Suatu ketika, mana-mana pertahanan terbaik dunia atau sedang berada dalam prestasi terbaik pun tidak dapat memberikan jawapan sesuai untuk mengatasi kelincahan Lionel Messi.
Ya, suatu ketika nama Messi cukup digeruni lawan dan ianya kekal sehingga kini, kerana kelincahan dan pemikiran beliau ketika mengawal bola sentiasa berada pada tahap berbeza untuk difahami pesaing.
Jika kita ingat detik cemerlang beliau ketika bersama Barcelona, rata-rata pertahanan dunia mengakui mustahil untuk mengekang kelincahan bintang Argentina itu di atas padang.
Rio Ferdinand, John Terry, dan ramai lagi masing-masing berkongsikan pengalaman mereka sendiri ketika berdepan Messi suatu ketika dan menganggap beliau sukar atau mustahil dikekang.
Daripada pertahanan senior berpengalaman sehingga ke pemain generasi sekarang, Messi terus berevolusi untuk menjadikan dirinya sebagai ancaman berbahaya yang sukar dielakkan.
Perubahan baharu Messi dalam karier
Seperti kita tahu, ‘jangka hayat’ untuk seseorang pemain aktif beraksi di pentas tertinggi tidak lama dan kebanyakan prestasi mereka mula menurun selepas memasuki usia 35 tahun ke atas.
Hanya kes-kes terpencil seperti Messi atau Cristiano Ronaldo sahaja yang menyaksikan mereka melawan kenyataan tersebut dan kekal berpengaruh untuk memberi persaingan kepada generasi-generasi kini.
Messi misalnya, larian beliau kini sudah tidak sepantas dulu dan kelincahannya juga semakin berkurang walaupun kadangkala teknik pemain berkenaan masih sukar diatasi lawan.
Tampil berevolusi, Messi mengubah gaya permainannya selaku perancang utama yang tidak memerlukan banyak pergerakan di atas padang tetapi kekal memberi ancaman menerusi hantaran tepat, dan nalurinya tajam menyudahkan setiap peluang terhidang.
Sepakan percuma senjata utama Messi
Ini merupakan salah satu senjata utama Messi yang cukup berbahaya, Messi memberi masalah kepada pertahanan lawan kini menerusi sepakan percuma beliau yang tepat ke dalam gawang gol.
Pada usia 39 tahun, Messi kini berpeluang untuk terus mencipta rekod baharu dalam karier selaku pemain paling banyak merekodkan gol menerusi sepakan percuma dalam dunia bola sepak profesional.
Messi hanya memerlukan tiga gol dari situasi sepakan percuma sahaja lagi untuk memintas rekod yang terdahulu dipegang oleh Marcelino Carioca dari Brazil yang pernah mencatat 78 jaringan menerusi keadaan tersebut.
Ianya bukan suatu perkara yang mustahil, kerana Messi sendiri kini berada dalam momentum cukup baik untuk mendapatkan gol menerusi sepakan percuma yang sangat tajam.
Di media sosial, rata-rata penyokong sudah bergurau dengan menyatakan mana-mana pertahanan lawan dilarang melakukan ‘foul’ atau benda bodoh di luar kotak penalti, untuk mengelak ancaman berbahaya daripada Messi.
Contohi Messi
Dalam dunia bola sepak, persaingan sesama rakan sepasukan sendiri boleh dikatakan sangat sengit, dan anda akan ketinggalan jika tiada sebarang keistimewaan dapat ditawarkan buat kelab.
Messi antara contoh terbaik yang perlu diikuti ramai, apabila beliau cepat beradaptasi dengan persekitaran semasa dan menyedari apa kelebihan dimiliki untuk dijadikan aset buat kelab serta negara.
Selain kekal relevan, Messi sendiri membuktikan beliau masih antara pemain paling berbahaya di atas padang dan menawarkan kualiti tinggi yang sangat diperlukan di atas padang.






