JDT Vs Semua
Nak jadi juara, JDT perlu berdepan dengan semua lawan dengan berani dan bukan sekadar perlu bercakap kosong sahaja.
Semalam, saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pusingan suku akhir telah pun berlangsung dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) disahkan tidak layak ke peringkat seterusnya.
Berdepan juara musim lalu Al Ahli, Harimau Selatan mencatat kekalahan 1-2 ketika aksi berlangsung di King Abdullah Sports City Stadium, Jeddah, semalam.
Pada aksi tersebut, JDT mengejutkan seluruh Asia menerusi jaringan pertama mereka pada minit ke-19 menerusi gol sendiri daripada Ali Majrashi hasil gerakan pantas Jairo dari sebelah kanan.
Walaupun ditekan lawan bertali arus, selain permainan provokasi dilancarkan pemain Al Ahli, jelas barisan wira Harimau Selatan bijak menyerap segalanya dan bermain secara berdisiplin.
Namun, jurang antara JDT dan Al Ahli masih ketara dengan gergasi Arab Saudi tersebut kembali mendapatkan jaringan penyamaan di minit tambahan separuh masa pertama hasil ledakan Franck Kessie.
Di separuh masa kedua, Al Ahli berjaya memintas JDT menerusi jaringan cantik daripada Galeno pada minit ke-54 untuk menewaskan Andoni Zubiaurre yang tidak mampu menyelamatkan keadaan.
Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan berpihak kepada Al Ahli yang jelas sukar untuk menangani JDT ketika ramai beranggapan mereka mampu meraih kejayaan mudah pada awalnya.
JDT lawan semua
Bercakap tentang JDT, mereka menjadi pasukan yang paling berani sejak awal penubuhan untuk mencabar segalanya sehingga kurang disenangi kelab-kelab lawan sebingga kini.
Bermula dengan JDT menentang semua pasukan di pentas domestik menerusi sikap agresif mereka dalam mencipta perubahan drastik daripada segi pengurusan dan permainan, mereka kian berani untuk terus meneroka dunia lebih luas.
Asia tenggara? Asia? Malah Eropah juga sudah menjadi lawan JDT dan mereka tidak sesekali menunjukkan sisi kelemahan untuk bergelar contoh ‘fighter’ terbaik.
Sebagai contoh pada aksi berdepan Al Ahli, ramai beranggapan Harimau Selatan mungkin akan menjadi mangsa kekalahan besar di tangan pasukan lawan, selain dibuli di atas padang menerusi jurang kualiti semasa atas kertas.
Tetapi apa JDT buktikan?
Mereka mampu meledak satu gol yang juga merupakan jaringan pembukaan perlawanan serta hanya tewas tipis 1-2 sahaja walaupun ditekan oleh Al Ahli yang dibarisi ramai pemain bintang.
Malah, statistik permainan di separuh masa kedua juga banyak memihak kepada skuad kendalian Xisco Munoz menerusi tekanan tinggi diberikan serta jumlah percubaan dibuat.
Hari ini kita perlu mengakui, hendak berjaya kita perlu melawan. Tetapi melawan dengan tepat dan membuktikannya seperti apa telah dilakukan oleh Harimau Selatan.
Mereka tidak kisah bersendirian bersama penyokong setia untuk terus melawan semua demi membuktikan sesuatu yang sukar diterima ramai, kejayaan dan sejarah baharu.
Tahniah JDT. Melangkah ke pentas suku akhir ACLE ini adalah permulaan yang sebenar untuk mereka pada musim-musim seterusnya bertambah menjadi lebih hebat.






