Inilah Padah Jika Portugal ‘Buang’ Ronaldo
Keputusan seri 0-0 membabitkan Portugal dan Mexico baru-baru ini jelas menarik perhatian ramai pemerhati bola sepak.
Semalam, satu aksi persahabatan telah berlangsung dengan membabitkan dua wakil negara yang beraksi di pentas Piala Dunia 2026, Portugal dan Mexico.
Pada aksi yang berlangsung di gelanggang lawan, Portugal gagal mencatat keputusan positif apabila masing-masing sekadar terikat seri tanpa sebarang jaringan.
Pada aksi itu juga menyaksikan tiada kelibat Cristiano Ronaldo beraksi kerana beliau tidak dipanggil untuk aksi antarabangsa ini kerana sedang berada dalam tempoh pemulihan.
Tanpa Ronaldo, pertaruhan Roberto Martinez meletakkan Goncalo Ramos dilihat kurang menyakinkan walau beliau diapit Joao Felix dan Francisco Conceicao, selain dibantu Bruno Fernandes dari belakang.
Beraksi dalam tempoh 63 minit, Ramos hanya mampu membuat dua percubaan sahaja ke arah gawang lawan, dan kurang memberikan impak lebih baik di atas padang bersama rakan sepasukan lain.
Kritikan Mourinho
Melihat pada aksi tersebut pengurus bola sepak berpengaruh dunia, Jose Mourinho mengakui inilah kesannya jika Portugal mendengar kata ramai peminat untuk menyingkirkan Cristiano Ronaldo dengan lebih awal daripada bersama Portugal pada masa akan datang.
Terdahulu, ada suara-suara yang mahu Ronaldo tidak lagi dipanggil bersama Portugal atas faktor usia dan mereka juga berharap penyerang lain seperti Ramos dan Paulinho lebih diberi peluang.
“Singkirkan Ronaldo dan Portugal hanya akan menjadi pasukan biasa sahaja di pentas antarabangsa.
“Orang ramai kerap menyuruh pengurusan Portugal singkirkan beliau sebelum ini atas pelbagai faktor, dan ya hari ini (semalam) dia tidak main dan anda lihat sendiri keputusan perlawanan.
“Tiada ancaman, tiada aura hendak menakutkan lawan, cuma sebuah pasukan yang diberi tekanan oleh Mexico. Ianya berbeza jika Ronaldo beraksi. Lawan akan fikir dua kali. Tanpa beliau, lawan tak hiraukan langsung,” ujar beliau.
Kritikan Mourinho berasas
Apa yang diperkatakan Mourinho itu berasas, kerana Ronaldo memainkan peranan sangat penting buat siri serangan Portugal walau dibayangi usia.
Selaku penyerang utama, Ronaldo membuktikan beliau masih berbisa ketika kempen Kelayakan Piala Dunia lalu dengan beliau meledak lima gol daripada lima perlawan diharungi.
Kepimpinan Ronaldo juga menyaksikan Portugal berjaya muncul selaku juara UEFA Nations League tahun lalu dan beliau sendiri meledak satu gol di pentas akhir kejohanan berkenaan.
Suka atau tidak, kita perlu mengakui pengaruh Ronaldo masih lagi kuat walaupun Portugal sudah menghasilkan beberapa penyerang baharu kini yang berpotensi.
Malah, kebanyakan peminat juga sudah tentu tidak sabar melihat penyerang tersebut kembali sembuh dan memperkuatkan Portugal kembali untuk aksi saingan Piala Dunia 2026.





