Pada 22 Oktober nanti, JDT akan melancarkan secara rasmi JDT+, sebuah platform keahlian premium pada harga bawah RM100 setahun. Kandungan pertamanya adalah UNTAMED, sebuah dokumentari 76-minit yang menceritakan kenaikan profil kelab dibawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. UNTAMED kemudiannya akan diikuti oleh OUTBOUND, siri dokumentari tahunan yang merakam perjalanan kelab dalam kempen AFC Champions League Elite.
“Penyokong biasanya tak dapat tengok bagaimana pemain berlatih, menjalani kehidupan, atau menjadi lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Luis Garcia. Sekali pandang, JDT+ menjanjikan pelanggannya konsep mudah: bayar sikit, dapat tengok banyak. Tapi anda akan terlepas pandang jika hanya menganggap JDT+ sebuah platform kandungan berbayar. Di web dahulu, kemudian di aplikasi telefon: JDT sebenarnya sedang membina satu lagi infrastruktur — yang dihos di alam maya tetapi akan memberi kesan ketara di alam realiti.
Jadi apa yang JDT sedang bina, dan kenapa sekarang?
Hari Utah Jazz hilang penyokongnya
Pada awal tahun 2023, model penyiaran sukan tempatan di Amerika Syarikat mula menunjukkan rekahnya. Diamond Sports Group, pemilik rangkaian saluran wilayah Bally Sports, diisytiharkan bankrap. Pesaing mereka, Warner Bros Discovery, juga mengumumkan akan menghentikan operasi penyiaran, menguburkan sekali sebuah saluran sukan yang telah menyiarkan perlawanan Utah Jazz di NBA sejak 1989. Secara tiba-tiba, Utah Jazz tiada saluran untuk mencapai penyokong mereka sendiri.
Situasi buruk itu memaksa pemilik Utah Jazz, Ryan Smith untuk menghadapi realiti francaisnya. “Kita ada penyokong yang banyak, tapi kita hanya mampu capai, paling tinggi pun, 40% daripada mereka sahaja,” katanya. Hanya 39% penduduk Utah yang mampu menonton aksi Jazz di NBA. Sejak 1989, Jazz membiarkan hubungan mereka dengan peminat dijalinkan menerusi ‘wayar’ syarikat TV kabel. Apabila syarikat itu ‘bungkus’, Jazz terpaksa membina saluran dan platform penstriman mereka dari kosong, supaya ‘wayar’ antara pasukan dengan penyokong dapat disambungkan.
Pengajaran yang Utah Jazz dapat ini perlu kita belajar juga: apabila orang lain memiliki saluran yang mencapai penyokong kita, orang itulah yang memiliki penyokong kita.
Soalan yang bola sepak Malaysia gagal jawab
Bola sepak Malaysia sebenarnya telah mendapat ‘amaran’ ini lebih sedekad lepas. Pada tahun 2015, ketika Kongres FAM di Hotel Bluewave Shah Alam, Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) JDT pada ketika itu melontarkan soalan kepada semua pegawai kelab Liga Super dan Liga Premier, “Tuan-tuan semua tahu tak jumlah sebenar penyokong kelab tuan-tuan?”. Satu demi satu, semua pegawai kelab menjawab apabila diajukan soalan kepada mereka. Kemudian CMO JDT itu bertanya soalan lain, “Siapa di sini pakai nombor dari jumlah followers di Facebook?”.
Semua pegawai kelab mengangkat tangan.
“Tuan-tuan tahu tak itu bukan jumlah sebenar penyokong kelab tuan-tuan?” soalnya lagi. “Tuan-tuan tahu tak nama mereka? Tahu tak di mana mereka tinggal? Dalam setahun, berapa kali mereka turun stadium? Dalam setahun, berapa banyak mereka belanja duit kepada kelab?”
Cerita ini mungkin sudah berusia 11 tahun, tapi isinya masih relevan. Sehingga hari ini, tak banyak kelab Liga Super mempunyai pangkalan data penyokong mereka sendiri, kerana mereka tak nampak ketiadaan ini sebagai satu masalah. JDT nampak sejak awal 2014. Mereka telah mendidik penyokong untuk membeli barangan rasmi kelab di johorsoutherntigers.com.my, dan menyuruh mereka untuk mendaftar sebelum boleh menonton kandungan eksklusif di jdttv.my. Setiap pembelian dan pendaftaran menambah satu nama dalam pangkalan data yang JDT pegang. JDT+ adalah versi moden pangkalan data tersebut.
