‘Kalah Bermaruah’ Dianggap Cukup Buat Melaka Hadapi JDT
Seruan positif dilaungkan oleh peminat Melaka kini buat pasukan tersebut sebelum mereka menghadapi cabaran JDT.
Akhirnya Melaka bakal mengharungi aksi Piala Malaysia pusingan suku akhir pertama mereka dengan menentang cabaran daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Atas kertas ramai mengakui kelebihan terarah kepada JDT baik daripada segi pengalaman, kualiti pemain, serta kelebihan di laman sendiri.
Reputasi Melaka teruk berbanding JDT
Catatan pertemuan kedua pasukan tersebut musim ini jelas berpihak kepada pasukan tuan rumah, JDT apabila mereka mencatat kemenangan ke atas Melaka di pentas Liga Super musim 25/26.
Pada aksi tersebut, Melaka jelas tidak berupaya untuk memberi cabaran lebih sengit kepada Harimau Selatan apabila merekodkan kekalahan besar 1-7 di SSI.
Pada aksi hari ini, sudah tentu E. Elavarasan tidak mahu rekod lalu terus menghantui mereka dengan sekurangnya tidak lagi dibolosi banyak gol.
Momentum semasa
Jika kita lihat pada rekod 5 perlawanan terakhir di peringkat domestik, JDT seperti biasa mempamerkan konsistensi cukup tinggi untuk meraih semua kemenangan di laman sendiri atau gelanggang lawan.
Terarah kepada Melaka pula, mereka mencatat satu kekalahan daripada lima perlawanan terakhir dengan momentum semasa pasukan tersebut masih belum tewas sejak empat aksi lalu.
Perubahan positif mula dilihat kepada Melaka selepas pasukan tersebut melantik E. Elavarasan selaku pengendali utama selain turut diperkuatkan dengan tenaga baharu.
Tonggak tumpuan
Kami mungkin menyenaraikan Marcos Guilherme selaku pemain tumpuan utama buat JDT, selepas momentum positif yang dipamerkan beliau ketika mengharungi saingan ACLE baru-baru ini.
Buat Melaka pula, Ahmed Shamsaldin selaku penyerang utama akan terus diberi perhatian ekoran ketajaman dipamerkannya dalam dua perlawanan awal bersama Melaka.
Untuk pemain tempatan, Afiq Fazail dilihat akan terus menjadi salah satu tunjang kekuatan JDT di posisi tengah, manakala Shahrel Fikri mungkin bakal memainkan peranan penting buat serangan Melaka.
Harapan dan seruan peminat Melaka
Di media sosial, ramai penyokong yang menganggap keputusan seri atau tewas dengan bermaruah sudah cukup bagus buat Melaka ketika berdepan JDT.
Malah, beberapa pesanan di ruangan komen laman rasmi kelab tersebut juga turut dilontarkan seperti kekuatan mental, dan fokus penuh perlu diberikan oleh pemain sepanjang mengharungi perlawanan.
Ini kerana mereka sedar dan realistik, bukannya suatu perkara yang mudah buat pasukan yang beraksi di pentas A1 musim lalu memberi cabaran yang sengit kepada salah satu kelab terbaik di Asia.
Terarah kepada penyokong JDT pula, mereka mahu Harimau Selatan kembali bangkit setelah mencatat kekalahan 1-2 pada saingan ACLE lalu di tangan Sanfrecce Hiroshima.







