Musim lalu, Negeri Sembilan membawa selaku salah satu kelab pencabar di saingan Liga Super dan kejohanan domestik lain selepas kualiti ditampilkan mereka cukup menyakinkan.
Menamatkan cabaran di tangga ke-7 Liga Super, melayakkan diri ke pentas suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia, boleh dikatakan pasukan tersebut memberi bayangan akan bertambah bagus untuk edisi 26/27.
Tetapi, sebaliknya berlaku pada musim ini buat pasukan tersebut yang dilihat serba serbi tidak menjadi daripada keputusan di atas padang dan gaya permainan telah ditampilkan dalam saingan domestik.
Musim ini sahaja menyaksikan Negeri Sembilan telah merekodkan kekalahan sebanyak tiga kali dalam saingan Liga Super selepas mengharungi enam perlawanan selain mencatat satu kemenangan sahaja untuk meraih 5 mata.
Terbaharu, mereka tewas lagi di pentas Liga Super dengan menjadi mangsa kepada DPMM Brunei menerusi keputusan 1-3 di gelanggang pasukan lawan semalam dengan aksi cukup mengecewakan.
Kualiti import cukup teruk
Seperti diperkatakan penyokong, tak dinafikan kualiti dipamerkan oleh beberapa pemain import Negeri Sembilan cukup mengecewakan dan menjadi beban kepada pasukan dalam aksi diharungi.
Penyerang, Yusuke Minagawa antara diberi kritikan teruk kerana beliau langsung tidak memberikan sebarang impak di atas padang termasuk aksi berdepan DPMM Brunei semalam.
Malah, penyerang import baharu, Aboubakar Kamara juga mendapat perhatian peminat ekoran impaknya yang masih belum dirasai selain saiz fizikal beliau membataskan pergerakan pemain berkenaan.
Walaupun mempertaruhkan dua pertahanan import pada aksi berkenaan, ianya langsung tidak dirasai dengan Negeri Sembilan melepaskan tiga gol kepada pasukan lawan.
Jika kita lihat sejak lima perlawanan terakhir diharungi pasukan berkenaan, mereka hanya mencatat satu kemenangan sahaja ketika berdepan kelab A1, Kelantan City. Selebihnya, ia berakhir dengan dua seri serta dua kekalahan.
Jurulatih juga tidak menyakinkan
Mempertaruhkan Daniel Gimenez selaku pengendali utama musim ini, masih tiada sebarang impak positif berjaya dilakar beliau dalam percaturan taktikal permainan.
Penguasaan permainan mungkin menjadi milik Sepanyol dalam sesetengah aksi, tetapi para pemain masih belum menguasai sepenuhnya dengan disiplin pertahanan yang longgar serta tiada kreativiti dalam menggerakkan serangan.
Beberapa desakan peminat juga sudah mula disuarakan penyokong, dengan mereka mahu jurulatih tersebut dipecat supaya masa depan Negeri Sembilan musim 26/27 dapat diselamatkan lebih awal.
Kaji semula penggunaan import
Selain pemain import yang perlu dikaji semula terutama membabitkan beberapa pemain, pengurusan kelab juga wajar menilai gerak kerja jurulatih pasukan yang masih belum menyerlah sepenuhnya.
Dalam kalangan pemain tempatan, segalanya tampak baik, cuma kualiti import sahaja masih lagi belum memuaskan dan lebih dilihat sebagai ‘tangkap muat’ sahaja musim ini seperti Yusuke Minagawa dan Kei Oshiro.
Dengan pengharapan ramai penyokong menerusi kualiti ditampilkan mereka musim lalu, Negeri Sembilan perlu membuat perubahan dengan secepat mungkin untuk kembali berada di landasan tepat.







