Harimau Selatan Kini 8 Terbaik Asia
Terima kasih JDT, kerana memastikan setiap impian yang dibina sentiasa membuahkan hasil.
Akhirnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melakar satu lagi sejarah baharu mereka, dengan kini mereka mara ke pentas suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) 25/26.
Siapa sangka, salah satu kelab dari Asia Tenggara ini juga mampu membuktikan impian yang disangka mustahil itu mampu direalisasikan akhirnya.
Sebentar tadi, Harimau Selatan membuktikan kepada puluhan ribu penyokong bola sepak Jepun, tentang kewujudan kelab bola sepak dari Malaysia kini tidak lagi boleh diperkecilkan.
Kemenangan agregat 3-2 yang penuh dramatik di gelanggang pasukan lawan menjadi saksi segala usaha yang dicurahkan Harimau Selatan telah pun membuahkan hasil.
Dengan berbekalkan beberapa penyokong setia JDT yang hadir ke Stadium Bola Sepak Hiroshima, mereka mempertahankan keputusan tersebut sehingga ke wisel penamat.
Cabaran getir dan laluan mencabar
Seperti dijangka, Sanfrecce Hiroshima tidak akan memberikan laluan mudah kepada JDT dengan mereka turut membawa misi untuk memadam kelebihan pasukan pelawat.
Serangan bertali arus, tekanan demi tekanan, dan cabaran gelanggang lawan jelas memberi kesukaran buat JDT untuk tampil menyerlah pada aksi ini.
Melainkan disiplin dan fokus tinggi sahaja terus dipertaruhkan pasukan tersebut, dengan sesekali mereka cuba membuat siri serangan balas pantas untuk menguji lawan.
Lebih perit, pasukan tuan rumah juga berjaya meledak gol penalti yang sekali gus mengurangkan sedikit kedudukan agregat kedua kelab berkenaan.
Berjuang sehingga ke titisan akhir
Menjelang minit-minit akhir perlawanan, JDT terus menggunakan segala cara yang mereka ada di atas padang untuk mempertahankan kedudukan tersebut.
Akhirnya, tiupan wisel daripada Mohammed Khled Al Hosh dari Arab Saudi berjaya memastikan JDT kini melangkah ke pentas suku akhir ACLE.
Ini sekali gus menjadikan JDT kini sebagai lapan pasukan terbaik Asia dan menjadi antara terawal menantikan kelab-kelab lain turut mara ke pusingan berkenaan.
Selain JDT, satu lagi pasukan dari Asia Tenggara, Buriram United juga berjaya mengesahkan diri mereka semalam untuk ke pentas suku akhir kejohanan tertinggi Asia berkenaan.
Suatu kebanggaan buat Asia Tenggara dan Malaysia
Di media sosial, pelbagai pujian telah diberikan oleh peminat kepada JDT dengan pasukan tersebut dilabel sebagai suatu kebanggaan buat Asia Tenggara dan Malaysia.
Suatu inspirasi pastinya buat kelab-kelab lain selepas ini untuk cuba mengikut jejak JDT yang sentiasa berusaha saban tahun untuk tidak hanya menjadi kelab pelengkap jadual di ACLE.
Terima kasih buat Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor (PSJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang memastikan ‘impian mustahil’ ini berjaya direalisasikan pada akhirnya.





