Francis Ngannou: Dari Gaji RM9 Sehari Ke RM205,725 Sehari
Kisah inspirasi seorang juara UFC yang mengatasi kemiskinan, merentasi benua, dan memperjuangkan hak atlet MMA di seluruh dunia.
Ketika mengumumkan berita pemergian anaknya, Kobe—yang baru berusia 15 bulan— Francis Ngannou hampir-hampir lupa buat satu benda.
Satu benda yang menjadikannya juara heavyweight UFC. Satu benda yang buatnya terkenal seluruh dunia. Satu benda yang mengubah nasib dirinya; dari seorang buruh korek pasir bergaji RM2 sehari ke seorang atlet berpendapatan RM205,725 sehari.
Iaitu melawan.
Francis lahir dalam keluarga miskin dan porak-peranda di kampung Batié, Cameroon. Ketika Francis berusia enam tahun, dia pernah melihat bapanya membelasah sebelum menceraikan ibunya yang terkontang-kanting tanpa pendapatan dengan lima orang anak.
Seperti 90% kanak-kanak Cameroon yang lain, Francis mendapati bekerja sebagai buruh kanak-kanak jauh lebih logik dan masuk akal daripada pergi sekolah.
Maka bermulalah ‘perlawanan’ pertama dalam hidup Francis—menentang kemiskinan. Pada usia 10 tahun, dia bekerja mengorek pasir dengan upah RM9 sehari, selama 12 jam sehari dan enam hari seminggu.
Adat kanak-kanak: berangan itu mesti. Satu hari selepas menonton filem Rambo, Francis berangan mahu menjadi seperti Sylvester Stallone.
Angan-angan bertukar menjadi cita-cita. Hasrat menjadi Sylvester Stallone bertukar kepada petinju. Jadi Francis mula menabung. Impiannya mahu pergi ke Eropah satu hari nanti dan belajar bertinju.
Cita-cita Francis itu bagus. Cuma Francis ada enam masalah:
Jarak Cameroon ke sempadan Maghribi-Sepanyol adalah 4,967 km.
Francis tiada passport.
Francis tiada duit untuk naik kapal terbang
Di sempadan Nigeria, Niger dan Algeria, banyak polis suka ‘pau’ PATI.
Ribuan orang mati setiap tahun cuba merentasi Gurun Sahara.
Sekuriti sempadan Maghribi-Sepanyol antara yang paling ketat di dunia.
Perlawanan kedua: sempadan Eropah
Tujuh tahun selepas menyimpan duit korek pasir dan sembilan tahun menjadi buruh kontrak, Francis bergerak menuju sempadan Maghribi-Sepanyol tanpa memberitahu sesiapa pun. Termasuk ibu dan adik-beradiknya.
Disebalik enam masalah yang dimilikinya, Francis akhirnya berjaya sampai. Bagaimana? Dengan:
Membayar tekong darat untuk pergi ke sana bersama 24 PATI lain dengan trak pikap.
Membungkus duitnya dengan plastik dan menelannya untuk mengelak di-pau oleh polis jahat di sempadan Nigeria, Niger dan Algeria.
Minum air tercemar untuk mengelak dehidrasi di Gurun Sahara.

Jika anda menyangka perjalanan 4,967 km itu bahagian paling perit, anda silap. “Maghribi adalah mimpi ngeri paling buruk untuk imigran,” kata Francis.
Disebabkan terlalu ramai PATI cuba masuk ke Sepanyol, pihak berkuasa Maghribi tiada masa dan duit untuk menempatkan semua PATI ke dalam satu pusat tahanan. Sebaliknya, semua PATI akan ‘dicampak’ semula ke tengah-tengah Gurun Sahara dalam masa 24 jam.
Dalam enam kali cubaan masuk ke Sepanyol, enam kali itu jugalah Francis ditangkap dan dicampak semula ke Gurun Sahara.
Dalam cubaan ketujuh, Francis mendapat idea. “Saya lepak-lepak di cyber cafe sekitar Tangier (pekan pelabuhan Maghribi di selat Gibraltar). Bila ada orang habis guna PC tanpa menghabiskan kuota Internet, saya akan gunakan bakinya untuk cari cara elak bot daripada dikesan radar,” cerita atlet berusia 37 tahun itu.
Mungkin itu rezekinya, cubaan ketujuh Francis berjaya. Caranya? Dia membalut rakit 4-orangnya dengan aluminium foil untuk mengelak dikesan radar.
Setibanya di tanah Sepanyol, Francis sengaja menelefon Palang Merah supaya dia ditangkap. “Bila kami sampai di Sepanyol, kami dah boleh menarik nafas lega. Kami tahu kami akan dipenjara [selama dua bulan]. Tapi lepas penjara, kami akan bebas [kerana Sepanyol akan berinya status pelarian].”
Perlawanan ketiga: status juara di UFC
Selepas dibebaskan dari tahanan, Francis asalnya mahu menyeludup masuk ke Jerman (kerana undang-undang Jerman lebih ‘lembut’ terhadap PATI). Tetapi disebabkan oleh kekangan kewangan, dia beralih ke pelan B: Perancis.
Setibanya di Paris, Francis hidup sebagai gelandangan. “Walaupun saya tidur di parking lot, tapi saya bebas. Parking lot di Paris adalah hotel empat bintang berbanding keadaan saya di Cameroon,” dedahnya.
