Isi Perbincangan Semua Rakan Kongsi Liga Malaysia 2025-2026 Semalam
Dari isu pengadil hingga kewangan kelab — inilah semua yang dibincangkan dalam mesyuarat rakan kongsi Liga Malaysia 2025-2026.
1. DYAM Tunku Mahkota Ismail (Pemangku Sultan Johor)
Bola sepak Malaysia masih belum di tahap yang baik. Dan ini bukan isu baru. Sejak 2018 lagi, empat masalah teras yang sama masih belum selesai.
Empat masalah teras bola sepak Malaysia:
Tiada sistem pembangunan belia yang proper dan kompetitif
Tiada badan pengadil bebas dan profesional (isu ini baginda dah sebut sejak 2018!)
Kekurangan penaja
Disiplin kewangan yang lemah
Kenapa tiada kelab yang ambil tawaran KBS untuk naik taraf padang? Kos penyelenggaraan padang tahunan tak lebih RM250,000 pun. Sementara itu, Myanmar, Kemboja, Thailand, dan Indonesia dah jauh ke hadapan dalam menaik taraf kemudahan bola sepak mereka.
Lampu banjir dan padang masih tak memenuhi piawaian. Ini yang paling asas, tapi masih gagal dilaksanakan.
Minta semua wakil kelab jujur sesama sendiri. Jangan cakap lain dalam mesyuarat, cerita lain pula kepada penyokong dan media.
Cadang bawa pengadil asing untuk perlawanan besar (suku akhir, separuh akhir, final). Bukan nak ketepikan pengadil tempatan, tapi nak hapuskan alasan menyalahkan pengadil bila kalah. Cadangan ini pun dah pernah baginda bawa terus kepada Menteri KBS (untuk dilaksanakan di sukan-sukan lain juga).
Dedah realiti JDT. Bila gol dihalang semasa menentang Buriram dalam ACL, JDT tak hantar satu pun surat aduan kepada AFC. Terima keputusan dan teruskan.
Bentang cadangan model Pay-Per-View berpusatkan peminat melalui dokumen lima muka surat:
MFL bina platform digital sendiri. Peminat langgan terus perlawanan Liga Malaysia.
Sasaran: 1 juta pelanggan pada RM15/bulan = sehingga RM180 juta setahun
Selepas tolak kos operasi (pengeluaran, pemasaran, VAR, pengadil profesional): anggaran RM120 juta diagihkan kepada kelab
Setiap kelab dijamin RM5 juta asas semusim, dengan bonus prestasi dan infrastruktur sehingga RM10 juta tambahan
Konsepnya: “Kembalikan bola sepak kepada rakyat”. Setiap ringgit peminat pergi terus ke liga dan kelab sokongan mereka
Dakwaan campur tangan dalam keputusan pengadil melibatkan Selangor FC. Ini yang paling berat. Baginda merujuk kes Juventus/Moggi dan kemudian mendedahkan apa yang didakwa sebagai mesej WhatsApp antara Dato’ Sri Syahril Mokhtar (Selangor FC) dengan ketua suruhanjaya pengadil, mengandungi ungkapan “Please, brother.” Ini didakwa baginda sebagai tekanan untuk mempengaruhi keputusan pengadil. Baginda menggesa semua pihak muhasabah diri sebelum terus mengkritik pengadil.
Bangga ada satu kelab Malaysia (JDT) bertanding di peringkat antarabangsa tertinggi. Sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini. Ini patut jadi kebanggaan semua.
Seruan untuk bertindak. Bola kini berada di kaki pemegang taruh untuk tentukan hala tuju komersial bola sepak negara.
PDRM FC: Tuan ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin (CEO)
Jadual perlawanan terlalu hampir dengan hari perayaan besar. Beliau bagi contoh : main hari ke-18, pulang hari ke-19, Hari Raya hari ke-20. Pasukan lain dah balik kampung pun. Isu serupa berlaku semasa Krismas, terutama untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak.
Kos perjalanan melambung masa perayaan. Satu perjalanan yang biasanya berharga RM9,000 terpaksa dibayar RM39,000 semata-mata kerana musim perayaan. Ini tak masuk akal.
