JDT Cipta Rekod Baharu Lagi
Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membanggakan Malaysia, apabila pasukan tersebut merekodkan satu lagi kejayaan membanggakan.
Terbaharu, JDT cipta sejarah peribadi kelab untuk melayakkan diri mereka buat julung kali ke pentas separuh akhir ACC Shopee Cup bagi edisi 25/26.
Kejayaan ini dilakar selepas mereka mengikat pendahulu Kumpulan B dari Vietnam, Nam Dinh menerusi keputusan 1-1 ketika aksi berlangsung di gelanggang lawan.
Dengan 11 mata dikumpul, Harimau Selatan tampil selaku naib juara kumpulan untuk menyusul Nam Dinh ke pentas separuh akhir kejohanan.
Langkah kanan paling cemerlang
Paling menarik untuk diperkatakan, ini merupakan penyertaan mereka buat pertama kali di saingan tersebut dan JDT mengharunginya dengan cukup menyakinkan.
Jika musim lalu mereka tidak menyertai kejohanan berkenaan dengan hanya Kuala Lumpur City dan Terengganu sahaja mewakili Malaysia, kali ini penyertaan sulung mereka boleh dikatakan cukup berbaloi.
Malah penyerang JDT, Bergson da Silva kini unggul selaku penjaring kedua terbanyak kejohanan menerusi enam gol peribadi telah diledak dengan hanya memerlukan empat perlawanan sahaja di peringkat Kumpulan B.
JDT uji pemain di ACC Shopee Cup
Menarik tentang kejohanan kali ini, JDT tampil menguji ramai pemain berbeza dalam senarai kesebelasan utama, terutama sekali pada baki tiga perlawanan terakhir.
Risiko yang diambil oleh Xisco Munoz menjadikan ianya sebagai suatu percaturan berbahaya, tetapi membuahkan hasil cukup baik buat beliau serta pasukan.
Jika diimbas pada aksi semalam, JDT melakukan beberapa perubahan kombinasi dalam kalangan para pemain, dan ianya cukup positif ketika Harimau Selatan berdepan denban lawan yang menurunkan hampir semua tonggak terbaik mereka.
Percaturan ini penting kerana Munoz menyedari aksi selepas ini di ACLE juga hanya mengambil masa beberapa hari sahaja lagi, selain menilai para pemain terbaik dan kombinasi mana palinh berkesan untuk perlawanan akan datang.
Kredit buat Selangor
Sama seperti JDT, The Red Giants juga cemerlang pada musim pertama mereka di pentas ACC Shopee Cup musim ini untuk ke pentas separuh akhir.
Dengan rekod tanpa tewas di peringkat kumpulan, mereka terlebih dahulu mara ke pusingan seterusnya sebelum turut disusuli JDT untuk membanggakan Malaysia.
Seperti ramalan peminat, ramai mengharapkan aksi akhir kejuaraan berkenaan musim ini membabitkan pertemuan antara JDT dan Selangor mampu berlangsung,
Cuma kini, kedua mereka mempunyai tugas penting terlebih dahulu untuk tampil cemerlang pada saingan separuh akhir berdepan lawan masing-masing.










