Ini Bukti Evra tidak Gila!
Sebelum ni ramai yang anggap Evra ni tak betul, haa sekarang semua tengah hadam balik.
Entah kenapa, nama Patrice Evra secara tiba-tiba mula disebut semula oleh kebanyakan penyokong bola sepak dari seluruh dunia di media sosial.
Bukannya tentang rekod atau pencapaian yang menjadi faktor perbualan peminat tentang Evra, tetapi mengenai kenyataan yang pernah dikeluarkan dirinya pada suatu ketika kepada media.
Pada tahun 2024 lalu, Evra pernah dianggap menyinggung hati penyokong Arsenal menerusi kenyataan dilemparkan beliau kepada kelab tersebut menerusi sebuah podcast.
Apa Evra cakap tentang Arsenal?
Pada sebuah rancangan podcast bersama Rio Ferdinand, Evra tampil dengan kenyataan yang dianggap cukup sensitif buat penyokong Arsenal walaupun ia lebih kepada sarkastik.
Jelas Evra, Arsenal digambarkan sebagai siri Netflix, semua kena tunggu musim-musim seterusnya jika ingin melihat pasukan berkenaan merangkul trofi kejayaan.
Lebih menarik, Evra juga pernah mengulangi kenyataan tersebut selama beberapa kali dan menjadikan ianya sebagai salah satu rencah dalam analisa permainan dibuat jika membabitkan Arsenal.
Reaksi penyokong ketika itu?
Evra dikritik ramai pihak ketika itu yang seolah menafikan Arsenal mampu bangkit meraih trofi kejuaraan bawah kendalian Mikel Arteta.
Ada juga berpandangan Evra sebagai seorang lelaki tidak siuman dan tidak relevan untuk memberi pandangan semasa bola sepak kini terutama kepada The Gunners pada podcast tersebut.
Walaupun begitu kini, beberapa kritikan tersebut sedikit berkurangan selepas mereka melihat sendiri skrip Arsenal yang mungkin akan terus berulang seperti musim-musim lalu.
Arsenal buang mata lagi
Musim ini, Arsenal bermula dengan sangat baik dalam semua kejohanan disertai mereka awalnya terutama sekali di pentas EPL serta kejuaraan UEFA Champions League (UCL).
Namun, konsistensi mereka seolah gagal dipertahankan dengan baik, apabila laungan ‘Quadruple’ yang dilaungkan penyokong The Gunners pada awalnya gagal dipertahankan.
Sehingga kini, Arsenal hanya bersaing dalam dua kejohanan sahaja lagi iaitu UCL di peringkat separuh akhir serta bersaing dengan sangat sengit bersama Manchester City untuk merebut takhta EPL.
Bagi aksi terbaharu, Arsenal sekali lagi mengecewakan di pentas EPL apabila mereka melepaskan mata penting untuk membenarkan Man City menghimpit rapat kedudukan semasa antara pendahulu dan nombor dua.
Bukti akhirnya Evra tak gila
Akhirnya semua terpaksa mengakui Evra tidak gila dalam membuat kenyataan kepada Arsenal, dengan pasukan tersebut kini tersungkur di tangga kedua EPL.
Apa tidaknya, kekerapan mereka melepaskan mata penting menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola mengambil peluang tersebut untuk memintas Arsenal walaupun masing-masing kini terikat 70 mata.
Jika keadaan tersebut berlanjutan sehingga ke perlawanan akhir, maka Arsenal sekalj lagi perlu berpuas hati tanpa mendakap kejuaraan EPL dan menunggu musim seterusnya seperti rancangan Netflix.






