Kepakaran Yusri Che Lah Wajar Dicontohi
Nama beliau mungkin tidak kerap mendapat perhatian ramai, tapi sentuhannya itu umpama magis buat sesetengah pemain dan pasukan.
Bercakap tentang Yusri Che Lah, tak ramai sebenarnya menghargai beliau selaku salah seorang jurulatih tempatan yang sangat bagus daripada segi pendekatan.
Mungkin ada yang turut menganggap Yusri hanyalah tipikal jurulatih sahaja dan tidak mempunyai keistimewaan mampu diberikan kepada pasukan.
Tetapi, musim ini pengendali tersebut membuktikan mengapa sentuhannya tidak boleh dipandang remeh dan ramai perlu mengakui kualiti dan pengalaman dimilikinya cukup bagus buat bola sepak tempatan.
Karier baharu bersama Imigresen
Selepas bersama Perak musim lalu, Yusri meneruskan karier beliau dalam dunia kejurulatihan profesional dengan kini ditandatangani selaku pengendali baharu Imigresen.
Pasukan dari saingan semi-pro yang dinaikkan pangkat ke pentas Liga itu menjadi cabaran terbaharu buat Yusri untuk terus menguji kemampuannya dalam membentuk semula gabungan pemain tempatan dan import.
Bermula dengan sedikit perlahan pada awalnya, beberapa rombakan dibuat menyaksikan Imigresen kini menjadi antara pasukan cukup berbahaya di pentas Liga Super 25/26.
Potensi Imigresen dalam kelompok 5 terbaik
Sejak 5 perlawanan terakhir Liga Super diharungi Imigresen, pasukan tersebut masih lagi belum mencatat sebarang kekalahan dengan empat daripadanya diterjemahkan kepada kemenangan.
Setakat ini, Imigresen sudah pun berada di tangga keenam Liga Super dan berpotensi memintas Terengganu pada aksi terakhir liga untuk berada pada kedudukan kelima jika Sang Penyu merekodkan kekalahan.
Mereka juga berjaya menjarakkan mata dengan Negeri Sembilan di tangga ketujuh yang hanya akan kekal di kedudukan tersebut walaupun skuad Hoben Jang Hoben meraih kemenangan minggu ini.
Bagaimana pendekatan Yusri bersama Imigresen?
Jika kita lihat senarai pemain Imigresen musim ini, tidak ramai nama-nama besar atau yang mewakili skuad kebangsaan berada dalam pasukan tersebut.
Pemain seperti Fayadh, Nik Akif, Halim Shaari dan beberapa lagi pula pernah berada pada tahap kurang memuaskan sejak musim lalu bersama pasukan masing-masing sebelum berada bawah kendalian Yusri.
Bersama pengendali tersebut musim ini, kebanyakan pemain yang boleh kita katakan sepi sahaja sebelum itu kembali memuncak daripada segi prestasi dan menjadi tunjang kekuatan utama pasukan.
Malah, pemain import diikat seperti Wilmar Jordan Gil, Eduardo Sosa, dan Elvis Kamsoba tampil dengan cukup baik hasil sentuhan Yusri walaupun mereka tidak mempunyai reputasi sangat tinggi (kecuali Wilmar).
Corak permainan positif
Untuk pasukan yang buat pertama kali bermain di Liga Super serta mengalami pelbagai rombakan musim ini, agak mengejutkan jika kita lihat daripada segi persefahaman serta kualiti permainan ditampilkan.
Seperti aksi terbaharu menentang Terengganu, mereka mampu bertahan dengan cukup baik dalam satu unit, serta melancarkan siri serangan balas pantas cukup berbahaya buat pertahanan lawan.
Persefahaman daripada segi pergerakan setiap pemain, hantaran-hantaran dibuat, serta ‘off ball movement’ dibuat sangat baik dengan berteraskan kepada Eduardo Sosa di posisi tengah serangan.
Contohi Yusri
Ini menunjukkan Yusri mempunyai kepakaran yang cukup baik selaku jurulatih tempatan untuk pantas menilai keadaan semasa pasukan dan dilihat sentiasa mempunyai 2-3 pelan buat kelab di atas padang pada hari perlawanan.
Keupayaan beliau dalam membangunkan pemain-pemain biasa kepada luar biasa bawah kendaliannya dan menjadikan mereka cukup penting untuk menjalankan pelan taktikal boleh dikatakan cukup baik.
Malah, Yusri juga bijak memberi ransangan motivasi kepada pemain serta tenang, walaupun ketinggalan di tangan lawan kadang kala.
Siapa kata pengendali tempatan tiada kualiti?






