecapi JDT kini.







