Saingan Liga Super 2026/2027 baru memulakan kempennya sejak semalam, tetapi sudah banyak cerita dan kritikan tidak enak sudah didengari dalam kalangan penyokong.
Tatkala ramai mengharapkan saingan liga musim ini akan menjadi lebih tersusun dan bertambah baik berbanding sebelum itu, ianya gagal untuk dibuktikan pada minggu pertama lagi.
Atau dalam kata lain, sebelum tirai saingan bermula pun lagi dah ada pelbagai cerita-cerita tidak enak untuk kita dengar yang dianggap menghakis semangat ramai untuk memberi sokongan padu.
Masalah yang menjadi persoalan ramai
Antara masalah utama disuarakan terarah kepada hak penyiaran Liga M musim ini, apabila Astro lewat mengumumkan diri mereka selaki penyiar rasmi.
Malah, peminat juga tertanya-tanya tentang bola rasmi baharu musim ini yang masih lagi belum diumumkan, tatkala aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City sudah berlangsung semalam.
Sedangkan saingan Liga A1 sendiri pada musim ini bakal menggunakan bola baharu herteknologi tinggi hasil sentuhan daripada jenama Mitre bagi 2026/2027.
Peraturan baharu beberapa jam sebelum aksi bermula
Ini pun turut menjadi persoalan peminat, selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan peraturan baharu daripada segi penambahan slot pemain tempatan, menjelang beberapa jam lagi aksi Piala Sumbangsih akan berlangsung semalam.
Sedangkan MFL dikatakan mempunyai masa yang panjang sebelum itu untuk mengumumkannya dan mengelak daripada spekulasi buruk berlaku dalam kalangan peminat.
Ada yang menganggap, sikap ‘last minute’ daripada MFL ini yang menjadikan saingan liga profesional dalam negara sekarang makin diragui para peminat dan dianggap seperti gerak kerja amatur.
KL City tarik diri saat akhir
Paling mengecewakan, keputusan dibuat oleh Kuala Lumpur City (KL City) hari ini apabila mereka tidak dapat beraksi pda perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan.
Menurut MFL, mereka menerima laporan daripada KL City mengenai keputusan kelab tersebut menarik diri daripada beraksi kerana kekurangan pemain akibat virus influenza.
MFL hanya menyatakan aksi tersebut bakal ditunda sedangkan peminat merasakan itu sebuah kerugian buat diri mereka serta kelab dan Negeri Sembilan berhak mendapat tiga mata penuh atau kemenangan percuma.
Negeri Sembilan sendiri juga tampil dengan kenyataan mereka yang kecewa dengan situasi tersebut sambil menuntut tiga mata daripada MFL sebagai syarat kelab berkenaan menentang keputusan badan tersebut untuk menunda perlawanan akan datang.
MFL perlu jernihkan suasana
Suka atau tidak, MFL kini mendapat kritikan utama dalam kalangan peminat menerusi keputusan serta tindakan mereka yang dianggap tidak konsisten atau menyakinkan.
Mereka perlu lebih bijak selepas ini ketika menyatakan sesebuah tindakan dan melihat kesesuaian masa sebelum sesuatu pengumuman dibuat untuk mengelak pandangan skeptikal para peminat yang sentiasa mengharapkan terbaik dalam dunia bola sepak Malaysia.








