Bercakap tentang Cristiano Ronaldo, semua memandang beliau sebagai salah satu ikon sukan yang cukup terkenal dan sentiasa dikenali dalam pelbagai lapisan usia.
Bermula daripada fasa peningkatan karier yang cemerlang di Manchester United, era gemilang beliau buat Real Madrid dan Portugal, sehingga kepada penghujung prestasi di Al-Nassr serta Piala Dunia 2026.
Segala-galanya mempunyai cerita tersendiri daripada segi naik turun dan menjadi buah mulut perbincangan sesama peminat sehingga kini menerusi media sosial.
Lebih menarik kalau kita mengambil perspektif kebanyakan peminat kini mengenai Ronaldo, apabila ada sesetengah menganggap beliau daripada seorang ikon kepada suatu cerminan buruk untuk dicontohi.
Ya, Ronaldo kini antara yang menjadi bahan kritikan peminat ekoran sikap dan impak beliau sendiri di atas serta luar padang yang dilihat kurang lagi disenangi segelintir penyokong.
Bila pemain lebih besar daripada negara
Bersama Al-Nassr, nama Ronaldo mungkin tidak begitu disebut atau dipandang negatif para penyokong kerana segalanya dilihat berjalan lancar sahaja.
Ronaldo masih memainkan peranan penting untuk prestasi semasa kelab di Arab Saudi tersebut, serta aktif selaku antara penyumbang gol utama pasukan berkenaan.
Tetapi untuk Portugal, karier beliau sebenarnya sudah pun berada di penghujung jalan. Tetapi ia masih dinafikan pemain tersebut dan mula memberi kesan buruk buat negara itu dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
Pada aksi Piala Dunia 2026 lalu, pengurus Portugal, Roberto Martinez dikritik kerana terus meletakkan Ronaldo dalam kesebelasan utama walaupun impak penyerang berusia 41 tahun itu sudah menurun.
Malah, beliau dianggap menjadi faktor kegagalan Portugal dalam mendapatkan gol atau terpaksa mengorbankan pemain muda lain jauh lebih memberi impak kerana posisinya dalam kesebelasan utama.
Isu baharu Ronaldo dan Portugal
Rentetan itu, masalah sama terus berulang walaupun Portugal sudah mendapatkan Jorge Jesus selaku pengendali utama Portugal, tetapi kali ini ceritanya lebih menarik.
Jesus tampaknya tidak memberi peluang kepada Ronaldo pada aksi Nations League baru-baru ini membabitkan Portugal dan Norway, apabila pemain berkenaan diletakkan pada bangku simpanan sahaja.
Disebabkan itu, cerita tidak enak mula kedengaran dengan krisis membabitkan Jesus dan Ronaldo telah berlaku sehingga hasil perbincangan mereka menyaksikan pemain tersebut meninggalkan kem skuad kebangsaan, walau Portugal masih berbaki beberapa perlawanan untuk diharungi.
Cerita terbaharu, Ronaldo dilaporkan sedia untuk kembali semula bersama Portugal bagi aksi akan datang dan sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Tinggalkan karier sebelum karier tinggalkan anda
Pada pengamatan ramai, Ronaldo sepatutnya sudah boleh membuang ego beliau dan meninggalkan karier bersama skuad kebangsaan Portugal dengan lebih baik.
Minat beliau dan kesungguhan ditampilkan oleh Ronaldo kepada Portugal atau bola sepak sendiri tidak boleh dinafikan, tetapi pada usia 41 tahun pemain berkenaan sudah boleh memikirkan kariernya buat skuad kebangsaan.
Contohi sahaja Messi yang akhirnya menamatkan karier bersama Argentina dengan sangat indah tanpa perlu menimbulkan kontroversi selain memberi ruang kepada bakat muda lain menggantikan diri beliau.
Daripada seseorang yang membina karier dengan positif dan disanjung peminat, kini Ronaldo mula mendapat kritikan ramai akibat ego beliau sendiri.
Seperti dikatakan, tinggalkan karier dengan baik sebelum karier itu sendiri meninggalkan anda bersama cerita negatif yang menutup perjalanan Ronaldo sendiri selaku ikon sukan terbaik dunia.






