Selepas mengharungi permulaan yang cukup getir bagi saingan 2026/2027, akhirnya Penang boleh menarik nafas lega apabila mereka mencatat kemenangan kedua di pentas Liga Super untuk meraih tiga mata terbaharu.
Kali terakhir Penang mencatat kemenangan mereka pada bulan September lalu, ketika pasukan tersebut yang ketika itu dikendalikan Wan Rohaimi mengatasi Kelantan TRW 3-2 di laman sendiri.
Untuk kemenangan terbaharu, mereka berjaya menewaskan cabaran Kuala Lumpur City (KL City) di Cheras menerusi keputusan 1-0 hasil ledakan sendiri pemain tuan rumah, Wan Nor Azlin pada separuh masa pertama perlawanan.
Bagi penyokong lain, kemenangan ini mungkin biasa sahaja, apatah lagi jaringan tersebut dilakukan oleh pemain lawan dan tiada lagi sebarang gol tambahan dihasilkan oleh barisan Penang sendiri.
Tetapi buat kem Penang, ini merupakan suatu kejayaan yang cukup melegakan selepas mereka tampil begitu tidak konsisten pada awal musim ini dalam segenap perkara sehingga meraih kritikan besar.
Lonjakan moral semula
Jika diikutkan, ini bukan prestasi terbaik ditampilkan Penang dengan pelbagai lagi kelemahan semasa masih menjadi tumpuan utama pada aksi tersebut, terutama aspek disiplin permainan.
Tetapi, sekurangnya ini menjadi pemangkin terbaik buat kem pasukan yang berpangkalan di utara Malaysia itu untuk terus memperagakan aksi lebih menyakinkan pada masa hadapan dalam saingan domestik.
Bawah kendalian Victor Andrag buat pertama kali musim ini yang menggantikan Wan Rohaimi, beliau dilihat berjaya menjalankan tugas dengan cukup baik walaupun pasukan berkenaan masih lagi ada kekurangan perlu diperbaiki.
Apatah lagi mereka berjaya mencatat kemenangan kedua musim ini di gelanggang pasukan lawan, dan KL City sendiri juga bukan calang-calang kelab kerana dibarisi beberapa pemain kebangsaan.
Masih ada kritikan penyokong
Apapun, kritikan masih lagi disuarakan penyokong yang kurang berpuas hati dengan beberapa perkara ditampilkan pasukan kesayangan mereka ketika aksi bertemu skuad kendalian Dato’ Dollah Salleh semalam.
Antara kritikan penyokong terarah kepada ketumpulan serangan kelab itu yang masih lagi ketara dan kerap melepaskan peluang untuk meledak gol, walau dibarisi beberapa tonggak import.
Malah, isu kreativiti pasukan tersebut turut digariskan apabila Penang seolah kehilangan punca ketika situasi mereka untuk memulakan serangan dan masing-masing seolah mengharapkan gerakan individu sahaja.
Pada masa sama, ada juga penyokong mengharapkan konsistensi para pemain daripada segi permainan dapat dikekalkan momentum dan tidak berterabur ketika menuju ke penghujung perlawanan.
Perlu buat perubahan
Kemenangan dilakar semalam mungkin sesuatu yang sangat penting dan wajar diraikan oleh kem pasukan tersebut, selepas mereka tampil dengan cukup menyedihkan pada awal saingan musim ini.
Tetapi, kem kejurulatihan dan pengurusan Penang juga perlu bangkit dan melakukan gerak kerja mereka dengan lebih awal terutama sebelum tirai jendela perpindahan kedua dibuka nanti.
Sedikit rombakan mungkin perlu dibuat, terutama dalam kalangan pemain import yang gagal memberikan impak besar buat pasukan dan kualiti tidak ubah seperti anak tempatan sahaja di atas padang.
Fokus utama sudah tentu perlu diletakkan pada posisi tengah yang lebih kreatif merangkai serangan dan bijak mengawal tempo permainan untuk bergelar jeneral utama pasukan selain penyerang lebih konsisten.
Victor sendiri juga perlu memainkan peranan besar untuk mengubah haluan permainan Penang sendiri menjadi lebih baik dan meningkatkan disiplin mereka di atas padang pada aksi-aksi akan datang.