Minta MFL kongsi faedah komersial penaja kepada peringkat kelab. PDRM FC terhad kepada insentif cukai Seksyen 44(6) sebanyak 10% sahaja, yang kurang menarik berbanding sukan lain. Cadang activation bersama yang untungkan penaja di peringkat MFL dan kelab serentak.
Sabah FC: Datuk TPr Alijus Sipil (Pengarah)
Kos perjalanan adalah beban besar. Harga tiket penerbangan dah naik tiga kali ganda. Dengan 16 perlawanan away semusim, kos perjalanan boleh cecah hampir RM800,000 hingga RM1 juta. Ini diakui sebagai tanggungjawab kelab, tapi semakin berat.
Sabah FC masih 70% dimiliki Kerajaan Negeri dan 30% oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kelab sedang usaha ke arah kebebasan kewangan, tapi belum sampai lagi.
Susah nak naik taraf infrastruktur stadium yang bukan milik kelab. Nak tukar lampu banjir pun kena lalui Lembaga Sukan Negeri Sabah, yang perbelanjaannya bergantung kepada peruntukan negeri tahunan. Minta kes seumpama ini dipertimbangkan secara kes demi kes.
Minta penjelasan tentang keperluan padang rumput penuh. Jika masih dikuatkuasakan, ini mungkin paksa Sabah FC pindah padang rumah dari Stadium Likas ke Tawau.
Melaka FC: Inderraj Singh (Pemangku CEO)
Cadang MFL runding pakej kerusi blok dengan MAS (salah satu penaja MFL) untuk semua kelab, terutamanya kelab Borneo. Menang-menang: kelab boleh bajet kos awal, MAS dapat tempahan berkumpulan yang komited.
MFL perlu ambil inisiatif berhubung terus dengan pemilik stadium tentang naik taraf lampu banjir. Jangan serahkan kepada kelab individu sahaja, kerana kelab selalu susah nak dapat kerjasama pemilik stadium.
Cadang MFL terokai pembelian insurans pemain secara pukal. Ini boleh kurangkan kos per pemain untuk kelab secara keseluruhan.
Selangor FC: Dr Johan Kamal Hamidon (CEO)
Cadang profesionalisasi dan pengasingan jabatan pengadil. Serupa dengan bagaimana kelab dan persatuan dahulunya diswastakan. Selangor FC komited untuk terokai pelaksanaannya.
Minta lebih wakil kelab dalam Lembaga Pengarah MFL. Kini hanya 3 daripada 10 ahli lembaga adalah wakil kelab, walaupun kelab-kelab telah melabur sekurang-kurangnya RM10 hingga RM15 juta setahun selama 10 hingga 15 tahun.
Cadang laluan rasmi ke badan timbang tara antarabangsa (CAS). Ini isyarat kesungguhan, ketelusan, dan profesionalisme kepada penaja, peminat, dan kerajaan.
Persoal status tujuh pemain naturalisasi/tersanksi musim hadapan. Adakah mereka pemain tempatan atau asing? Walaupun undang-undang Malaysia (IC dan KDN) mengiktiraf mereka sebagai warganegara, peraturan FIFA mensyaratkan lima tahun bermain tempatan dan pertalian darah, yang mungkin tidak dipenuhi. Kepastian diperlukan sebelum mana-mana kelab menandatangani mereka.
Penang FC: Jeffery Chew Gim Eam (Pengurus Besar)
Isu serius: Pemain baru ditandatangani rupanya ada tunggakan cukai (LHDN) dan KWSP dari kelab lama. Ada pemain yang ditahan di lapangan terbang dan tak boleh naik kapal terbang ke perlawanan tandang. Cadang MFL masukkan semakan status cukai dan KWSP sebagai syarat pelesenan atau pendaftaran pemain.
Sokong cadangan badan pengadil bebas. Kualiti pengadil tak konsisten, lebih baik ia beroperasi secara bebas dari FAM.
Ucapan terima kasih atas Piala Cabaran. Buat pertama kali dalam 21 tahun, stadium Penang penuh sesak. Salah satu kutipan pintu masuk tertinggi dalam 20 tahun. Juga diumumkan bahawa Stadium Bandaraya Penang akan dinaik taraf dengan downtime kira-kira 6 hingga 10 bulan.
