Kuala Lumpur City bakal menghadapi aksi kedua mereka di pentas Liga Super 2026/2027 dengan pertemuan seterusnya pasukan tersebut akan hadapi cabaran Kuching City.
Perlawanan lalu, KL City terpaksa melupakan hasrat mereka untuk beraksi hadapi Negeri Sembilan, selepas kelab tersebut dilaporkan hanya memiliki 12 pemain sahaja didaftarkan.
KL City juga mendakwa mereka tidak dapat hadapi Negeri Sembilan lalu selepas ramai pemain dikatakan terkena jangkitan Influenza beberapa jam sebelum aksi bermula.
Walaupun begitu, mereka terpaksa membayar dengan harga yang mahal apabila pasukan itu dilaporkan telah didenda sebanyak RM50,000 serta mendapat kekalahan mutlak 0-3.
Pada masa sama, laporan turut menyatakan KL City sebenarnya meminta untuk menunda aksi bertemu Kuching City sebelum permohonan pasukan berkenaan ditolak oleh MFL semalam.
Dah cukup pemain ke?
Suka atau tidak, pasukan berkenaan perlu menyediakan skuad lengkap pada hari ini untuk berdepan cabaran Kuching City atau mereka sekali lagi terpaksa menerima kekalahan mutlak bersama denda dikenakan oleh MFL.
Sehingga artikel ditulis, laman CMS FAM masih lagi menyatakan pasukan tersebut hanya mempunyai 12 pemain sahaja didaftarkan dan turut membabitkan seorang penjaga gol.
Persoalannya, adakah laman berkenaan masih belum menetapkan jumlah pemain terkini didaftarkan KL City atau kelab tersebut sememangnya tidak mempunyai skuad lengkap untuk dipertaruhkan?
Penyokong sedia isi kekosongan
Di media sosial KL City, kebanyakan penyokong bergurau dengan mereka sedia untuk menjadi pemain pengganti atau sementara bagi aksi pasukan berkenaan menentang Kuching City hari ini.
Malah, ada yang turut menyatakan mereka tidak perlu dibayar mahal asalkan KL City cukup menyediakan makanan dan kelengkapan serba mencukupi buat mengharungi aksi tersebut.
Lebih lucu, ada sesetengah peminat meletakkan senarai nama yang sedia diisi sesiapa yang sudi untuk beraksi pada aksi ini seolah-olah ia merupakan perlawanan bertaraf amatur di taman perumahan.
Selain gurauan, ia juga merupakan bentuk sindiran dibuat peminat yang mempertikaikan sikap profesionalisme pasukan seperti KL City yang gagal menyediakan skuad lengkap musim 2026/2027.
Situasi sukar buat KL City
Pada masa sama, selaku peminat bola sepak, pastinya ramai yang kecewa dengan pasukan tersebut yang suatu ketika pernah mencipta reputasi tinggi di pentas domestik serta Asia.
Selepas saingan akhir AFC 2022 lalu, KL City dilihat mula bergelut dengan pelbagai isu sehingga gagal memberikan impak terbaik yang diharapkan para peminat.
Dengan permasalahan baharu melanda, entah bagaimana lagi nasib KL City pada masa akan datang atau sebaiknya mereka berundur diri seketika untuk memulihkan keadaan dalaman semula.