Kenapa sekarang
Persoalan seterusnya: kenapa sekarang?
Jawapannya kerana senarai nama di pangkalan data itu telah melangkaui sempadan Johor dan Malaysia. Jumlah pengikut JDT di Facebook, X, Instagram, YouTube dan TikTok ketika ini sudah melebihi 5.7 juta — keenam tertinggi di Asia. Di Asia Timur, JDT kedua tertinggi di belakang kelab Indonesia, Persib Bandung — sebuah negara yang mempunyai populasi lapan kali ganda berbanding Malaysia. Majoriti penyokong dan pengikut JDT di alam maya tidak pernah menjejak kaki ke Stadium Sultan Ibrahim. Dan hampir kesemua mereka mencapai JDT menerusi platform yang tidak dikawal oleh JDT.
JDT+ menyelesaikan empat masalah dalam satu solusi. Pertama, Meta (Facebook, Instagram) dan penyiar TV konvensional menjadi orang tengah antara kelab dan penyokongnya; JDT+ menghapuskan orang tengah ini. Kedua, saluran yang kelab tidak pegang boleh ‘bungkus’ bila-bila masa, seperti yang dipelajari oleh Utah Jazz; JDT+ memastikan JDT tidak mendapat nasib sama. Ketiga, peminat dari luar Johor jarang-jarang membelanjakan duit kepada kelab; JDT+ memberikan mereka satu sebab untuk mula berbelanja. Dan keempat, kelab lain menunggu orang lain (Netflix, Prime, Disney+) menceritakan kisah mereka; JDT+ membolehkan kisah JDT diceritakan sekarang — tanpa dibelit-belitkan naratifnya (seperti apa yang Netflix buat kepada F1 menerusi siri Drive to Survive).
Apa yang JDT nampak
Jumlah kutipan yuran JDT+ bukan sasaran JDT. Apa yang mereka mahu adalah maklumat dan data — siapa yang bayar? Kenapa penting untuk JDT tahu siapa yang bayar? Supaya JDT boleh menjual pelbagai produk kelab (contohnya tiket, keahlian, dan barangan rasmi) kepada mereka. Kepada penaja, maklumat dan data ini boleh memberikan mereka akses kepada audiens yang telah diverifikasi — yang terbukti telah berbelanja kepada kelab, bukan yang hanya follow di Facebook. Pangkalan data membolehkan JDT mencapai terus penyokongnya tanpa bergantung harap kepada ‘belas kasihan’ capaian organik yang ditentukan oleh algoritma media sosial.
JDT tidak keseorangan. Barcelona sudah melakukan perkara sama menerusi Barça One. Manchester City telah melancarkan model langganan kandungan dan tontonan bayar-ikut-minit. Liverpool dan Chelsea telah menarik kandungan TV mereka dari saluran kabel ke dalam talian terus. Beberapa pasukan NBA juga telah menguruskan siaran kandungan di platform mereka sendiri. Premier League pula sedang menguji platform penstriman mereka sendiri di Singapura.
Persamaan semua contoh di atas dengan JDT adalah mereka tahu capaian kepada peminat mereka terlalu berharga untuk diserahkan kepada pihak ketiga.
Cakap serupa bikin
Pelancaran JDT+ bukan satu kebetulan. Sejak 2014, inovasi telah menjadi teras kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail di JDT. Luis Garcia memberitahu JDT+ adalah hasil visi baginda untuk menjadi sebuah kelab yang dikenali seluruh dunia dan moden.
Ketika MFL mengadakan Perbincangan Bersama Rakan Kongsi Liga Malaysia 2025-2026 pada hujung April lepas, DYAM Tunku Mahkota Ismail mencadangkan penubuhan satu platform penstriman milik MFL. Tujuannya satu: untuk mengembalikan bola sepak kepada rakyat. JDT+, walaupun mungkin tidak akan menyiarkan siaran langsung perlawanan seperti cadangan baginda, adalah hasil idea tersebut — diperingkat kelab. Ia adalah bukti baginda cakap serupa bikin, melaksanakan apa yang dicadangkannya kepada orang lain.
Soalan seterusnya perlu dijawab oleh kelab lain. Adakah mereka akan mengikuti langkah proaktif dan progresif JDT? Atau adakah mereka akan terus menyalahkan JDT apabila mereka mengorak langkah terlalu lambat nanti?





