Jangan Kata Piala Dunia, Pentas Asia Tenggara Pun Tenat
Kita pernah mempunyai impian untuk ke Piala Dunia pada suatu ketika, sebelum semua dikejutkan dengan realiti cukup pahit!
Pada tahun 1999 lalu, satu akhbar tempatan mengeluarkan berita tentang sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014.
Dalam tempoh 15 tahun itu, pelbagai kisah berlaku dalam dunia bola sepak negara seperti isu naik turun prestasi, perubahan pemain dan kejurulatihan, serta kejayaan dikecapi.
Saat paling getir? Ketika Malaysia menjadi aib di pentas Piala Asia 2007 sehingga ia dianggap cukup memalukan dalam kalangan penyokong bola sepak negara sehingga kini.
Kenangan manis pula, tentunya ketika kita muncul selaku juara Piala AFF 2010 serta meraih pingat emas dalam acara bola sepak di pentas Sukan SEA 2011.
Tetapi, adakah itu sebenarnya cukup untuk kita yang pernah melihat sasaran ditetapkan oleh FAM pada tahun 1999 lalu mengenai perjalanan bola sepak negara di saingan Piala Dunia?
Impian yang sukar direalisasikan
Hakikatnya, sasaran yang diletakkan itu terlalu sukar untuk direalisasikan kerana ia merangkumi pelbagai perkara dan gerak kerja yang sistematik sejak pembangunan akar umbi.
Walaupun kita antara bermula sangat awal dalam dunia bola sepak, sistem pembangunan yang diterapkan cukup perlahan dan sukar membuahkan hasil yang lebih ramai daripada segi kuantiti pemain berkualiti tinggi.
Malah, sehingga kini juga kita sebenarnya mustahil untuk ke Piala Dunia dengan pelbagai kontroversi buruk sentiasa melanda dunia bola sepak tempatan dan turut membabitkan FAM sama.
Aib bola Malaysia bertimpa-timpa
Bermula dengan isu pemain palsu Malaysia yang kononnya sebelum ini dikatakan merupakan status warganegara (warisan), ianya telah mendapat perhatian FIFA untuk memberi hukuman kepada mereka serta FAM sendiri.
Selain itu, rentetan perkara berkenaan juga memastikan Malaysia turut tersingkir pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 selepas cemerlang melayakkan diri pada edisi sebelum ini.
Di sisi lain, AFC sendiri pada baru ini mendedahkan pelbagai kelemahan FAM yang tidak diketahui ramai sejak bertahun-tahun lalu termasuk daripada segi pengurusan wang.
Sistem pengurusan FAM juga kini dianggap cuma setaraf Sri Lanka sahaja. Suatu perbandingan yang cukup malu untuk kita akui sehingga kini.
Malaysia pilih mundur
Tatkala negara lain berusaha dalam memantapkan pengurusan masing-masing untuk membawa pasukan kebangsaan mereka menjadi lebih baik, sebaliknya berlaku di Malaysia.
Penetapan sasaran 2014 ke Piala Dunia suatu ketika hanya dianggap sebagai suatu omongan kosong sahaja dan mungkin boleh kita katakan mustahil buat masa kini untuk melihat Malaysia ke pentas tertinggi berkenaan.
Tiada apa boleh dilakukan, selain rombakan besar-besaran perlu dibuat dan setiap jawatan dalam FAM diisi oleh mereka yang sebetulnya layak sahaja untuk melihat Harimau Malaya mengaum pada tempat sepatutnya.





