Ketajaman Chrigor Moraes Mampu Beri ‘Mimpi Buruk’ Buat Kelantan TRW
Kelibat penyerang utama Selangor, Chrigor Moraes antara tumpuan utama untuk aksi sulung The Red Giants hari ini di pentas Piala Malaysia 2025/2026.
Selepas kecewa dengan kualiti penyerang import pada saingan musim lalu, nampaknya Selangor belajar daripada kesilapan dengan menandatangani khidmat penyerang dari Brazil, Chrigor Moraes.
Pada awalnya, kehadiran Moraes kurang diberi tumpuan oleh mana-mana peminat, ekoran rekod beliau terdahulu di Thailand tiada yang begitu istimewa untuk diperkatakan.
Malah, ramai memberi perhatian kepada bekas penyerang import, Willian Lira yang sebelum itu turut ditandatangani kelab berkenaan, kerana pemain dari Brazil tersebut pernah mencipta reputasi hebat bersama Kedah DA.
Namun sebaliknya berlaku, apabila Moraes terlebih dahulu tampil dengan aksi cukup memberansangkan dan tidak memerlukan masa untuk cepat menyesuaikan diri dalam permainan.
Sehingga kini, pemain berusia 25 tahun itu sudah merekodkan 26 gol buat Selangor serta mencipta 7 ‘assist’ dengan prestasi cukup positif untuk diperkatakan.
Lebih menarik, beliau juga telah merekodkan gol dalam semua kejohanan disertai Selangor musim ini baik di pentas domestik, atau saingan Asia, dan kini Piala Malaysia pastinya menjadi sasaran terbaharunya.
Bertemu Kelantan The Real Warriors (TRW) hari ini, ianya merupakan peluang terbaik untuk Moraes menambah koleksi jaringan beliau pada musim ini di Malaysia bersama Selangor.
Apatah lagi prestasi semasa Kelantan TRW sendiri boleh dikatakan kurang konsisten dan serba serbi tidak lengkap daripada segi kualiti serta kuantiti pemain.
Untuk Kelantan TRW, aspek pertahanan antara perlu ditekankan pada aksi hari ini atau mereka akan menjadi mangsa kekalahan pada aksi sulung di laman sendiri. Suatu perkara perlu dielakkan.
Namun, berdepan cabaran Selangor bukannya perkara yang mudah ekoran prestasi pasukan pelawat kini berada pada tahap cukup baik, terutama sekali penyerang mereka Moraes.
Dengan berbekalkan pemain sedia ada, Akmal Rizal perlu memastikan para pemain berada pada tahap terbaik dan memberi fokus penuh untuk mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku.
Rekod pertemuan kedua pasukan tersebut sebelum ini berkesudahan dengan kemenangan buat Selangor menerusi keputusan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pada aksi tersebut, Moraes turut hadir selaku salah seorang penjaring gol dan tentunya para pemain Kelantan TRW menyedari bagaimana ancaman mampu diberikan beliau kepada mereka.
Apapun, kami berharap supaya kedua pasukan tampil dengan aksi sengit dan saling berbalas serangan untuk memberi kualiti permainan yang mengujakan kepada para penyokong.
Pandangan anda, siapa akan menang?




