Perjalanan Malaysia di pentas Piala Asean 2026 telah pun berakhir dengan skuad Harimau Malaya terkandas di pentas separuh akhir, menerusi kekalahan mereka kepada Vietnam.
Secara agregat, skuad kendalian Tan Cheng Hoe merekodkan kekalahan 0-4 dengan tiada sebarang peningkatan dipamerkan Malaysia dalam aksi separuh akhir kedua semalam.
Tewas 0-2 pada aksi pertama, jelas ramai mengharapkan supaya ada perubahan dapat dibuat dalam kalangan kesebelasan utama serta percaturan taktikal di atas padang.
Malah, ada yang meletakkan harapan buat Harimau Malaya selepas melihat kualiti permainan menyakinkan ketika kekalahan pertama mereka di Cheras.
Namun segalanya gagal dibuktikan pada aksi kedua, apabila Malaysia merekodkan corak permainan yang lebih negatif dan tampil serba pincang di gelanggang pasukan lawan semalam.
Kritikan buat mutu permainan Malaysia
Di separuh masa pertama permainan, skuad Harimau Malaya gagal merekodkan sebarang percubaan ke arah gelanggang lawan untuk menggambarkan tumpulnya serangan skuad negara.
Malaysia dilihat lebih banyak membuat hantaran ke belakang pada babak separuh masa pertama, selain disiplin pertahanan yang begitu lemah untuk memudahkan pasukan lawan mencipta peluang.
Kecekapan Azri Ghani merupakan satu-satunya perkara yang boleh dipuji, apabila ketangkasan beliau menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya yang dicipta oleh Vietnam.
Tan Cheng Hoe jadi mangsa amukan peminat
Di media sosial, kebanyakan penyokong mempersoalkan kredibiliti Tan Cheng Hoe selaku pengendali utama pasukan kebangsaan yang dilihat gagal memberikan sesuatu lebih ‘segar’ buat pasukan negara.
Bermula dengan senarai kesebelasan utama yang dipilih, membawa kepada percaturan taktikal beliau yang dianggap serba tidak menjadi pada aksi separuh akhir kedua ini menentang lawan.
Ketika ini, ramai menganggap Tan sebagai salah satu faktor utama kekalahan pasukan negara dan berharap posisi beliau digantikan oleh jurulatih lebih berpengalaman pada masa hadapan.
Pada saingan Piala Asean ini menyaksikan Tan telah memacu tiga kemenangan daripada enam perlawanan diharungi dengan kualiti permainan tidak begitu konsisten.
Tiga kemenangan itu diperoleh ketika Malaysia berdepan Myanmar, Laos, serta Singapura dan mereka tewas sewaktu menentang Thailand serta Vietnam sebanyak dua kali di pentas separuh akhir.
Untuk lebih menyakinkan di pentas antarabangsa pada masa hadapan, suka atau tidak FAM perlu merombak semula senarai kejurulatihan dan Tan dianggap tidak relevan dalam kalangan peminat.






