Kemenangan 3-0 ke atas Kuching City sebentar tadi akhirnya mengesahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mencipta rekod dunia baharu dalam sukan bola sepak.
Impian kita semua kini untuk melihat bola sepak Malaysia melakar rekod dunia berjaya diterjemahkan, apabila Harimau Selatan kini menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas untuk 109 perlawanan liga domestik.
Ini sekali gus menjadikan mereka berjaya memintas rekod kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas yang sebelum itu tidak tewas dalam 108 aksi liga domestik sejak 1989 hingga ke 1994.
Dengan kata mudah, JDT kini muncul selaku pemegang Rekod Dunia bagi rekod tanpa kalah dalam saingan liga domestik sebanyak 109 perlawanan.
Segalanya bermula sejak April 2021
Kali terakhir JDT tewas ketika mereka berdepan Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), apabila keputusan penuh memihak kepada Sang Penyu menerusi keputusan 1-0.
Jaringan tunggal Haqimi Abdullah itu menjadi titik kebangkitan yang kita semua sebenarnya tidak jangka bakal dilakukan oleh JDT untuk memegang rekod dunia kini.
Selepas 24 April 2021, SSI menjadi saksi kebangkitan Harimau Selatan yang ketika itu tidak lagi pernah tewas dalam mana-mana perlawanan Liga Super dan ianya dinoktahkan kepada 109 aksi untuk memegang rekod baharu dunia serta memintas rekod ASEC Mimosas.
Lebih menarik, daripada 109 perlawanan itu, JDT hanya mencatat keputusan seri sebanyak tujuh kali sahaja dan selebihnya dinoktahkan kepada bentuk kemenangan.
Dilihat mudah, namun sukar
Untuk menjadikan sesebuah kelab itu konsisten, ianya tidak sukar walaupun ramai melihat JDT seolah mudah mencapai kemenangan atau tidak tewas.
Kerana segalanya memerlukan pengorbanan besar, pengurusan yang cekap, serta mentaliti semua untuk memastikan rekod dunia tersebut mampu dicapai.
Duli Yang Amat Mulia, Pemangku Sultan Johor (PSJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memainkan peranan sangat besar dalam menghidupkan misi tersebut.
Bukannya JDT tidak membuat perubahan. Saban musim mereka juga tidak terlepas daripada mencipta rombakan dalam kalangan kejurulatihan serta pemain.
Tetapi apa yang membezakan mereka dan pasukan lain sudah tentu daripada konsistensi dan ketelitian tinggi dibuat oleh PSJ demi memastikan falsafah Harimau Selatan sesekali tidak keluar daripada landasan ditetapkan.
Kini, JDT telah menetapkan satu aras baharu yang pastinya akan cuba dipintas pasukan lain pada masa hadapan. Sama seperti apa mereka lakukan untuk menyaingi rekod ASEC Mimosas.
Sekalung tahniah diucapkan buat Harimau Selatan yang menjadikan pembukaan 2026/2027 selaku suatu kebanggaan buat bola sepak Malaysia di pentas dunia.





