Malaysia memulakan kempen mereka dalam saingan Piala Asean FIFA 2026 menerusi kemenangan selesa 3-0 mengatasi cabaran dibawa oleh Bangladesh.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia itu, jelas skuad kendalian Tan Cheng Hoe mendominasi perlawanan sebaik sahaja wisel perlawanan bermula.
Tampil dengan beberapa rombakan, Malaysia sangat dominan ketika menyerang dengan pelbagai idea berjaya dicipta untuk mendapatkan gol ke atas lawan.
Hasilnya, Arif Aiman Hanapi berjaya meledak dua gol peribadi, serta jaringan sulung daripada Bergson da Silva yang mencipta penampilan pertamanya buat Malaysia membantu Harimau Malaya meraih kemenangan 3-0.
Walaupun begitu, ada beberapa perkara yang membuatkan segelintir penyokong ‘naik darah’ dengan situasi skuad Harimau Malaya ketika berdepan Bangladesh.
Paulo Josue antara dipertikai penyokong
Jika kita lihat pada babak separuh masa kedua semalam, Tan telah membuat beberapa pertukaran pemain dengab menyaksikan Paulo Josue antara dibawa masuk bagi menggantikan Bergson.
Impak kemasukan Paulo antara yang dipertikaikan penyokong selepas beliau dilihat memperlahankan intensiti serangan negara dan gagal memberikan impak lebih positif.
Sehingga ada turut mempertikaikan tentang idea siapa yang membuat pemilihan pemain skuad kebangsaan sehingga Paulo masih kekal mewakili skuad kebangsaan.
Selain itu, Nazmi Faiz juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan penyokong selepas beliau gagal mengukuhkan posisi tengah negara, sehingga membuka peluang kepada pasukan lawan melakukan serangan.
Boleh dikatakan, lima pertukaran yang dilakukan Tan selain Fergus Tierney gagal memberikan sesuatu yang menyakinkan buat skuad kebangsaan untuk sekurangnya menambah satu lagi jaringan.
Perubahan positif ditagih Malaysia
Bagi aksi seterusnya menentang tuan rumah, Indonesia, jelas perubahan lebih positif ditagih para penyokong meskipun Malaysia mencatat kemenangan ketika bertemu Bangladesh.
Jika dilihat, senarai kesebelasan utama negara berada pada tahap cukup menyakinkan untuk memberi persaingan sengit di atas padang pada perlawana akan datang.
Cuma, isu pemain-pemain di bangku simpanan dianggap merisaukan penyokong kerana kualiti dipamerkan belum melepasi tahap terbaik selaku sokongan kepada tonggak utama.
Untuk perlawanan seterusnya, suka atau tidak pemain seperti Nazmi dan Josue perlu meningkatkan tahap permainan mereka jika terus menjadi pertaruhan Tan ketika menentang Sang Garuda.
Atau, mereka akan bakal terus menjadi mangsa kritikan peminat atau diketepikan sendiri oleh Tan dengan memberi ruang kepada pemain lain yang masih belum beraksi seperti Syahir Bashah dan Daniel Ting.