Kuching City FC: Iswandi Ali Hassan (CEO)
Kongsi tip jimat kos penerbangan. Kuching City FC hantar jadual penuh musim lebih awal kepada MAS untuk blok kerusi, berjaya kurangkan kos dari sekitar RM700 kepada RM400 untuk tiket pergi-balik Kuching–KL. Beliau tawarkan untuk kongsi pendekatan ini dengan kelab lain dan cadang MFL fasilitasi pengaturan serupa di peringkat liga.
Minta jadual perlawanan lebih cerdik untuk kelab Borneo. Susun supaya Kuching, Sabah, dan DPMM boleh main sekurang-kurangnya dua perlawanan tandang berturut-turut di Semenanjung sebelum pulang, berbanding pergi-balik beberapa kali dalam tempoh singkat.
Terengganu FC: Syahrizan Mohd Zain (Ketua Pegawai Operasi)
Kehadiran penonton jatuh mendadak musim ini. Walaupun dah cuba pelbagai cara (cabutan bertuah, turun harga tiket, promosi khas). Dipercayai sebahagiannya disebabkan persepsi juara sudah diketahui awal, dan kontroversi pengadil.
Kualiti pengadil dan liputan VAR jadi isu besar. Terengganu hantar 3 hingga 4 aduan pengadil rasmi musim ini sahaja. Turut dipersoalkan sama ada VAR hanya menggunakan satu sudut kamera, berbanding 2 hingga 3 sudut yang digunakan liga lain.
Minta levi 10% kutipan pintu masuk dikurangkan atau dihapuskan. Beban yang tidak perlu kepada kelab.
Cadang kurangkan kuota pemain asing di padang dari 6 kepada 3 atau 4. Ini kerana sekarang kelab-kelab kecil terpaksa ambil pemain asing yang kualiti setara atau lebih rendah dari pemain tempatan, semata-mata untuk penuhi kuota. Kuota tinggi patut dikhaskan untuk kelab yang bertanding dalam pertandingan AFC sahaja.
DPMM FC (BRUNEI): Md Ali Haji Momin (Pengurus Besar)
Sokong cadangan pengadil asing untuk perlawanan besar. Semasa DPMM lawan JDT di Brunei, walaupun kalah, penyokong berpuas hati sebab pengadilan hari itu bagus.
Tegas menentang sebarang cadangan untuk turunkan taraf Liga Malaysia. Liga Malaysia lebih kompetitif dari mana-mana liga yang pernah disertai DPMM sebelum ini, termasuk Liga Singapura. DPMM tidak sokong sebarang penurunan taraf.
Ucapan terima kasih kepada MFL atas sokongan dalam membantu DPMM menyesuaikan diri. Purata kehadiran penyokong di perlawanan rumah dah cecah kira-kira 5,000 penonton, dengan kemuncak 14,000 hingga 15,000 semasa lawan Selangor.
Kelantan TRW: Dato’ Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah (CEO)
Sokong dan tingkatkan lagi cadangan Selangor FC. Bukan setakat tambah wakil kelab dalam Lembaga MFL, tapi semua rakan kongsi kelab patut ada perwakilan di lembaga.
Sokong cadangan pakej kerusi blok penerbangan peringkat liga. MFL patut kumpulkan semua kelab dengan AirAsia dan MAS untuk runding pakej bersama, yang akan hasilkan kadar lebih baik berbanding setiap kelab berunding sendiri-sendiri.
Isu serius: Pemain asing dari negara tertentu (Myanmar dan Syria) tidak dilindungi insurans Malaysia dan disekat oleh Bank Negara. Kelab baru tahu selepas tandatangan kontrak. Minta MFL senaraikan negara-negara tidak layak sebelum kelab muktamadkan sebarang penandatanganan.
Tidak puas hati dengan keputusan lembaga yang memudaratkan Kelantan TRW. Rayuan berdokumen lengkap berkaitan tunggakan gaji musim lalu ditolak, walaupun ada bukti jelas bekas pemain berlaku tidak jujur. Permintaan mesyuarat dengan lembaga juga ditolak. Ini ada implikasi kewangan besar yang tak dibajet.
Minta komunikasi dua hala yang bermakna antara Lembaga MFL dan kelab. Terutama bila keputusan lembaga ada implikasi kewangan kepada kelab.
