Kalah 10-0 Lebih Bermaruah
Pada akhirnya maruah bola sepak Malaysia terlondeh begitu sahaja disebabkan oleh sikap FAM sendiri.
Hari ini, nasib bola sepak Malaysia telah pun diketahui, dengan skuad Harimau Malaya sah dipotong mata serta didenda oleh AFC kerana menggunakan pemain tidak sah pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Suatu keputusan yang cukup perit untuk ditelan, khususnya dalam kalangan peminat setia yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebangsaan selama ini.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
“Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119),” jelas petikan yang telah dikeluarkan oleh FAM pada tengahari tadi.
Kesannya kini, Malaysia telah pun tersungkur untuk beraksi di saingan Piala Asia 2027, sekali gus memadam impian semua untuk melihat para pemain kebangsaan bermain di kejohanan tertinggi Asia.
Kecuaian FAM membawa padah
Jika kita imbas kembali, perkara ini berlaku disebabkan kecuaian FAM sendiri yang tidak menapis sepenuhnya pemain-pemain dicadangkan oleh Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Muda Abdul Rahman Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Selepas dikesan oleh FIFA, segala harapan yang dipertaruhkan peminat kepada FAM hancur serta merta, walaupun badan tersebut cuba memperjuangkannya.
Dengan sistem akar umbi kita yang masih belum berkesan sepenuhnya dalam menghasilkan pemain-pemain berkualiti tinggi buat skuad utama kebangsaan dengan pengharapan terarah kepasa sistem SSN dan SSM.
Titik terendah buat para penyokong kesayangan
Bagi penyokong, tiada apa yang lagi mengecewakan bila melihat maruah bola sepak Malaysia dipijak lumat oleh kedangkalan FAM sendiri kini.
Bukannya orang luar, bukannya pengkhianat, tetapi angkara kecuaian FAM sendiri yang membantutkan impian semua untuk melihat bola sepak Malaysia beraksi di pentas Piala Asia 2027.
Rasa malu ini jauh melampaui kekecewaan pernah dialami kita semua ketika melihat Malaysia dibelasah UAE menerusi keputusan 0-10 pada tahun 2015 lalu.
Atau ketika Malaysia tewas mengejut 0-1 pada aksi Sukan SEA 1997 lalu yang menjadi punca amukan peminat kerana tidak mempercayai Harimau Malaya boleh mencatat kekalahan sedemikian.
Tiada apa lagi untuk diperjuangkan
Dengan apa yang berlaku kini, motivasi kem Harimau Malaya pastinya berada pada titik terendah untuk aksi berdepan Vietnam tidak lama sahaja lagi.
Ada laporan menyatakan Malaysia bakal mendapat khidmat dua pemain naturalisasi pada aksi 31 Mac ini, Bergson da Silva serta Giancarlo Gallofuoco sebelum berdepan Vietnam.
Namun itu dianggap masih belum cukup kerana pasukan lawan juga kini sedang mempersiapkan skuad mereka dengan pemain-pemain naturalisasi baharu yang didaftarkan secara sah.
Berdepan lawan yang tampil serba baharu dengan motivasi rendah, cuma doa sahaja kita mampu lakukan supaya satu lagi aib dalam dunia bola sepak Malaysia tidak akan berlaku.
Kenapa bola sepak Malaysia sentiasa mundur?
Mungkin itu persoalan yang bermain di fikiran penyokong atau saya sendiri. Tatkala kita semua baru untuk merasai sebuah kemajuan dalam skuad Harimau Malaya, FAM sendiri juga menjadi asbab bola sepak negara turut mundur dua langkah kembali bersama aib cukup pedih untuk ditelan.
Pada akhirnya, ramai memandang Malaysia sebagai suatu kegagalan dan melupakan beberapa perkara positif pernah kita cipta sebelum itu.






