Hanya Bintang Malaysia Ini Paling Cemerlang!
Ramai dah jangka keputusan, tapi tak ramai jangka tentang kualiti permainan skuad Harimau Malaya.
Saingan separuh akhir pertama Piala Asean 2026 sudah pun tamat semalam, dengan Malaysia tampil dengan kekalahan 0-1 di tangan Vietnam.
Sebelum perlawanan, ramai yang tidak meletakkan jangkaan tinggi kepada Malaysia untuk hadapi salah satu negara paling kuat di Asia Tenggara kini walaupun bermain di halaman sendiri.
Tetapi, ianya tidak menghalang penyokong untuk terus memberikan kritikan atas rasa kecewa mereka kepada prestasi ditampilkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada perlawanan tersebut.
Walaupun begitu, pelbagai pujian turut diberikan oleh penyokong Harimau Malaya yang menganggap ia sebagai salah satu aksi paling cemerlang ditampilkan Malaysia sepanjang mengharungi saingan Piala Asean.
Malah, beberapa pemain negara turut menjadi tumpuan peminat atas prestasi ditampilkan mereka sepanjang tempoh 90 minit menghadapi cabaran Vietnam.
Pavithran terus menyerlah
Aksi kelima beliau buat Malaysia, dan kali ini Pavithran telah pun mencapai sisi lebih matang dalam permainan untuk menjadi tunjang utama serangan negara.
Dengan kepantasan dan kawalan bola yang baik sebagai asas utama kekuatan Pavithran, pemain ini beberapa kali berjaya mengkucar kacirkan pertahanan Vietnam dengan menyakinkan.
Pavithran juga menjadi pemain pertama yang akan menggerakkan serangan negara ketika dalam situasi serangan balas pantas, dan gandingannya bersama Faris Danish beberapa kali hampir memerangkap lawan
Berikut merupakan statistik Pavithran sepanjang 90 mini beraksi untuk Malaysia ketika berdepan cabaran Vietnam:
•1 hantaran kunci
•20/26 hantaran tepat
•2 percubaan
•1 percubaan tepat
•39 sentuhan
•9 kali penguasaan semula bola
Secara keseluruhan, Pavithran layak menerima pujian penyokong, kerana ada peningkatan dalam permainan buat skuad senior di pentas antarabangsa pada usia 21 tahun.
Paulo Josue terus mengecewakan
Pada masa sama, penyerang utama Harimau Malaya, Paulo Josue terus tampil mengecewakan apabila beliau terus kemarau akan jaringan untuk tiga perlawanan berturut-turut.
Malahan, sumbangan beliau di atas padang juga kurang dirasai dan Josue antara yang mendapat kritikan keras daripada penyokong skuad kebangsaan menerusi media sosial.
Pada aksi berdepan Vietnam semalam, penyerang naturalisasi tersebut sebenarnya memperoleh tiga peluang sepakan dengan hanya satu daripadanya menepati sasaran.
Selebihnya, tiada sebarang sumbangan positif mampu ditawarkan oleh pemain berusia 37 tahun berkenaan dengan dirinya juga turut tewas daripada segi kekuatan fizikal serta kepantasan.
Bangkit semula
Satu tugas berat sebenarnya untuk pusingan separuh akhir kedua nanti buat Malaysia, tetapi itulah perlu dilakukan jika kita ingin mara ke pentas akhir.
Tan Cheng Hoe antara diberi tumpuan kini dengan ramai ingin melihat jika beliau bakal mencipta rombakan semula atau ada perubahan daripada segi percaturan di atas padang.
Semoga aksi yang lebih baik mampu ditawarkan skuad Harimau Malaya pada hari perlawanan kedua nanti.





