Ini Pun Antara Kelebihan Utama Arteta!
Nampak pasukan lawan dah mula cuak dengan Arsenal sekarang.
Arsenal kini boleh dianggap pasukan yang paling mencuri tumpuan untuk saingan English Premier League (EPL) yang bakal membuka tirai tidak lama sahaja lagi.
Selaku juara edisi lalu, pastinya ramai ingin melihat jika Mikel Arteta mampu atau tidak mengekalkan status tersebut bagi saingan musim ini.
Namun, ada juga jangkaan menyatakan ini merupakan satu lagi musim terbaik buat The Gunners untuk terus berada di puncak serta bertambah baik jika dibandingkan persaingan lalu.
Apatah lagi mereka sudah pun mempamerkan karakter yang sangat positif pada aksi Community Shield baru-baru ini ketika menewaskan cabaran Manchester City menerusi kemenangan 3-0.
Suatu perkara yang tidak ramai jangkakan, apatah lagi City juga hadir dengan beberapa pemain berstatus bintang dipertaruhkan, termasuk Erling Haaland selaku peledak utama kelab tersebut.
Kelebihan buat Arsenal
Berbanding pasukan pilihan lain yang membawa masuk pengendali baharu dan mungkin memerlukan masa untuk stabil, Arsenal pula sudah tampil bersama pasukan lebih matang bawah kendalian Arteta.
Malah, para pemain Arsenal kebanyakannya sudah memahami apa kehendak pengendali itu dan persefahaman mereka juga berada dalam keadaan lebih baik berbanding pasukan lain yang menggunakan khidmat pengendali baharu.
Untuk rekod, sembilan pasukan melantik pengurus baharu musim ini dan Manchester United pula bertindak mengekalkan terus khidmat Michael Carrick yang terdahulu menjadi pengendali ‘interim’.
Maka, ini menjadikan Arsenal berpeluang besar dalam kalangan pemerhati bola sepak dunia untuk sekali lagi cuba mengekalkan status juara EPL seperti musim dilakukan musim lalu.
Sentuhan magis Arteta
Seperti kita tahu, Arteta merupakan antara pengurus yang sentiasa percaya pada proses dan mempunyai sentuhan magis dalam menaikkan karier kebanyakan pemain.
Bukayo Saka, Gabriel Martinelli, dan Martin Odegaard antara pengurus yang berjaya menempatkan diri selaku antara bintang tumpuan dunia selepas mendapat sentuhan magis daripada pengendali berkenaan.
Untuk muka baharu seperti Christo Tzolis, ramai menganggap pemain ini mampu menjadi salah satu bintang terkemuka dunia bawah kendalian Arteta di kem Arsenal.
Statistik Tzolis cemerlang
Walaupun saingan belum bermula, Tzolis tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan kehebatannya di atas padang selaku salah seorang tunjang utama serangan.
Paling menyakinkan, apabila pemain Greece itu sudah pun merekodkan dua bantuan gol ketika Arsenal cemerlang menewaskan Manchester City baru-baru ini pada aksi Community Shield.
Jika dikira dalam aksi pramusim, Tzolis sudah pun beraksi dalam lima perlawanan dan menyumbang kepada enam jaringan buat Arsenal, termasuk satu gol diledaknya.
Segalanya terserah buat Arteta
Isu konsistensi antara yang menghantui Arsenal sejak beberapa musim lalu, sehingga mereka terlepas peluang untuk mendakap kejuaraan EPL atas masalah berkenaan.
Namun, krisis itu berjaya diatasi musim lalu sehingga menjadikan Arsenal sebagai salah satu pasukan yang sangat menyakinkan untuk mendapatkan mata dalam setiap aksi diharungi sejak tirai saingan bermula.
Perkara itu antara perlu diberi perhatian oleh Arteta dan segalanya kini terserah kepada beliau untuk mencorakkan The Gunners menjadi satu pasukan paling lengkap serta matang bawah kendaliannya.





