Kedah FA Bakal Dikenali Seluruh Dunia
Nampak bagaimana kelab ini cuba melangkah maju dalam menjana pendapatan!
Kelab dari saingan Liga A1, Kedah FA menjadi antara pasukan yang kini giat mempersiapkan diri sebelum mengharungi musim baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.
Selain memfokuskan kepada kekuatan semasa kelab menerusi pemain baharu ditandatangani, mereka juga tidak lupa untuk memperkemaskan lagi sudut pengurusan yang semakin maju.
Terbaharu, kelab tersebut mengumumkan Web Impian sebagai penaja digital rasmi mereka sepanjang mengharungi musim 2026/2027 di pentas A1.
Apa yang menarik tentang tajaan ini?
Web Impian merupakan sebuah syarikat digital yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang mempunyai pengalaman 16 tahun dalam selok belok internet serta teknologi digital sejak, selain diiktiraf sebagai salah satu penyedia kandungan digital utama berstatus Malaysia Digital (MD) oleh MDEC menerusi perkongsian KFA.
Web Impian dilaporkan bakal membantu kelab tersebut daripada segi perundingan pemasaran digital serta pembangunan laman web rasmi KFA yang bersifat responsif serta mesra pengguna. Ini dianggap penting demi memastikan ianya relevan bagi sebuah keperluan dunia bola sepak moden.
Suatu perkara yang sangat menarik untuk diperkatakan, apabila kelab dari saingan A1 ini mengatasi kebanyakan pasukan Liga Super dengan mewujudkan laman web rasmi sendiri untuk tatapan penyokong dari seluruh dunia.
Pentingkah laman web tersebut?
Sudah tentu, terutama buat para penyokong Kedah sendiri yang berada jauh dan memerlukan perkembangan semasa mengenai pasukan berkenaan, selain ianya juga boleh diakses oleh peminat luar untuk mengetahui lebih dekat mengenai bola sepak pasukan berkenaan.
Menurut KFA sendiri, segala berita dan info semasa pasukan, termasuk keputusan perlawanan diharungi pasukan tersebut dapat disaksikan sendiri menerusi laman web tersebut, walau di mana para penyokong berada.
Ini menjadikan pasukan tersebut bersifat lebih terbuka, dan para penyokong sendiri tidak perlu untuk sentiasa mencari berita atau info terbaharu mengenai KFA di media sosial mereka sahaja dengan kewujudan laman web berkenaan.
Tonton aksi KFA di mana jua anda berada
KFA turut menyatakan satu lagi perkara menarik menerusi kerjasama mereka dengan Web Impian, apabila syarikat tersebut juga bakal menyediakan perkhidmatan siaran langsun secara Pay-Per-View (PPV) bagi seluruh aksi pasukan itu di Stadium Darul Aman (SDA) bermula 29 Ogos ini.
Ini merupakan salah satu inisiatif yang bijak buat pasukan tersebut, untuk memudahkan penyokong yang berada di perantauan, atau tidak mampu ke stadium menerusi kaedah berkenaan.
Lebih penting, cara tersebut juga dianggap sebagai salah satu cabang terbaik KFA dalam menambah pendapatan mereka demi memastikan tiada isu kewangan berlaku sepanjang mengharungi saingan hadapan.
KFA selangkah ke hadapan
Untuk sebuah kelab dari pentas A1, ini merupakan perkara yang perlu dicontohi pasukan lain untuk bergerak ke hadapan dan menjadikan ianya sebagai inisiatif baharu menambah pendapatan.
Ketika kebanyakan kelab agresif dalam membuat persiapan menerusi penambahan pemain-pemain baharu, mereka terlupa tentang memikirkan cara menambah pendapatan dengan menyasarkan para penyokong.
Langkah dilakukan oleh KFA ini membuktikan ianya dapat dibuat dengan kelab dan penyokong berada dalam situasi win-win situation, nilai terbaik buat pasukan dalam menjana pendapatan, serta permudahkan urusan penyokong untuk terus memberi sokongan kepada mereka.