Cadang pangkalan data pemain bersama yang melampaui FIFA MyPass. Khusus untuk jejak status kepatuhan pemain (LHDN, KWSP, tunggakan gaji dari kelab terdahulu) supaya kelab boleh buat usaha wajar sebelum tandatangan pemain.
Berhubung tawaran KBS untuk infrastruktur. Kelantan tak dapat ambil sebelum ini kerana mereka tak miliki Stadium Kelantan, yang diurus oleh Perbadanan Stadium Kelantan dengan prosesnya sendiri. Namun beliau komited untuk terus usahakan naik taraf, termasuk sasaran 2,000 lux untuk lampu banjir musim hadapan.
Negeri Sembilan FC: Faliq Firdaus Muhammad Rom (CEO)
Puji kerjasama MFL dengan Konami eFootball. Peluang besar dan mengujakan untuk kelab seperti Negeri Sembilan dalam penglibatan peminat dan pertumbuhan komersial.
Sokong keempat-empat isu teras Pemangku Sultan Johor. Negeri Sembilan tak ambil tawaran padang KBS sebelum ini kerana belum bersedia dan ada hutang tertunggak ketika itu. Tapi akan ambil kalau diberi peluang semula.
Infrastruktur sedang dinaik taraf. Bilik persalinan sedang dibaik pulih (disasarkan siap Julai untuk aksi Harimau Malaya lwn Laos), lampu banjir disasarkan kepada 2,000 lux, dan tanah untuk pusat latihan menggunakan rumput Zoysia sudah dijamin (hanya menunggu pembiayaan).
Ketegangan struktur yang nyata dalam bola sepak Malaysia. Bila kelab berbelanja mengikut kemampuan, pasukan jadi lemah, penonton jatuh, penajaan merosot, dan kelab jadi makin susah. Ini bukan masalah kelab semata-mata, ini isu sistemik yang melibatkan FAM, AFL, KPM, dan struktur liga. Musim lalu, Negeri Sembilan berbelanja minimum dan habis di kedudukan kedua dari bawah.
Cadang bonus galakan kehadiran penonton. Insentif tambahan untuk kelab yang berjaya tarik penyokong ke stadium.
Minta semakan levi 10% MFL ke atas kutipan pintu masuk. Negeri Sembilan ada kutipan pintu masuk kedua tertinggi di negara sebanyak RM148,000, tapi dengan levi ini, mereka akan bayar balik RM220,000 hingga RM240,000 daripada geran tetap RM500,000. Tak masuk akal secara kewangan.
Cadang Majlis Dasar Bersepadu melibatkan MFL, FAM, AFL, dan KPM untuk selesaikan percanggahan polisi, terutamanya dalam laluan pembangunan belia dan keperluan pelesenan kelab.
Minta fleksibiliti dalam keperluan pasukan belia untuk pelesenan. Kos pasukan bawah 12 tahun untuk pertandingan kebangsaan boleh cecah RM600,000 hingga RM700,000 setahun; untuk pertandingan serantau hanya RM100,000. Patut bagi kelab pilih kompetisi serantau selagi keperluan AFC dipenuhi.
Pasukan FA negeri jangan sekali-kali diberi slot Liga Super. Ini bercanggah dengan objektif penswastaan kelab, hantar mesej yang salah kepada FA negeri, dan ganggu ekosistem kelab profesional.
Minta peraturan lebih jelas dan telus tentang pemain naturalisasi sebelum ia jadi precedent berbahaya yang ganggu keseimbangan persaingan di Liga Malaysia.
KL City FC: Mohd Ismirul Azlan Ismail (Pengarah)
Wakil KL City FC tidak membuat ucapan formal, namun turut serta dalam perbincangan.
JDT: Dato’ Seri Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin (Pengarah Kelab)
Tak perlu semua benda dibawa ke awam. Kenyataan negatif di luar memudaratkan liga, hilangkan keyakinan penaja, dan akhirnya menyakiti semua kelab. “Menempuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.”
Semua keputusan MFL dibuat secara kolektif. Termasuk struktur liga, pembubaran PLMFL, pengagihan geran, dan pelantikan lembaga. Ini bukan keputusan sepihak MFL.
