JDT Berpeluang Cerah Untuk Atasi Selangor Di MBPJ
Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini bakal meneruskan saingan Liga Super 2025/2026 dengan menghadapi cabaran Selangor yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Seperti diketahui, pertemuan kedua kelab berkenaan sering mencetuskan sensasi yang sangat tinggi dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia, dan kehangatan tersebut bakal bersambung pada hari ini.
Walaupun begitu, rekod pertemuan kedua pasukan tersebut tampak tidak seimbang, walaupun ia menjadi aksi yang cukup mencuri tumpuan peminat sejak beberapa musim lalu.
Jika kita lihat pada rekod lima pertemuan terakhir kedua pasukan tersebut sebelum ini, jelas ianya berpihak kepada Harimau Selatan yang berjaya meraih semua kemenangan tanpa kesukaran.
17 gol direkodkan JDT sebelum ini dalam lima aksi lalu ketika bertemu Selangor dan empat daripadanya diraih menerusi kemenangan bersih tanpa dibolosi sebarang gol.
Ini menunjukkan JDT kekal konsisten sewaktu bertemu The Red Giants, walaupun masing-masing ada membuat perubahan daripada segi taktikal permainan atau barisan pemain.
Malah, tidak keterlaluan untuk kita menyatakan JDT sebenarnya langsung tidak menghadapi sebarang masalah pada aksi hari ini untuk mendapatkan satu lagi kemenangan, jika dilihat daripada segi reputasi semasa.
Manakala Selangor pula, mereka bakal menghadapi Selangor kali ini dengan momentum lima kemenangan berturut-turut di pentas Liga Super untuk kini berada pada kedudukan ketiga, dengan 25 mata.
Jika dilihat mengenai pasukan tersebut, mereka mempunyai konsistensi yang baik di pentas Liga Super, tetapi menghadapi kesukaran ketika mengharungi kejohanan luar seperti AFC Champions League Two (ACL 2).
Tewas 0-3 sebelum itu di tangan JDT pada perlawanan awal musim, sudah tentu The Red Giants enggan tumbang di tangan Harimau Selatan, terutama sekali dengan kelebihan di halaman sendiri.
Terarah kepada barisan pemain pula, kedua pasukan mempunyai tonggak-tonggak handalan baik daripada segi kualiti import atau tempatan untuk dipertaruhkan hari ini.
Untuk JDT, pemain seperti Jairo dan Manuel Hidalgo antara yang dijangka mencuri tumpuan utama untuk mengkucar kacirkan posisi serangan Selangor menerusi kelincahan dan kreativiti.







