Kenapa Harimau Selatan Sentiasa Lapar?
Pasti ramai tertanya-tanya mengapa JDT sentiasa lapar akan kemenangan, dengan tak mengambil mudah dalam setiap perlawanan.
Seusai kemenangan 6-1 ke atas tuan rumah Sabah di Stadium Likas, seorang pencipta kandungan bola sepak China mengesan satu fenomena—yang baginya—menarik. “Di luar stadium Sabah FC, anda boleh nampak orang jual jersi JDT. (Fenomena) menjual jersi pasukan pelawat di stadium tuan rumah tak pernah berlaku di China lagi,” tulisnya.
Ini satu benda yang pasti. Orang takkan jual kalau tak ada orang beli. Dan orang takkan beli kalau mereka tak kenal. Sejak 2013, JDT berkembang daripada imej sebagai sebuah kelab terkenal di Malaysia kepada sebuah kelab tersohor di Asia. Majoriti peminat bola sepak di Asia Tenggara dan Asia Timur kenal JDT. Dua demografik ini sahaja menjadikan JDT dikenali oleh lebih 600 juta orang.
Anda boleh bertaruh tak ramai orang Sabah akan membeli jersi pasukan pelawat lain di luar Stadium Likas. Hanya jersi JDT. Ini adalah petanda jenama JDT sudah melangkaui sempadan negeri Johor. Jenama JDT sudah relevan di seluruh Malaysia. Dengan membeli jersi JDT, peminat bola sepak di Sabah bukan sekadar membeli jersi pasukan paling berjaya di Malaysia, mereka sebenarnya ‘membeli’ budaya kecemerlangan JDT.
Daripada menang kepada konsisten menang
Dengan kemenangan 6-1 tersebut, Harimau Selatan kini hanya memerlukan enam mata (dua kemenangan) sahaja lagi sebelum ditabalkan juara Liga Super 2025/2026. Kejuaraan liga untuk kali ke-12 berturut-turut. Bila anda sekonsisten JDT, ia bermakna anda dah mencipta satu sistem, di mana, sebarang cost of failure telah berjaya dikeluarkan daripada persekitaran anda. Setiap ringgit bajet anda telah diikat dengan penunjuk prestasi utama (atau KPI). Bukan main belanja sahaja. Kita mesti mengkaji bagaimana DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, mengubah JDT daripada “pasukan yang menang” kepada “sistem yang sentiasa konsisten.”
Konsistensi seringkali ditafsir sebagai hasil daripada “kelebihan kecil” (marginal gains). Mencari “kelebihan kecil” ini adalah satu obsesi mana-mana individu, atau organisasi yang elit. British Cycling dengan obsesi mereka dengan bantal dan tilam atlet mereka; Steph Curry dengan kaca mata strobe; Bryson DeChambeau dengan ritual mencelup bola golfnya dalam larutan garam Epsom; Mikel Arteta dengan latihan set-piece, adalah sekadar beberapa contoh.
Di Malaysia, ia bukan satu rahsia lagi bagaimana JDT memperolehi “kelebihan kecil” mereka. Semuanya berpunca daripada obsesi DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap profesionalisme. Tahap fasiliti kelab JDT setaraf mana-mana kelab profesional Eropah. Sejak ditubuhkan pada 2013, belum pernah sekalipun kebajikan pemain-pemain JDT terabai. Mana-mana pemain yang masuk ekosistem JDT akan dibebaskan daripada sebarang aral yang bakal melintang. Supaya bakat mereka boleh dimanifestasikan tanpa sebarang gangguan luaran.
TMJ sebagai pengasas budaya konsisten JDT
Anda mungkin fikir sudah cukuplah sumbangan DYAM Tunku Mahkota Ismail sebagai pemilik kelab dengan menyediakan fasiliti kelab dan menjaga kebajikan pemain. Tetapi baginda melakukan lebih lagi—dengan menjadi contoh. Setiap hari, menerusi akaun Instagram baginda, anda pasti dapat melihatnya melakukan latihan kekuatan dan kecergasan di gimnasium. Jika tidak di gimnasium, baginda akan bersukan polo. Jika tidak bersukan polo, baginda akan bermain bola bersama anak-anak. Semua ini dilakukan secara konsisten setiap hari walaupun sibuk menggalas tugas sebagai pemilik kelab, pegawai komandan JMF, dan Pemangku Sultan Johor.
