‘Ketumpulan’ Viktor Gyokeres Berpunca Daripada Taktikal Arsenal?
Pada awal penyertaan Viktor Gyokeres bersama Arsenal, beliau membawa harapan yang cukup tinggi sebenarnya buat penyokong The Gunners.
Apa tidaknya, Gyokeres hadir dengan reputasi cukup tinggi sebelum ini bersama Sporting Lisbon menerusi ketajamannya di hadapan gawang gol selaku peledak handalan.
Melihat pada prestasi penyerang Sweden tersebut sebelum ini, ramai menjangkakan Arsenal mungkin sudah dapat menutup isu kelemahan mereka terdahulu di posisi penyerang utama.
Dengan Gabriel Jesus dan Kai Havertz yang sebelum ini ditimpa kecederaan, harapan tinggi dipertaruhkan kepada Gyokeres, supaya beliau mampu memberi impak yang diharapkan daripda segi statistik gol.
Malangnya, penyerang berusia 27 tahun ini seolah-olah masih mencari rentak dan persefahaman terbaik beliau bersama skuad kendalian Mikel Arteta.
Tidak banyak perkara positif boleh diperkatakan kepada Gyokeres, apabila impak beliau sendiri di atas padang kurang menyakinkan sejak perlawanan-perlawanan lalu.
Ini termasuklah ketika aksi terbaharu Gyokeres sebelum itu menentang cabaran Liverpool, apabila kedua kelab berkenaan sekadar terikat seri tanpa sebarang jaringan mampu terhasil.
Kenapa Gyokeres menjadi tumpuan dan diberi kritikan keras dalam kalangan peminat?
Penyerang tersebut seolah tidak wujud sepanjang perlawanan itu berlangsung dan yang lebih membimbangkan, Gyokeres gagal mencipta sebarang percubaan ke arah gawang lawan.
Malah, beliau hanya membuat lapan sentuhan sahaja, termasuk ketika ‘kick-off’ awal perlawanan berlangsung. Selebihnya, Gyokeres tenggelam dan terkapai-kapai di atas padang.
Lima gol daripada 19 perlawanan EPL musim ini menggambarkan sesuatu yang cukup teruk buat penyerang ini, kerana beliau hadir dengan membawa reputasi tinggi dari Sporting Lisbon terdahulu.
Gary Neville sendiri menganggap Gyokeres langsung tidak memberi sebarang sumbangan pada aksi itu, dan jelas perkara sama turut ditekankan oleh peminat menerusi media sosial.
Apapun, Mikel Arteta tetap konsisten mempertahankan Gyokeres dengan persoalan timbul, adakah pengendali tersebut benar-benar mempercayai beliau atau tiada pilihan lain lebih baik untuk dipertaruhkan.
Apapun, hendak meletakkan kesalahan penuh kepada Gyokeres seorang tidak wajar juga, jika kita perhatikan sendiri bagaimana struktur serangan Arsenal bergerak kini.
Jika kita imbas sebaik mungkin, sokongan diberikan kepada beliau juga sangat lemah, dengan kadangkala pemain seperti Bukayo Saka atau Gabriel Martinelli sedikit ‘tamak’ di hadapan.
Adakala, gerakan pemain sayap kiri dan kanan juga sedikit perlahan dan tidak seiring dengan larian yang dibuat Gyokeres untuk membuka peluang percubaan lebih baik buat beliau.
Secara keseluruhan, Arteta perlu memikirkan solusi terbaik kini untuk memperbaiki keadaan, atau Gyokeres akan terus ‘mati’ tanpa sebarang statistik lebih positif.
Pandangan anda bagaimana?







