JDT Ada Tonik Terbaik Untuk ‘Lanyak’ Cabaran Shan United
Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini bakal meneruskan aksi mereka di saingan ACC Shopee Cup 25/26, dengan melayan kunjungan Shan United dari Myanmar.
Atas kertas, JDT tampil cukup unggul menerusi reputasi semasa mereka, baik di peringkat domestik atau Asia selain reputasi setiap pemain untuk dipertaruhkan.
Malah, skuad kendalian Xisco Munoz pada hari ini juga bakal beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk mendapat sorakan padu daripada penyokong setia tuan rumah.
Momentum semasa menyaksikan JDT masih lagi segar dengan kemenangan mereka ke atas PDRM dengan keputusan agregat 11-1 bersama aksi cukup menyakinkan.
Tambahan pula, Harimau Selatan akhirny kembali diperkuatkan dengan pemain-pemain warisan negara yang sebelum ini ‘digantung’ oleh FIFA atas beberapa kontroversi sudah berlaku.
Jon Irazabal, Hector Hevel, dan Joao Figueiredo kini dilaporkan sudah pun kembali menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan lain dan dijangka, mungkin akan turut dipertaruhkan bagi perlawanan menentang Shan United.
Terarah kepada Shan United, pasukan ini juga sebenarnya tidak boleh dipandang mudah, apabila mereka masih belum tewas lagi sejak beberapa aksi lalu dan mencipta momentum dua kemenangan berturut-turut.
Di pentas ACC Shopee Cup, JDT masih lagi unggul dengan dua kemenangan serta satu keputusan seri untuk meraih tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan Kumpulan B.
Manakala Shan United pula sangat pasif di kejohanan tersebut, apabila mereka gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi tiga perlawanan di peringkat kumpulan tersebut.
Malah pasukan tersebut juga hanya mampu merekodkan dua gol dan sudah dibolosi sebanyak sembilan jaringan untuk menggambarkan prestasi mereka di saingan berkenaan.
Bagi pemain tumpuan JDT hari ini, kami memilih Bergson da Silva yang dijangka bakal memainkan peranan sangat penting untuk merobek gawang gol pasukan lawan.
Setakat ini, Bergson sudah menyumbang empat gol buat JDT selepas mengharungi dua perlawanan di pentas berkenaan, selain satu hatrik ketika Harimau Selatan membenam cabaran Bangkok United.
Sementara itu, pertahanan Harimau Selatan juga perlu berwaspada dengan pemain sayap lincah Shan United, Sa Aung Pyae Ko yang pada musim ini konsisten di pentad domestik bersama kelab tersebut.
Sehingga kini, Sa Aung telah meledak 10 gol bersama pasukan tersebut dan turut mencipta satu ‘assist’ selepas mengharungi 14 perlawanan dalam segala kejohanan disertai,
Cuma kini, Sa Aung masih lagi belum mencipta penampilan sulung musim ini di pentas ACC Shopee Cup, dan menjadi persoalan jika beliau akan dipertaruhkan atau tidak.
Pandangan anda, adakah JDT bakal mencatat kemenangan selesa pada aksi ini?









