'KEJOR: 120 Minit Gila Di Shah Alam' Nostalgia Terindah Perak Bergelar Juara Piala Malaysia 2018
Kenangan indah Perak menjulang Piala Malaysia 2018 akhirnya diabadikan dalam bentuk buku menerusi garapan anak jati negeri itu sendiri untuk semua.
Anak jati Chemor, Perak yang juga merupakan penyokong setia kelab tersebut, Meor Abdullah Syamim hari ini secara rasminya telah pun melancarkan buku pertama beliau yang bertajuk, ‘KEJOR: 120 Minit Gila Di Shah Alam’.
Bagi yang kurang mengenali penulis buku tersebut, Meor merupakan seorang pengamal media dan penulis kandungan sukan di The Vocket. Sebagai anak jati Chemor, Perak, beliau aktif dalam pembangunan sukan komuniti tempatan.
Melihat kepada tajuk buku tersebut, rasanya mana-mana peminat bola sepak tempatan, khususnya dari Perak sendiri sudah dapat meneka ia berkenaan sejarah kelab tersebut pada 2018 lalu menamatkan penantian 18 tahun untuk mendakap trofi kejuaraan Piala Malaysia.
Ya, anda tepat. buku ini memfokuskan kepada perjalanan Perak sendiri pada aksi akhir tersebut menentang Terengganu yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Jika sebelum ini, kita hanya mengetahui sedikit sahaja tentang aksi akhir tersebut, penulis buku berkenaan kini cuba membawa anda menyelami sendiri suasana lebih mendalam pada hari final tersebut menerusi rangkuman kronologi perlawanan, emosi penyokong, suasana belakang tabir, serta detik dramatik yang kita mungkin terlepas.
Jelas Meor, buku indie ini diterbitkan dengan membawa tujuan untuk memastikan legasi dan detik keramat bola sepak negeri Perak tidak ditelan zaman, sekali gus menjadi rujukan generasi penyokong akan datang.
Tidak hanya bergerak sendiri, Meor turut mencipta kerjasama terbaik dengan barisan bekas pemain serta komuniti sukan demi memastikan setiap catatan fakta direkodkan adalah tulen dan mempunyai nilai sentimental tinggi.
Pada majlis pelancaran yang berlangsung di TwentyOne.cafe, Meru senemtar tadi, ianya turut dijayakan menerusi jalinan kerjasama dengan beberapa entiti tempatan yang bertindak sebagai rakan strategik dan penaja rasmi, antaranya: AFX Jersey, Minyak Afiat dan Caien Transport Pangkor yang memberikan sokongan penuh dalam menjayakan majlis pelancaran ini dan Jingga Print (Rakan Strategik Printing).
Lebih menarik, bekas tonggak skuad juara 2018 tersebut, Nazirul Naim Che Hashim sendiri turut memberikan sokongan padu kepada penerbitan buku tersebut dan beliau juga merupakan pemilik TwentyOne.cafe.
Untuk info tambahan, buku 'KEJOR: 120 Minit Gila Di Shah Alam' edisi pelancaran terhad boleh didapati secara terus (walk-in) di lokasi majlis dengan kombo cenderahati istimewa.
Bagi sebarang pertanyaan tentang buku tersebut, anda boleh Meor menerusi email, meorabdullah89@gmail.com atau hubungi 6012-4050724. Untuk penyokong sejati Perak atau peminat bola sepak tempatan, jangan lepaskan peluang untuk dapatkan naskhah ini segera kerana ia merupakan keluaran terhad.





