Mauricio Pochettino secara rasminya telah pun tiba menyertai Manchester United, selepas beliau sudah diperkenalkan terlebih dahulu kepada umum, menerusi laman pasukan tersebut beberapa hari sahaja lalu.
Entah kenapa, kali ini tidak ada sambutan atau sorakan berbaur keyakinan dalam kalangan penyokong kelab tersebut kepada Pochettino, seperti dilakukan mereka terdahulu kepada pengurus-pengurus baharu pasukan berkenaan.
Pada pengamatan kami, mungkin kerana keputusan dan perjalanan semasa Man United sendiri tampak tidak begitu memberansangkan yang menyaksikan mereka kurang memberi tumpuan kepada kehadiran Pochettino ke Old Trafford.
Mungkin juga reputasi semasa Pochettino yang terdahulu pernah mengendalikan beberapa kelab di England juga kurang memberansangkan yang membuatkan penyokong memikirkan jika Man United akan terus berada pada takuk sama seperti kini sehingga ke penghujung musim.
Di media sosial, laman rasmi pasukan itu sendiri tidak mendapat banyak komen positif dalam kalangan peminat dengan pelbagai kritikan terus dilontarkan peminat atas beberapa perkara yang masih tidak disenangi.
Perubahan besar kelab dituntut
Antara perkara menarik yang diluahkan penyokong, sudah tentu mereka sebenarnya mengharapkan perubahan lebih besar dibuat dalam kalangan pengurusan tertinggi kelab yang dianggap punca sebenar kejatuhan kelab.
Seperti biasa, ramai yang mengharapkan Keluarga Glazer mampu berubah untuk lebih fokus kepada perjalanan semasa kelab dan kembali meletakkan Man United pada kedudukan lebih baik berbanding kerap memecat pengurus dan bertukar para pemain baharu setiap musim dengan nasib pasukan terus diperjudikan.
Menurut mereka, kebanyakan pengurus dan pemain yang hadir terdahulu sebenarnya sudah cukup menyakinkan, tetapi atas dasar politik dalaman kelab yang tidak berkesudahan menjejaskan prestasi semasa pasukan serta congakan pelan pengurus pada masa hadapan.
Malah ramai masih mengkritik kelab tidak pernah belajar dengan kesilapan mereka, apabila masih menjadikan pengurus sebagai ‘kambing hitam’ atas kegagalan sendiri yang menjadikan Man United terumbang ambing.
Selain itu, teguran turut dibuat kepada kelab supaya tidak terlalu beria mempromosikan pengurus baharu, Pochettino dan mahu beliau diberi peluang lebih pantas untuk melakukan kerja awal memperbaiki prestasi semasa The Red Devils.
Perkara lain, tentunya mereka mahu Pochettino diberi kebebasan penuh untuk menentukan pemain terbaik dan bersesuaian untuk diikat pada jendela perpindahan akan datang, serta tidak mahu bintang kelab lebih besar daripada segi pengaruh berbanding pengurus.
Tugas sukar Pochettino
Satu perkara penting yang Pochettino perlu tahu, beliau kini bukan sahaja perlu memulihkan prestasi kelab dengan lebih pantas, tetapi wajib memenangi hati penyokong menerusi gerak kerja beliau selaku pengurus terbaharu Man United. Legasi kelab ini cukup besar, dan dirinya mestinya sedar akan risiko dan jangkaan ramai dari seluruh dunia.
Aksi pertama beliau pula boleh dikatakan cukup berat, kerana ia bakal mempertemukan Man United bersama pesaing sengit mereka sejak sekian lama, Liverpool yang berada pada prestasi lebih baik kini berbanding The Red Devils.
Perkara paling minima Pochettino perlu buat, mengelakkan kelab daripada menjadi mangsa kekalahan di tangan The Reds, atau membuat beberapa rombakan lebih berani dalam kalangan pemain utama.
Jika tidak, Pochettino perlu bersedia dengan kritikan-kritikan keras dalam kalangan media, pemerhati bola sepak, dan penyokong Man United sendiri kalau situasi semasa kelab masih sama seperti diuruskan oleg pengendali terdahulu.
Lebih perit, jika desakan terus berlaku akibat nasib kelab masih buruk, Pochettino juga mungkin akan dipecat kerana pengurusan pasukan masih tak belajar daripada situasi dialami mereka seperti musim-musim lalu yang menjadikan pengurus sebagai mangsa utama.






