Jurang Antara KL City & PSG
Keduanya merupakan kelab dari ibu kota negara masing-masing, tapi ada sesuatu yang membezakan mereka.
Seperti kita tahu, Paris Saint-Germain (PSG) merupakan sebuah kelab kebanggaan di Perancis yang hadir dengan pelbagai status kejuaraan dan mempunyai reputasi tinggi di dunia kini.
Kelab yang berpangkalan di Paris ini antara contoh bagaimana pasukan dari ibu kota negara merupakan gergasi dan menjadi contoh kepada yang lain-lain di pentas domestik.
Tetapi, di Malaysia sebaliknya pula berlaku. Anda boleh lihat sahaja bagaimana pasukan ibu negara kita, Kuala Lumpur City (KL City) sering ditimpa pelbagai masalah.
Fenomena ganjil KL City
Tidak seperti kelab ibu negara lain, skuad The City Boys antara yang selit terpalit dengan pelbagai isu sejak beberapa musim ini terutama sekali membabitkan masalah kewangan.
Wartawan sukan Malaysia, Haresh Deol di Podcast BFM 89.9 sendiri antara menzahirkan pertikaian mengenai nasib KL City yang dianggap gagal daripada sudut kewangan.
Ini merupakan sebahagian daripada perbincangan mereka mengenai masalah ekosistem dan budaya bola sepak dalam negara yang masih gagal dipupuk sepenuhnya.
Menurut Haresh, isu KL City sangat pelik untuk dilihat kerana secara global, pasukan dari ibu kota seperti PSG mempunyai kewangan cukup kukuh dan sangat dominan.
Tetapi sebaliknya pula berlaku, apabila beberapa musim ini KL City menghadapi masalah kewangan sehingga ada isu tunggakan gaji berlaku dalam kalangan pemain dan pengurusan.
Malah, musim ini juga pasukan tersebut turut mempunyai isu serupa, apabila Risto Vidakovic selaku pengendali kelab mengakui beliau menghadapi masalah kelewatan daripada segi pembayaran gaji.
Budaya bola sepak di Malaysia lemah
Jika kita lihat daripada permasalahan yang melanda KL City dan beberapa kelab lain di Malaysia, semuanya bermula daripada sokongan lemah daripada peminat.
Krisis kewangan membabitkan pasukan-pasukan di Malaysia bukan lagi perkara baharu, perbelanjaan dikeluarkan tidak setara dengan pendapatan diperoleh yang menjadikan isu berkenaan mula berlaku.
Lihat sahaja pasukan Kedah Darul Aman (Kedah) dan Sri Pahang yang pada asalnya sangat gah dengan reputasi kejayaan lalu tetapi kini hilang disebabkan masalah kewangan.
•Kehadiran lemah di stadium
•Pembelian ‘merchandise’ cetak rompak
Dua perkara di atas antara faktor mengapa kebanyakan kelab gagal bertahan atau mula ditimpa isu kewangan walaupun saingan baru memasuki pertengahan musim.
Contohi budaya Indonesia
Walaupun Indonesia terpalit dengan pelbagai isu keganasan dalam dunia bola sepak menerusi penyokong, kita tidak dapat mengelak untuk rasa kagum akan sokongan padu mereka buat pasukan masing-masing.
Kebanyakan kelab di sana juga mudah mendapat tajaan pelbagai syarikat disebabkan oleh reputasi penyokong sendiri yang ramai dan sentiasa memeriahkan stadium.
Tak kira pasukan ibu kota seperti Persija Jakarta atau kelab bawahan lain, sokongan diberikan cukup untuk membuatkan kita teruja akan budaya bola sepak di sana.
Bola sepak, kewangan, dan peminat
Ketiga perkara ini saling berkait dan memerlukan sebenarnya. Bola sepak tidak akan mampu hidup daripada segi kewangan, jika tiada sokongan peminat.
Sokongan yang dimaksudkan bukan sahaja terarah kepada media sosial dan kata-kata, tetapi membantu pasukan untuk menjana kewangan demi memastikan kelab terus kekal untuk legasi akan datang.
Atau, kita sebagai peminat sendiri akan menjadi saksi bagaimana runtuhnya kelab itu tanpa sempat dilihat oleh generasi akan datang.











