JDT Kini Kelompok 10 Terbaik Dunia
Kalau sebut JDT sekarang, rekod mereka bukan lagi sekadar mencabar Asia, tetapi semakin garang berdiri di pentas dunia.
Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan diri mereka sebagai antara kelab yang sentiasa berusaha untuk terus dikenali pada peringkat global menerusi pencapaian diraih.
Jika suatu ketika, Harimau Selatan dilihat sebagai pasukan yang berimpian besar untuk cuba menakluk saingan domestik, kini mereka semakin yakin untuk cuba mencabar kejuaraan peringkat antarabangsa.Saingan-saingan domestik? Semua pun kini tidak lagi berdaya untuk cuba memberi persaingan atau mampu menamatkan dominasi Harimau Selatan.
Kini, kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) juga menjadi saksi JDT semakin berani dan mampu memberi persaingan sengit kepada kelab-kelab besar Asia dari Jepun atau Korea Selatan.
Malah, dunia juga turut mengakui bagaimana pengaruh pasukan tersebut kini menjadikan nama mereka semakin mekar menerusi rekod yang tertulis.
Rekod tanpa tewas terpanjang dunia
Untuk rekod, JDT kini telah merekodkan 104 perlawanan di pentas liga tanpa sebarang kekalahan, dan ianya menyamai pasukan dari Romania, Steaua Bucharest bagi tempat kedua.
Rekod pertama masih lagi dipegang oleh ASEC Abidjan yang juga kini dikenali selaku ASEC Mimosas dari Ivory Coast dengan 108 perlawanan tanpa tewas sejak 1989 hingga 1994.
Umum mengetahui, JDT masih lagi kebal tanpa sebarang kekalahan di pentas Liga Super sejak April 2021 lalu dengan konsistensi tersebut mampu dipertahankan mereka walau bertukar jurulatih serta pemain.
Kunci utama kejayaan JDT ini hadir menerusi DNA mereka yang kekal selaku asas utama pasukan tersebut dan pengurusan sistematik merangkumi semua aspek dipertaruhkan.
Tanpa pembabitan pengaruh politik atau gangguan pihak luar, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT memastikan segalanya berjalan dengan lancar.
JDT kini 10 terbaik dunia
Kini, hanya JDT satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia setelah rasmi muncul selaku juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut.
Harimau Selatan kini berkongsi kedudukan kedua peringkat dunia bersama kelab gergasi dari Tajikistan, Istiklol FC untuk pasukan yang masih aktif beraksi di saingan masing-masing.
Bagi rekod sepanjang zaman yang membabitkan siri saingan telah tamat, JDT berada pada kelompok 10 terbaik dunia. Harimau Selatan kini juga telah memintas rekod Bayern Munich yang terdahulu mencipta 11 kali kejuaraan liga berturut-turut.
Secara kesimpulan, JDT kini hanya dipisahkan oleh,
•PFC Ludogorets dari Bulgaria (14 kali) bagi kelab masih aktif yang berada di tempat pertama.
•Tafea FC dari Vanuatu (15 kali) bagi kelab yang sudah tidak aktif dan tertinggi sepanjang zaman.
Dominasi mutlak JDT ini akan terus kekal berada dalam lipatan sejarah walau untuk bertahun-tahun akan datang, kerana kejayaan dicipta pasukan tersebut kini terlalu sukar untuk diatasi kelab-kelab tempatan lain.