Nak dipendekkan cerita, di sanalah Francis menemui orang-orang baik yang memberikan tempat tidur percuma, latihan tinju percuma dan meyakinkannya untuk mencuba MMA pula.
Tiga tahun kemudian (2015), pada usia 29 tahun, peminat UFC diperkenalkan dengan nama Francis Ngannou. Dalam pertarungan debutnya, Francis dibayar RM47,000 dengan tambahan RM47,000 lagi jika menang.
Selepas enam tahun bergelumang darah di UFC (2021), Francis memperolehi apa yang dihajatinya: juara heavyweight UFC.
Perlawanan keempat: hak atlet UFC
Sepanjang enam tahun bergelar atlet UFC, Francis—seperti atlet-atlet UFC lain—tidak gemar dengan cara Presiden UFC, Dana White mengurus hak-hak mereka.
Sebagai contoh, atlet-atlet di NFL, NBA dan MLB semuanya menikmati pembahagian pendapatan yang hampir sama rata (lebih kurang 50/50) antara penganjur dengan pasukan. Tetapi di UFC, atlet dapat 16% manakala penganjur (Dana White) dapat 84%.
Dalam perlawanan terakhir Francis di UFC (sebelum dia bergelar ejen bebas), dia hanya dibayar RM2.8 juta. Jika UFC memberi pembahagian pendapatan 50/50, Francis sepatutnya dibayar RM141 juta!
Selain itu, kontrak UFC juga berat sebelah dan boleh dikatakan mengeksploitasi atlet. Contohnya:
UFC mengikat kebebasan anda dengan kontrak panjang. Siapa yang menyuarakan ketidakpuasan hati kepada UFC akan ‘dibeku’. Anda takkan dapat pertarungan. Bila tiada pertarungan, anda tiada duit.
UFC melabel anda sebagai sebagai ‘kontraktor bebas’. Tapi dalam pada masa yang sama, anda dilarang bertarung di mana-mana pertandingan di luar UFC.
UFC melarang atlet mencari penaja mereka sendiri. Sebagai contoh, perjanjian eksklusif UFC dengan crypto.com melarang atlet untuk memaparkan logo penaja mereka sendiri dalam sebarang kandungan media UFC.
UFC tidak membekalkan insurans kesihatan kepada atlet-atletnya.
Situasi eksploitasi ini menjadi lebih buruk kerana dua situasi ini berlaku:
Atlet UFC tiada kesepakatan untuk menubuhkan kesatuan. Atlet kategori bawahan (yang tak terkenal) tak berminat kerana pendapatan mereka akan terjejas. Atlet kategori atasan (bertaraf bintang) tak berminat kerana mereka ada kepentingan lain yang lebih mendesak.
Francis Ngannou mahu UFC berikannya kebenaran bertinju secara profesional. UFC tak membenarkan mana-mana atletnya masuk sukan lain.
Apa yang Francis buat untuk mengubah keadaan ini?
Pertama, dia bertarung sehingga mendapat gelaran dan kemasyhuran sebagai juara heavyweight UFC.
Apabila ada gelaran, Francis tahu dia mempunyai leveraj terhadap UFC. Pulangkan hak atlet atau UFC hilang magnetisme nama Francis Ngannou.
UFC memilih pilihan kedua. Dana White sanggup kehilangan juara heavyweight itu daripada memulangkan hak atlet-atlet dibawahnya.
Manakala Francis sanggup kehilangan tambahan RM47 juta (jika menandatangani kontrak baharu dengan UFC) hanya untuk mempertahankan hak dirinya dan lebih 578 atlet MMA di bawah kontrak UFC.
Hijrah ke PFL
Pada Mei 2023, perjuangan Francis membuahkan hasil apabila dia mengumumkan persetujuannya menyertai Professional Fighters League (PFL). Dalam PFL, Francis berjaya dapat apa yang diperjuangkannya iaitu:
Diberi kebenaran bertinju secara profesional.
Memastikan lawannya mendapat minimum RM9.4 juta untuk satu pertarungan.
Pembahagian pendapatan pay-per-view yang lebih adil antara penganjur dengan atlet.
Atlet PFL diberi kebebasan mencari penaja sendiri.
Atlet dibenarkan untuk membawa penasihat sendiri untuk melindungi kepentingan mereka semasa rundingan kontrak dengan PFL.
Atlet PFL diberi insurans kesihatan.
Selain itu, PFL juga memberi Francis kuasa dan ekuiti di cabang PFL di Afrika (yang bakal dilancarkan pada 2025) dan di Lembaga Pengarah PFL Global (yang turut disertai oleh bekas juara UFC tiga kali Randy Couture).
Keseluruhan kontrak Francis dengan PFL dianggarkan bernilai RM75 juta setahun. Atau RM205,725 sehari.
Dari segi syer pasaran peminat MMA, PFL masih mempunyai perjalanan yang sangat, sangat jauh untuk mengambil alih kedudukan UFC sebagai peneraju.
Tetapi sesiapa yang mengenali Francis pasti tahu—dalam bab melawan, Francis pasti akan menang juga akhirnya.
Jika anda suka dengan kupasan ini, sila share dengan kawan dan keluarga.







