JDT & Kuching City Sah Tak Bersalah
Tatkala pelbagai spekulasi keluar di media sosial, jelas kedua pasukan tersebut langsung tidak melanggar sebarang peraturan.
Sebentar tadi, Malaysia Football League (MFL) mengesahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City tidak melanggar sebarang peraturan telah ditetapkan mereka, bagi saingan Liga Malaysia (Liga M).
Kenyataan itu keluar bagi mengesahkan empat pemain yang sebelum ini dianggap cukup kontroversi mengenai status mereka, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figuereido, dan Gabriel Palmero.
Menurut MFL, keempat mereka membawa status selaku pemain tempatan yang sah dan tidak menyalahi undang-undang ditetapkan menerusi pendaftaran telah dibuat.
Bagaimana ia berlaku?
MFL tidak hanya bercakap sahaja, tetapi mereka mengeluarkan hujah yang tepat menerusi manual undang-undang Liga M yang sudah pun termaktub sebelum itu.
“Merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT); Perkara C, Pemain Tempatan Dan Asing iaitu mewajibkan:
“i. Salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan passport berwarna.
“Perkara ini turut dijelaskan menerusi surat perkeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025, perkara 8.2 menyatakan dokumen-dokumen yang wajib dikemaskini dan dimuatnaik dalam format pdf untuk proses kelulusan bagi a) Pemain Tempatan Dan Asing:
“i. Salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan passport berwarna,” jelas kenyataan tersebut.
Proses yang sah
Menerusi kenyataan dikongsikan, ini menyaksikan empat pemain tersebut sah beraksi di saingan Liga M sebelum itu tanpa perlu menghadapi sebarang hukuman atau kelab dipotong mata.
Ini kerana kedua kelab tersebut menggunakan cara yang sah mendaftarkan empat pemain itu melalui cara yang ditetapkan untuk didaftarkan selaku warganegara Malaysia.
Walaupun begitu, MFL turut menjelaskan keempat pemain berkenaan tetap perlu menjalani hukuman yang disahkan oleh FIFA untuk tidak dibenarkan beraksi selama 12 bulan.
“Jelas empat pemain ini telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan Liga Malaysia 2025-2026.
“Justeru MFL mengesahkan tiada pelanggaran peraturan dilakukan dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab mereka pada musim ini.
“Bagaimanapun empat pemain berkenaan masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan dalam perlawanan rasmi seperti yang telah diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini,” ujar kenyataan berkenaan lagi.
Tutup spekulasi peminat
Dengan kenyataan tersebut, maka kini para peminat sudah boleh menutup sebarang spekulasi mengenai hukuman atau denda bakal diberikan oleh MFL kepada empat pemain berkenaan atau buat JDT serta Kuching City.
Sebaik sahaja selesai hukuman penggantungan tersebut, empat pemain berkenaan tetap sah beraksi di Liga M dengan membawa status tempatan dan bukannya import.






