Ini Sebab Ronaldo Akan Terus Tampil Di Piala Dunia 2030
Nampak gaya, kita mungkin akan terus tengok Ronaldo ber’siuuu’ di Piala Dunia akan datang.
Ramai menjangkakan, Piala Dunia 2026 mungkin bakal menjadi perjalanan terakhir buat Cristiano Ronaldo dalam saingan tersebut.
Dengan faktor prestasi permainan yang kurang menyakinkan dek faktor usia, Ronaldo hanya mampu merekodkan tiga gol peribadi sahaja dalam lima penampilan di kejohanan tersebut dan terkandas pada pusingan 8 terbaik.
Di media sosial, ramai mengharapkan sebenarnya ini merupakan pengakhiran buat pemain berusia 41 tahun itu di Piala Dunia dan mustahil untuk dirinya terus bermain pada kejohanan Piala Dunia 2030.
Apatah lagi, beliau ketika itu sudah pun berusia 45 tahun dan sudah tentu prestasi semasa beliau akan bertambah menurun, daripada apa yang kita semua telah lihat pada aksi lalu.
Tetapi, sebenarnya ada kemungkinan juga untuk Ronaldo terus dipanggil pada kejohanan Piala Dunia 2030 nanti bersama Portugal atas beberapa faktor.
Jorge Jesus beri bayangan awal
Pengendali baharu Portugal, Jorge Jesus sebelum ini ada menyatakan Ronaldo akan terus dipanggil bersama skuad kebangsaan jika beliau berada dalam keadaan terbaik.
Bekas pengendali Al-Nassr itu sebelum ini pernah mencipta kerjasama dengan Ronaldo ketika di Arab Saudi, dan sudah tentu kelibat penyerang itu terus menjadi perhatiannya.
“Selagi dia masih bermain dan berada prestasi yang bagus untuk dipanggil, saya tetap akan pilih dia nanti,” ujar Jesus.
Portugal selaku tuan rumah
Mungkin ini boleh menjadi penamat yang sangat bagus untuk Ronaldo menutup cerita beliau di pentas Piala Dunia dengan mengakhirinya di Portugal.
Selaku salah satu tuan rumah, sudah tentu ramai penyokong bola sepak Portugal sendiri mengharapkan Ronaldo mampu beraksi di halaman sendiri buat kali terakhir sebelum pasukan itu diserahkan kepada generasi seterusnya.
Malah, saingan Piala Dunia 2030 sudah tentu akan menjadi ikonik menerusi salam perpisahan Ronaldo bersama Portugal selepas bertahun-tahun berbakti untuk negara itu.
Selagi Ronaldo cergas, apa salahnya?
Memetik pendapat Jesus sebentar tadi, tidak salah untuk terus memberikan peluang kepada Ronaldo jika beliau terus cergas dan mempunyai statistik bagus daripada segi sumbangan gol.
Sebagai contoh, Ronaldo terus dipilih bersama Portugal kali ini bukan hanya kerana pengaruh beliau, tetapi statistik dirinya sendiri yang terus unggul ketika beraksi untuk Al-Nassr.
Walaupun peranan Ronaldo mungkin dikurangkan untuk aksi Piala Dunia 2030 jika beliau terpilih di atas padang, sumbangan beliau untuk membentuk bintang-bintang muda lain sangat ditagih.
Jadi, tidak salah untuk terus Ronaldo terpilih ke Piala Dunia 2030, dengan FIFA sendiri pastinya melihat pemain tersebut untuk terus membawa keuntungan buat mereka sendiri.
Tetapi Ronaldo juga perlu sedar, beliau mungkin akan terus diberi kritikan keras ekoran prestasinya selain tekanan melampau beraksi di halaman sendiri menerusi segelintir penyokong yang meletakkan segala harapan buat dirinya.





