Inilah Wajah Sebenar Bola Sepak Malaysia
Aksi tiada pedoman Malaysia semalam, menyaksikan kita terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 di tangan Vietnam.
Selepas dibuai kejayaan dengan pemain palsu akibat kecuaian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, akhirnya peminat bola sepak Malaysia perlu menyedari kualiti sebenar negara kesayangan kita di pentas antarabangsa.
Semalam, Malaysia mencatat 1-3 di tangan Vietnam bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027, dengan sekali gus menyaksikan Harimau Malaya turut tersingkir untuk menyertai kejohanan tersebut secara rasmi.
Pada aksi tersebut, beberapa rombakan telah dibuat oleh Peter Cklamovski selaku pengendali Harimau Malaya dalam senarai kesebelasan utama di beberapa posisi.
Malaysia begitu cuai
Seperti dijangka beraksi di gelanggang lawan, Malaysia beraksi dalam tekanan dan sering membuat beberapa kesilapan mudah yang memberi kesan kepada mereka sendiri.
Beberapa hantaran dibuat sesama pemain juga tidak cermat dan sering terkandas kepada pasukan lawan, yang menyaksikan binaan serangan atau gerakan cuba dibuat tidak berhasil.
Dion Cools sendiri dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dalam permainan dengan beberapa hantaran dilakukan beliau kurang menjadi dari bahagian pertahanan.
Kealpaan pertahanan menjadi bukti bagaimana Vietnam tidak memerlukan gerakan yang terlalu mencabar dalam mendapatkan tiga gol di halaman sendiri.
Di posisi tengah, gandingan Nooa Laine dan Nazmi Faiz pada awalnya gagal memberikan pengaruh yang baik buat Harimau Malaya daripada segi penguasaan atau kreativiti permainan.
Sindiran peminat di media sosial
Seperti dijangka, peminat-peminat Harimau Malaya pastinya memberikan kritikan keras atau sindiran pedas kepada skuad Harimau Malaya atas pelbagai sebab.
Misalnya, gaya permainan Harimau Malaya kembali mundur dengan hantaran-hantaran lambung serta tiada kreativiti lebih baik ketika mendapat peluang mencorakkan serangan.
Tidak terkecuali dalam senarai pemilihan pemain kali ini, apabila beberapa muka dalam kesebelasan utama dianggap kurang memberansangkan seperti Nooa Laine, Nazmi Faiz Mansur, Pauli Josue, dan beberapa lagi.
Malah, ramai juga yang dilihat kecewa dengan nasib malang skuad Harimau Malaya kali ini yang berakhir dengan kegagalan untuk beraksi di pentas Piala Asia 2027.
Apapun, FAM perlu bertanggungjawab atas segalanya dan mencari jalan terbaik untuk membuat persediaan rapi, supaya skuad kebangsaan mampu untuk melangkah kembali ke pentas Piala Asia.
Ketika ini, maruah negara sedang diinjak-injak negara lain kerana kesilapan FAM sendiri, sehingga ia memberi kesan buat moral penyokong untuk yakin kepada bola sepak Malaysia.
Inilah masa buat FAM untuk melihat kembali kelemahan mereka dan perlahan-lahan mengembalikan keyakinan peminat semula kepada pasukan kebangsaan pada masa hadapan.





