Harry Maguire Pertahanan Terbaik Dunia
Dengan kontrak baharu beliau bersama Man United yang dilanjutkan, rasanya penyerang lawan perlu berhati-hati dengan Maguire.
Harry Maguire sebelum ini secara rasminya berjaya mengikat kontrak baharu bersama Manchester United, dengan khidmat beliau dikekalkan sehingga ke 2027.
Menerusi kontrak lanjutan tersebut, ini bermakna Maguire terus mendapat kepercayaan kelab berkenaan untuk menjadi antara tonggak senior yang mengemudi posisi belakang.
Menarik sebenarnya untuk diperkatakan tentang Maguire, kerana beliau sebelum ini pernah berada pada saat cukup sukar bersama pasukan berkenaan menerusi kritikan peminat dan bukan lagi selaku pilihan utama bersama lilitan kapten.
Namun, ketenangan beliau itu menjadi kunci utama mengapa Maguire mampu bangkit dan kembali menjadi antara pilihan utama sehingga meraih semula keyakinan peminat.
Terbaharu, keyakinan Maguire terus bertambah dengan beliau tampil dengan kenyataan cukup berani dan sedia untuk dipertikaikan oleh para peminat seluruh dunia.
“Saya masih antara terbaik dunia”
Ya pada usia 33 tahun, Maguire dengan optimis mengakui dirinya masih lagi antara pertahanan terbaik dunia dan yakin akan kualiti permainannya buat pasukan diwakili.
Keyakinan Maguire dilihat berasas selepas kita lihat bagaimana keupayaan beliau sejak kebelakangan ini bersama Man United daripada segi kelebihan:
•Dominasi perebutan bola udara
•Ancaman dalam situasi ‘set-piece’
•Disiplin bertahan dalam petak penalti
Pada masa sama Maguire sendiri mengakui beliau masih mampu memberikan impak besar bersama Man United baik daripada dalam kesebelasan utama atau dari bangku simpanan.
Untuk rekod, musim ini Maguire sendiri memainkan peranan cukup penting, baik ketika berada bawah kendalian Ruben Amorim atau bersama Michael Carrick kini.
Ketahanan mental Maguire wajar dipuji
Umum mengetahui, mana-mana pemain yang menyarung jersi Man United pastinya akan membawa tanggungjawab besar yang sekali gus menguji ketahanan mental mereka.
Maguire sendiri mengakui ramai pemain tidak mampu bertahan daripada segi mental ketika bersama Man United selain menyerap tekanan tinggi di Old Trafford.
Setiap kesalahan yang dilakukan pemain atau pengurus sering diperbesarkan oleh media atau pemerhati bola sepak. Ini menuntut mereka untuk menguatkan mental masing-masing atau tewas sebelum persaingan tamat.
Untuk Maguire, beliau melihat dirinya sebagai antara pemain yang tidak pernah mengalah dan sentiasa menanti peluang untuk kembali bersinar selain memperbaiki segala kesilapan lalu.
Maguire optimis dengan percaturan Carrick
Kebangkitan Man United kini sudah tentunya disebabkan oleh sentuhan emas Carrick yang berjaya menyusun semula struktur permainan dan memperbaiki kedudukan liga.
Maguire antara pemain yang memberi keyakinan penuh kepada pengurus berkenaan dan yakin jurang pasukan tersebut bersama pendahulu liga mampu dikecilkan sebelum saingan musim ini berakhir.
Matlamat pemain tersebut juga jelas, untuk kembali menjadi pesaing kejuaraan pada musim hadapan jika momentum seperti kini mampu untuk terus dikekalkan.