Liga Malaysia ada dalam kedudukan yang baik di Asia. Data AFC tunjukkan Liga Malaysia ke-11 daripada 47 liga di Asia, ke-10 daripada 22 di Asia Timur, dan ke-2 daripada 12 di ASEAN. Kena kerjasama untuk naikkan lagi kedudukan ini.
Bersatu dan utamakan kepentingan liga. Pihak luar mungkin tak faham cabaran yang terlibat dalam mengendalikan liga yang kompetitif.
Pertahan tujuh pemain naturalisasi dengan tegas. Mereka pegang IC Malaysia yang dikeluarkan KDN, tiada pasport lain, dan secara sah adalah warganegara Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, mereka berhak bermain sebagai pemain tempatan. AFC dan AFF pun tidak pernah bantah mereka bertanding.
En. Mohd Shazli (CEO MFL)
Kemaskini liga
Status liga semasa: masih ada 24 perlawanan berbaki dalam Liga Super (LS23–LS26), dijangka selesai pada 15–17 Mei 2026. Final Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 23 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil antara JDT dan Kuching City FC.
Tahniah kepada: JDT atas kejuaraan Piala Subangsah, Liga Super dan Piala FA; Sabah FC atas kejuaraan Challenge Cup; JDT atas pencapaian suku akhir ACL; dan Selangor atas penyertaan dalam ACL2.
Statistik kehadiran penonton: kehadiran penyokong yang memberangsangkan, terutamanya untuk JDT, Selangor, Terengganu, Sabah, dan Negeri Sembilan.
Pelanggaran OTP: kesalahan utama termasuk pegawai tidak berdaftar di bangku simpanan, pasukan lambat keluar dari bilik persalinan, lampu banjir di bawah piawaian, dan kegagalan mendaftarkan pegawai dalam senarai pasukan. Namun, bilangan pelanggaran ini semakin berkurangan setiap musim.
25% perubahan jadual perlawanan disebabkan oleh konflik pertandingan AFC (ACL Elite, ACL2, Shopee Cup), kerja-kerja naik taraf stadium, isu penjadualan Ramadan, penggunaan stadium oleh kerajaan, dan keadaan cuaca.
Kemas kini pelesenan kelab dan FFP:
12 kelab mohon lesen kebangsaan, 7 mohon lesen AFC
Tarikh akhir penyerahan dokumen adalah keesokan harinya (30 April)
Sebanyak 376 dokumen diperlukan untuk penyerahan AFC
Trend positif FFP yang positif:
Perbelanjaan turun 83.52%
Kos gaji turun 56.87%
Pendapatan penajaan cecah rekod baharu iaitu RM225 juta merentas 13 kelab
Tunggakan gaji berkurangan 60.15%, daripada RM37 juta (2024–2025) kepada RM16 juta (2025–2026)
Program Pendidikan Bola Sepak: MFL sedang bangunkan program bersama UITM, FIFA dan AFC untuk latih profesional muda dan staf kelab sedia ada dalam bidang komersial, pertandingan, penyiaran, kejurulatihan, dan fisioterapi.
Operasi VAR: 191 perlawanan keseluruhan; 118 menggunakan trak VAR secara fizikal, 72 menggunakan VAR jauh (remote). Liputan VAR mencapai 99%, hanya satu perlawanan (Terengganu FC vs UM Damansara) terjejas akibat kegagalan teknikal.
Piawaian lampu banjir perlu dikemas kini: piawaian 1,200 lux telah wujud sejak 2012 dan sudah ketinggalan zaman. Thailand dan Vietnam sudah mencapai 1,800–2,000 lux. Mulai musim 2027, pelesenan kelab akan mensyaratkan 2,000 lux.
Landskap komersial yang positif:
90% penaja sedia ada telah sahkan untuk musim hadapan, dengan dua penaja baharu dalam rundingan
Coca-Cola berjaya neutralkan persepsi negatif berkaitan Israel
Bubbles water catat pertumbuhan 400%, termasuk pengembangan ASEAN ke Indonesia dan Filipina
RYT Bank berkembang daripada 400 kepada 1.2 juta pengguna dalam tempoh 7 bulan selepas menyertai MFL
Kerjasama Konami eFootball: hampir 1 bilion pengguna di seluruh dunia. Pemain Liga Malaysia kini ada dalam permainan. Server khas Malaysia telah diwujudkan. Penjenamaan penaja turut muncul dalam permainan, bertujuan untuk tukar pengguna e-komuniti kepada penonton stadium fizikal.