Kejayaan yang diraih kelab dan negerinya menjadikan DYAM Tunku Mahkota Ismail sasaran mudah Sindrom Tall Poppy — fenomena di mana individu yang terlalu menonjol sering ditarik turun oleh persekitaran yang selesa dengan kebiasaan. Kritikan terhadap baginda — sama ada tentang belanjawan kelab, dominasi JDT yang dianggap “membunuh” persaingan liga, atau gaya kepimpinan baginda yang lantang — tidak pernah berhenti. Tetapi baginda tidak berundur. Sebaliknya, baginda menerima label itu: outlier. Disruptor. Dan dengan berbuat demikian, baginda memaksa seluruh ekosistem bola sepak Malaysia untuk sama ada “ikut atau terus ketinggalan.”
Sebagai seorang disruptor, kehadiran berterusan baginda di media sosial dan padang latihan membentuk satu feedback loop yang pendek dan berkuasa. Apabila pemimpin tertinggi sebuah organisasi kelihatan berlatih setiap hari, mesejnya jelas kepada semua orang di bawahnya: tiada siapa yang terlalu besar untuk berusaha. Ini mewujudkan satu tekanan positif yang tidak perlu disebut-sebut. Anda akan rasa sendiri. Berbeza dengan pemimpin lain yang memerlukan anda mengikuti chain of command yang panjang sebelum suara anda sampai ke atas, DYAM Tunku Mahkota Ismail hadir secara langsung — di padang, di media sosial, di dalam bilik yang sama. Jarak antara pemilik dan pemain adalah minimum. Dan jarak yang minimum bermakna standard yang tinggi sukar untuk disembunyikan, atau diabaikan.
Gaya kepimpinan sebegini bererti anda juga perlu menjadi “rod kilat” setiap kali “petir” muncul. Sejak 2013, kita boleh lihat ini juga satu kualiti DYAM Tunku Mahkota Ismail. Setiap kali JDT dikritik, baginda akan ke depan—menyerap semua tekanan media dan penyokong supaya pemain dan ketua jurulatihnya dapat beroperasi dalam zon bebas tekanan.
Kejayaan bukan sasaran; ia satu amalan
Inilah cara DYAM Tunku Mahkota Ismail mengubah JDT daripada sekadar sebuah pasukan kepada satu sistem. Pasukan boleh silih berganti; sistem kekal. Waima siapa pun pemain dan ketua jurulatihnya.
Di JDT, pemain dibentuk oleh sistem ciptaan DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk sentiasa lapar. Tiada ruang untuk leka. Anda sedang mendahului? Terus menyerang dan dapatkan gol lagi. Anda sedang ketinggalan? Bangkit cepat dan terus menyerang. Anda dicop sebagai pilihan besar untuk menang? Anda dicop sebagai underdog? Lupakan label tersebut dan buktikan kenapa anda berhak menang.
Mana-mana pemain JDT boleh memberi testimoni: lagi susah nak kekal di JDT daripada masuk JDT. Pemain JDT tidak bersaing dengan pemain lawan, mereka bersaing dengan standard sistem JDT. Walaupun anda mungkin sudah bergelar pemain kebangsaan sebelum masuk JDT, anda masih perlu menjustifikasi kenapa anda layak duduk di bangku simpanan—apatah lagi bermain kesebelasan utama—selepas masuk JDT.
Inilah cara DYAM Tunku Mahkota Ismail memastikan Harimau Selatannya “sentiasa lapar”. Bukan dengan arahan, tetapi dengan membina persekitaran di mana kelaparan itu timbul sendiri. Dan di luar Stadium Likas, di tangan peminat Sabah yang memegang jersi JDT, anda boleh nampak bukti paling jujur tentang apa yang berlaku apabila sebuah sistem benar-benar berjaya: ia bukan lagi milik satu negeri. Ia menjadi milik semua orang yang menghormati kecemerlangan.



