Kenapa Vozinha Dianggap ‘Overrated’?
Lain macam sangat tumpuan diberikan ke atas beliau sejak kebelakangan ni kan?
Penjaga gol utama Cape Verde, Josimar Jose Evora Dias, atau lebih dikenali sebagai Vozinha akhirnya telah pun diperkenalkan oleh pasukan baharunya, Colo-Colo semalam dengan beliau mendapat perhatian ramai peminat.
Apa tidaknya, Vozinha terdahulu tampil begitu menyerlah ketika mewakili Cape Verde dalam saingan Piala Dunia 2026, sehingga mendapat pelbagai pujian daripada pemerhati bola sepak serta para peminat di media sosial.
Hadir tanpa dikenali ramai pada awalnya, siapa sangka pemain yang kini sudah berusia 40 tahun itu membuka lembaran baharu dengan salah satu kelab gergasi di Chile, Colo-Colo bersama kontrak lumayan.
Perjalanan beliau dianggap cukup menarik dalam kalangan peminat, setelah dirinya sebelum itu hanya beraksi di pentas divisyen kedua Portugal bersama Chaves sebelum melangkah ke Piala Dunia 2026 dengan sangat menyakinkan.
Namun, ada beberapa pandangan negatif tetap dilemparkan kepada perjalanan semasa penjaga gol itu, dan menjadi beberapa pertikaian di media sosial mengenai Vozinha dan Colo-Colo.
Vozinha jadi tunggangan Colo-Colo?
Populariti Vozinha di Piala Dunia 2026 boleh dianggap sebagai suatu fenomena, apabila beliau pada asalnya tidak begitu terkenal dan jumlah pengikutnya di media sosial mulanya cuma sekitar 300,000 orang sahaja.
Penampilannya ketika aksi pertama menentang Sepanyol di pentas itu yang menjadi permulaan kepada segalanya, sehingga beliau mendapat perhatian ramai dan jumlah pengikutnya di Instagram melonjak kepada 29 juta orang selain dirinya antara pemain paling popular dalam kejohanan tersebut.
Disebabkan itu, beberapa kelab tampil menunjukkan minat untuk menandatangani Vozinha sebelum beliau memutuskan keputusan untuk menyertai Colo-Colo pada saingan akan datang di Chile.
Timbul persoalan ramai, jika Colo-Colo menandatangani Vozinha hanya sekadar untuk menunggang nama beliau dan menambah populariti kelab itu sahaja sebagai suatu idea pemasaran mereka.
Ini kerana pada usia beliau yang kini sudah berumur 40 tahun, tidak ramai meletakkan jangkaan tinggi konsistensi dibawa oleh Vozinha mampu dikekalkan dengan risiko kecederaan juga mungkin akan menghampiri pemain tersebut.
Dengan menandatangani Vozinha, peluang Colo-Colo untuk menambah populariti dan menaikkan statistik jualan jersi, tiket perlawanan, dan menarik tajaan tampak lebih cerah ekoran tumpuan ramai diberikan kepada penjaga gol itu.
Disebabkan itu ada yang sudah mula menganggap Vozinha kini sebagai pemain yang ‘overrated’ kerana tumpuan diberi secara berlebih-lebihan tatkala beliau cuma menyerlah dalam beberapa perlawanan di pentas Piala Dunia.
Pembimbing terbaik
Walaupun begitu, ada yang turut menyangkal dakwaan tersebut, kerana Vozinha boleh dianggap sebagai pembimbing dan memimpin pasukan itu dengan lebih baik menerusi pengalaman dimiliki.
Ini kerana, penjaga gol utama Colo-Colo kini merupakan seorang pemain muda berusia 19 tahun, Gabriel Maureria yang dianggap mempunyai potensi tetapi masih terbatas daripada segi pengalaman.
Maureria diberi tanggungjawab sebelum itu selaku penjaga gol utama, selepas tonggak mereka, Fernando de Paul mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan untuk suatu tempoh yang panjang.
Kehadiran Vozinha bukan sahaja untuk mengisi kekosongan ditinggalkan sementara oleh de Paul, tetapi beliau bakal memainkan peranan selaku pembimbing kepada Maureria selain seorang lagi penjaga gol muda, Eduardo Villanueva yang berusia 21 tahun.
Malah, ini juga bakal meningkatkan lagi persaingan, kerana Vozinha hadir dengan reputasi cukup besar dan berada dalam prestasi terbaik untuk menggugat posisi utama dimiliki kini oleh Maureria.
Selain menaikkan populariti kelab seperti didakwa, ianya juga mampu untuk meningkatkan lagi persaingan semasa sesama pemain pasukan itu untuk masa akan datang.