Pertumbuhan media sosial MFL: jumlah pengikut gabungan 1.6 juta merentas semua platform, dengan pertumbuhan: Facebook (+5.3%), Instagram (+6.78%), Threads (+43.2%), TikTok (+22%), YouTube (+3.7%).
Penonton penyiaran 115 juta tontonan di Astro dan RTM musim ini berbanding 61 juta musim lalu; 404 juta tontonan merentas platform media sosial setakat 15 April 2026.
Kalendar musim 2026–2027:
Liga Super bermula Ogos 2026, berakhir Mei 2027
Tingkap pemindahan: Jun–September 2026 dan Januari–Februari 2027
Pra-musim: Jun–Julai 2026
Hyundai Cup: Julai–Ogos 2026
Kedudukan AFC dan ASEAN: Liga Malaysia ke-11 daripada 47 liga di Asia, ke-6 daripada 22 di Asia Timur, dan ke-2 daripada 12 di ASEAN (di belakang Thailand). JDT pula berada di kedudukan ke-10 di Asia dan ke-1 di ASEAN berdasarkan data penganalisis Opta.
Respons kepada rakan kongsi liga
Kepada PDRM FC (Tuan Hafiz) — mengambil maklum kebimbangan jadual berhampiran hari perayaan. Mengenai isu ROI penajaan, beliau menjelaskan bahawa PDRM FC sebagai kelab lebih kecil boleh mengaitkan diri dengan penaja besar MFL dan memanfaatkan platform aktivasi MFL untuk memberi lebih pendedahan kepada penaja tersebut — yang akhirnya memberi manfaat tidak langsung kepada kelab. Beliau juga mengingatkan bahawa kalendar liga akan kekal berjalan Ogos–Mei dan tidak dapat lari daripada konflik dengan beberapa hari perayaan Malaysia. Proses penjajaran 13 bulan bersama kalender AFC sudah pun dipersetujui secara kolektif.
Kepada Sabah FC (Datuk Alijus) — menjelaskan bahawa piawaian lampu banjir tidak berubah sejak 2012 pada 1,200 lux, jauh di belakang 1,800–2,000 lux yang sudah dicapai Thailand dan Vietnam. Kualiti penyiaran terjejas akibat piawaian lama ini ibarat visual yang tidak konsisten antara stadium. Sebab itulah 2,000 lux ditetapkan sebagai syarat pelesenan kelab mulai 2027.
Kepada Terengganu FC (Syahrizan) — menjelaskan bahawa VAR sebenarnya menggunakan tiga sudut kamera, bukan satu. Apa yang kelihatan seperti satu sudut kemungkinan adalah pandangan paling jelas pada ketika itu. Isu levi 10% diambil maklum dan akan dibincangkan di peringkat lembaga. Kuota pemain asing juga akan disemak di peringkat lembaga, sambil beliau menyampaikan pandangan Presiden MFL bahawa pendedahan kepada pemain asing sebenarnya membantu pemain tempatan meningkatkan standard.
Kepada Kelantan TRW (Dato’ Irwan) — menjelaskan bahawa semua aduan kelab berkaitan keputusan pengadil dibentangkan secara rasmi dalam mesyuarat lembaga, di mana tiga wakil FAM — termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM — turut hadir. Berhubung cadangan pangkalan data pemain, beliau mengakui bahawa FIFA MyPass sudah mengandungi data pemain yang komprehensif, namun apa yang Kelantan perlukan adalah pangkalan data status kepatuhan (cukai LHDN, KWSP, tunggakan gaji) dan ini diambil maklum untuk dibangunkan.
Berhubung pemain naturalisasi yang digantung — tujuh pemain tersebut memegang IC Malaysia keluaran KDN, telah didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam sistem, dan sudah mewakili Harimau Malaya sebelum musim Liga bermula. Mereka didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam FIFA MyPass, bukan asing, selaras dengan pendirian Pengarah JDT bahawa AFC dan AFF tidak membantah penyertaan mereka. Kebimbangan Selangor FC berhubung musim hadapan diakui dan akan diteliti.



